BUAT ibu bapa yang akan menghantar anak ke sekolah tidak lama lagi, bukan hanya persiapan material persekolahan yang perlu dipastikan siap ya.

Yang penting pancaindera terutama mata perlu dipastikan tidak bermasalah. Ini yang disarankan oleh pakar mata yang sepatutnya diambil berat oleh ibu bapa.

Barulah mudah anak-anak nak belajar nanti…

Cadangan

Sebelum sekolah bermula, Pakar Mata Kanak-kanak, Medical Mythbusters Malaysia, Dr Azlindarita Aisyah Mohd Abdullah mencadangkan:

1) Jika anak sudah memakai cermin mata, periksa sekali lagi power cermin mata. Ramai anak-anak power cermin mata yang meningkat selepas PKP akibat penggunaan gajet yang banyak

2) Jika anak mengadu tak nampak atau selalu pening kepala, bawa periksa mata. Mungkin ia petanda rabun

3) Jika anak masih kecil dan tidak pandai mengadu, contohnya di bawah 4 tahun, tapi apabila menonton TV selalu telengkan kepala atau pusingkan muka. Bawa periksa mata. Ia mungkin petanda rabun

4) Jika anak ada juling, bawa periksa mata dengan Pakar Mata Kanak-kanak. Tiada istilah juling air, juling itik, juling ular yang comel. Juling semua tidak normal kecuali pada bayi di bawah usia 2 bulan.

Bawa periksa mata dengan siapa?

A) Untuk masalah 1-2, boleh berjumpa dengan optometrist bertauliah. Jika power mata lebih – 2.50 diopter (orang sebut 250) pada kanak-kanak bawah 7 tahun, sebaiknya bawa jumpa Pakar Mata Kanak-kanak. Di Malaysia ada dalam 30 orang. Jika tak jumpa, boleh jumpa Pakar Mata General.

Iklan

B) Untuk masalah 3, sebaiknya jumpa mana-mana Pakar Mata

C) Untuk masalah 4, sebaiknya jumpa Pakar Mata Kanak-kanak.
Apabila anak-anak bersekolah dengan penjarakan sosial, ada kemungkinan jarak meja dengan papan putih akan lebih jauh. Jika rabun, pasti menyukarkan anak-anak melihat.

“Tambahan pula selepas PKP, di klinik saya bukan sahaja bertambah jumlah kanak-kanak yang rabun, kanak-kanak yang juling juga semakin bertambah.

Iklan

Mungkin kita perlu satu prevalence study peringkat kebangsaan , berapa ramai kanak-kanak yang menjadi rabun akibat penggunaan gajet yang berleluasa semasa PKP ini.

Saya tak salahkan sesiapa, ini sebahagian norma baru pembelajaran atas talian yang kita semua terpaksa terima.
Cuma demi anak-anak, kita perlu bantu agar penglihatan mata mereka baik, agar mereka dapat lalui persekolahan dengan sempurna kelak, insya-ALLAH,” kongsi beliau di posting Facebooknya baru-baru ini.

Moga ibu bapa ingat pesanan doktor ya!