BERBANDING di Lembah Klang, kuih Tok Aji Serban sangat popular di negeri-negeri Pantai Timur terutama di Terengganu. Di sana, orang ramai dengan mudah boleh membelinya di sekitar Pasar Payang, Kuala Terengganu.

Kata salah seorang pembikin kuih berkenaan, Suhaili Salleh atau lebih mesra dipanggil Mami, rata-rata peniaga akan menjual kuih tradisi yang lazat itu di warung tepi jalan.

Suhaili Salleh.

Mami mengakui, populariti sajian berkenaan adalah kerana namanya, Tok Aji Serban. Bagaimanapun, asal-usul kenapa nama berkenaan diberi, tidak diketahui oleh wanita berkenaan.

“Di Terengganu sahaja kami panggil kuih itu dengan panggilan sedemikian kerana di tempat lain (luar Terengganu) ia dikenali sebagai pulut sekaya,” kata Mami ketika dihubungi SinarPlus baru-baru ini.

Kuih Tok Aji Serban sebenarnya merujuk kepada sejenis kuih yang dimasak bersama pulut di bahagian bawah, sementara di bahagian atas terdapat sekaya yang biasanya berwarna coklat terang, kata Mami.

“Nak buat kuih ini tidaklah susah sangat dan bahan yang digunakan pun senang nak beli. Untuk membuat bahagian ‘kepala’ (atas), kita hanya memerlukan telur dan santan.

“Sesetengah peniaga saya lihat, ada memasukkan tepung gandum dan mengurangkan kuantiti telur. Namun, pendekatan itu akan membuatkan rasa asli kuih itu terjejas dan jadi kurang sedap,” beritahu ibu kepada tiga orang anak itu.

Kepada yang keliru antara kuih Tok Aji Serban dan kuih seri muka, demikian penjelasan Mami.

“Senang saja nak kenal, bahagian atas kuih Tok Aji Serban mesti berwarna perang (coklat) dan bukannya hijau atau kuning,” jelasnya.

Menjawab pertanyaan bagaimana untuk membezakan kuih berkenaan asli dan sedap atau sebaliknya, Mami ada tipnya.

“Kita perhatikan lapisan atasnya. Jika permukaan atas kuih tersebut kelihatan banyak ‘kedut’, ia membuktikan adunannya menggunakan telur yang cukup dan cara pembuatannya memang bagus.

“Jika sebaliknya iaitu kita nampak rata dan licin, pasti pembikin kuih itu mencampurkan tepung gandum. Jadi, pandai-pandailah kita pilih ya,” pesan anak jati Terengganu itu.

RESIPI KUIH TOK AJI SERBAN

Iklan

Bahan-bahan

  • 3 cawan beras pulut
  • 1 cawan pati santan
  • 6 biji telur
  • 4 keping kecil gula melaka
  • 1/2 cawan air
  • 2 helai daun pandan
  • Secubit garam

Cara penyediaan:

  1. Gula Melaka dan air dimasak bersama daun pandan. Masak sehingga pekat dan sejukkan seketika.
  2. Tanak beras pulut bersama 1/2 cawan santan sehingga masak. Kemudian, mampatkannya di dalam loyang (bahagian bawah).
  3. Telur dipukul sehingga menjadi sedikit kembang. Kemudian, campurkan bersama cairan gula melaka, 1/2 cawan santan dan sedikit garam.
  4. Tapis dan curahkan adunan tadi ke atas pulut yang sudah dimampat tadi.
  5. Selepas itu, kukus adunan tadi selama 30 minit menggunakan api sederhana.
  6. Sejukkan seketika dan kuih tok aji serban siap untuk dihidangkan.

Sumber: Suhaili Salleh     

ANEKDOT

Iklan

REPISI KUIH KALAKATAR

Bahan-bahan

  • 4 cawan air kelapa muda (gunakan 2 biji kelapa muda besar)
  • 2 biji isi kelapa muda
  • 2 cawan tepung gandum
  • 1 biji telur
  • Sedikit gula
  • Garam (secukup rasa)

Cara penyediaan:

  1. Masukkan semua bahan ke dalam satu bekas (kecuali isi kelapa) dan kacau sehingga sebati dan larut. Kemudian tapiskan.
  2. Masukkan isi kelapa.
  3. Tuang ke dalam loyang yang disapukan sedikit minyak.
  4. Kemudian bakar dalam ketuhar pada suhu 180 ke 210 darjah Celsius selama 1 jam.
  5. Akhir sekali, bakar dengan menggunakan tetapan broiler selama 20 minit untuk garingkan bahagian atas kuih.

Sumber: Facebook Nadia Ismail