Oleh RAHMAN DAROS

DALAM dunia serba canggih dan mencabar ini, akses kepada penjagaan kesihatan yang berkualiti untuk semua lapisan masyarakat amat dititikberatkan oleh kerajaan.

Di Malaysia, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM30.6 bilion untuk tahun ini berbanding RM28.7 bilion pada belanjawan tahun sebelumnya bagi memastikan rakyat terus memperoleh perkhidmatan kesihatan yang unggul.

Menyedari hal ini, Hospital Mata Nasional Tun Hussein Onn (THONEH) komited mempelbagaikan usaha menerusi program tanggungjawab sosial korporatnya (CSR) dalam membantu penduduk di kawasan luar bandar terutamanya golongan B40 mendapatkan rawatan mata yang terbaik.

Pengerusi THONEH, Tan Sri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar berkata, demi mencapai objektif tersebut, penyedia kesihatan khusus terkemuka di rantau Asia Tenggara itu kini bekerjasama dengan beberapa syarikat swasta yang sudi menghulurkan bantuan kepada kumpulan sasaran.

“Projek terbaru kami adalah menaja pembedahan selaput mata atau katarak kepada golongan B40 serta yang layak memerlukannya dengan harga yang berpatutan dan berkemampuan. Terkini, kami telah merawat ramai pesakit katarak untuk program (CSR) terbaru kami.

“Kami amat bersyukur kerana berjaya mendapat tajaan lensa intraokular (IOL) dari Steril Medic Sdn Bhd dan Orbit Medica Sdn Bhd. Kedua-dua syarikat ini sangat menyokong program CSR di THONEH.

“Kami berharap lebih banyak lagi syarikat akan tampil ke hadapan untuk bekerjasama dan terus memberi sumbangan kepada yang memerlukan,” katanya kepada SinarPlus baru-baru ini.

Berdasarkan kajian Tinjauan Mata Negara, ramai rakyat Malaysia menjadi buta disebabkan lambat melakukan pembedahan katarak.

Dalam prosedur pembedahan invasif minimal tersebut, lensa yang diselaputi dengan katarak akan dipecahkan dan disedut keluar sebelum digantikan dengan lensa tiruan (IOL) yang diperbuat daripada silikon atau akrilik.

Oleh kerana pembedahan membuang katarak adalah satu-satunya kaedah rawatan yang efektif untuk pesakit, THONEH berhasrat untuk terus komited dalam melaksanakan inisiatif seumpama ini bagi meringankan beban kumpulan yang terkesan.

Komited

katarak THONEH
ANTARA pesakit yang menerima tajaan pembedahan selaput mata menerusi program
khidmat masyarakat oleh THONEH. 

Sejak penubuhannya pada tahun 1986, THONEH telah banyak melaksanakan program khidmat masyarakat dan berjaya membantu ramai pesakit yang memerlukan.

“Sebagai satu-satunya hospital mata di Malaysia yang mempunyai teknologi canggih, kami sangat dedikasi untuk terus memberikan perkhidmatan yang baik dan menyalurkan sumbangan melalui projek-projek CSR kepada semua lapisan masyarakat.

“Matlamat kami adalah untuk membina klinik mata satelit THONEH di kawasan luar bandar pada masa hadapan. Saya yakin bahawa mereka adalah golongan yang amat memerlukan perkhidmatan penjagaan mata,” katanya.

Tegasnya, cadangan pada masa hadapan untuk pihak hospital membina klinik satelit di kawasan luar bandar adalah penting demi meningkatkan kesedaran masyarakat setempat mengenai penjagaan kesihatan mata yang lebih sempurna.

“Setelah berbincang dengan pihak pengurusan hospital, kalau boleh (untuk fasa pertama) kita bakal bermula di Pantai Timur supaya kita dapat membantu masyarakat di sana.

“Selepas itu, ada kemungkinan untuk kita lebarkan sayap ke kawasan atau daerah-daerah lain. Ini adalah pelan jangka panjang yang sedang dikemaskini bagi merealisasikannya.

Iklan

“Saya rasa perkara ini adalah sesuatu yang perlu kita usahakan kerana ia dapat membantu penduduk luar bandar yang kurang berkemampuan. Memang jauh untuk mereka datang ke THONEH di Kuala Lumpur bagi mendapatkan rawatan yang berkualiti.

“Jadi kita akan sediakan klinik-klinik seumpama ini untuk menyenangkan masyarakat di luar bandar,” katanya.

Selama lebih 30 tahun, THONEH telah membina reputasi sebagai pusat kecemerlangan dengan menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan mata khusus yang berkualiti dalam pelbagai bidang kepakaran dan sub-kepakaran.

THONEH katarak
TENGKU AZLAN berharap lebih banyak syarikat tampil bekerjasama dan memberi sumbangan.

Selain itu, penggunaan teknologi terkini yang komprehensif dalam pelbagai rawatan yang ditawarkan telah membantu THONEH untuk kekal relevan dan berdaya saing di dalam industri sehingga memperoleh pentauliahan berprestij antarabangsa daripada Joint Commission International (JCI) sejak tahun 2014.

Tengku Azlan berkata, pentauliahan itu adalah bukti pencapaian terbesar THONEH, sekali gus mengukuhkan lagi komitmennya sebagai pusat perubatan yang menawarkan khidmat penjagaan kesihatan pada standard tinggi.

Iklan

“Di Malaysia, kami adalah satu-satunya hospital rawatan mata yang diperakui oleh Akreditasi JCI dan merupakan hospital mata yang beroperasi 24 jam untuk sebarang kecemasan.

“Terletak di lokasi strategik di Petaling Jaya, ramai yang tidak sedar akan perkhidmatan yang kami tawarkan.

“Akreditasi JCI adalah perakuan yang terkenal di seluruh dunia. Perkhidmatan kami telah diselaraskan dan memenuhi kehendak JCI.

“Justeru itu, kami tidak akan berputus asa untuk mendapatkan pensijilan ini pada tahun- tahun mendatang,” tambahnya