BAGI sesetengah individu, mungkin tidak terlalu bersungguh untuk menghias kediaman bukan milik peribadi atau erti kata lain rumah sewa.

Namun begitu, situasi tersebut tidak bagi penata gaya hijab, Didiyana Ehsan yang kini berpindah ke rumah sewa baharunya.

Jika sebelum ini, beliau bersama suami, Nabil Gordon dan anak lelaki, Aiden Faliq menetap di sebuah kondominium, tetapi mereka kini beralih di rumah teres dua tingkat pula.

“Mengikut perancangan asal, saya ingin membeli rumah ini, namun enggan terburu-buru kerana belum mengenal pasti kondisi kediaman dan keadaan kejiranan di sini. Jadi, kami merancang menyewa dalam tempoh setahun.

“Walaupun menyewa, ia bukan kekangan untuk saya mengemas, menghias dan menerapkan konsep dekorasi pilihan di segenap ruang rumah.

“Apabila teratak sentiasa bersih dan tersusun rapi, secara tidak langsung ia menyuntik mood bahagia untuk kita kekal beristirehat di rumah bersama famili,” katanya kepada SinarPlus dalam nada teruja yang sentiasa berpegang
pada ungkapan, Rumahku, Syurgaku.

Bercerita lanjut mengenai dekorasi yang diterapkan, wanita berusia 31 tahun itu menjelaskan, beliau lebih cenderung memilih konsep minimalis digabungkan bersama warna monokrom iaitu hitam dan putih.

dekorasi didiyana

Didiyana menyifatkan dua nuansa tersebut bukan sahaja mencipta illusi ruang lebih luas, malah membuatkan kediaman tampak moden dan elegan.

“Disebabkan itu, saya juga sengaja mengekalkan lantai material jubin dan panel dinding warna putih supaya suasana rumah tidak kelihatan serabut dan pencahayaan terang.

“Pada masa sama, saya juga mengelak meletak terlalu banyak hiasan bingkai gambar atau lukisan. Memadai ruang-ruang seperti di ruang tamu dan makan diserikan dengan item dekorasi warna hitam dan putih yang hadir dalam variasi rekaan dan corak,” ulas beliau yang turut menggunakan hiasan daun hijau sebagai penyeri kediaman.

Perabot
Menjadikan laman sosial Pinterest dan kedai perabot sebagai sumber rujukan, Didiyana mengakui cerewet dalam pemilihan perabot.

Iklan

Beliau pernah berdepan insiden membeli set meja makan warna lembut secara dalam talian, tetapi malangnya tidak padan dengan konsep monokrom.

dekorasi didiyana
MEJA makan yang mempunyai lapan kerusi ini ditempah khas Didiyana bagi memberi keseimbangan dan mengikut keluasan ruang.

“Bukan sahaja warna, bahkan saiz meja untuk enam kerusi itu juga tidak seimbang dengan keluasan ruang makan sedia ada.

“Jadi meja berkenaan saya hadiahkan kepada kawan, lalu menempah khas set meja makan baharu di kedai perabot.

“Selepas menunjukkan konsep rumah, perunding di sana (kedai perabot) hadir dengan rekaan meja jenis kayu untuk lapan orang dan berwarna hitam. Sementelah, kerusinya diselitkan elemen rotan pada bahagian bersandar,” ujarnya.

Iklan

Pun begitu, elemen rotan tidak terhad di ruang makan sahaja. Didiyana turut meletakkan beberapa perabot rotan lain seperti dua buah kerusi di ruang tamu, rak menyusun majalah dan kabinet para paha di laluan masuk ke dapur.

Sementara itu, ditanya mengenai kreativiti dengan meletakkan sebuah khemah kecil kanak-kanak di sudut ruang tamu, jawab Didiyana: “Saya tidak suka lantai atau perabot bersepah dengan barang tidak sepatutnya.

Bagaimanapun, disebabkan memiliki anak lelaki berusia lima tahun, pasti mainannya akan berada di merata-rata tempat.

“Justeru, sejak umur dua tahun Aiden Faliq sudah dididik supaya menyimpan semula koleksi mainan selepas bermain di dalam khemah dan bekas khas di bilik.”

dekorasi didiyana
KONSEP rak dapur terbuka menjadi pilihan berbanding kabinet supaya tidak menghalang pencahayaan semula jadi masuk ke ruang dapur.