“HINGGA hari ini saya masih ada rasa takut dan bimbang apabila nampak ramai orang. Saya juga tidak keluar ke mana-mana selain ke tempat kerja dan selepas itu terus pulang ke rumah.”

Demikian luahan bekas pesakit Covid-19, Noraznida Daud, 48.

Noraznida.

Beliau yang juga Eksekutif Insurans dan Takaful di sebuah syarikat insurans terkemuka di ibu kota itu berkata, beliau disahkan positif Covid-19 pada 20 Julai lepas setelah mendapat jangkitan daripada rakan sekerja.

“Sakitnya masih terasa, jika dikenangkan memang rasa trauma nak ke mana-mana termasuklah tempat kerja. Namun begitu kehidupan perlu diteruskan, saya bersyukur kerana masih dipanjangkan umur selepas melalui episod hitam ini selain majikan turut mengambil berat dan sering bertanya khabar.

“Covid-19 bukan perkara main-main. Sesiapa yang perlu keluar bekerja atau berjumpa mana-mana individu, perlu ada rasa waswas bahawa orang itu mungkin dijangkiti (Covid-19). Bunyinya mungkin agak kasar, namun bagi saya itu cara terbaik supaya kita tidak alpa dan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti memakai pelitup muka, jaga jarak dan kerap mencuci tangan,” kongsinya kepada Bernama.

Menurut Noraznida, sehari sebelum disahkan dijangkiti virus maut itu, beliau mengalami sakit kepala yang teruk dan berasa seram sejuk ketika sedang bekerja di pejabat.

Kemudian, beliau klinik yang terletak di bangunan sama. Bagaimanapun, katanya, beliau menerima panggilan telefon daripada pengurus yang memintanya terus pulang ke rumah dan tidak ke mana-mana kerana rakan sekerja baru sahaja disahkan positif Covid-19.

“Perasaan ketika itu hanya ALLAH yang tahu. Panik, takut dan air mata tak henti mengalir. Ditambah dengan pelbagai kisah korban Covid-19, perkara itu membuatkan saya mula membayangkan hospital, pusat kuarantin, unit rawatan rapi (ICU) termasuklah bagaimana jika ditidurkan dan soal kematian.

“Keputusan ujian saringan yang keluar pada keesokannya mengesahkan saya memang dijangkiti virus itu, bahkan dua orang anak saya turut positif cuma mereka tidak bergejala.

“Saya pula mengalami sakit kepala yang teruk, hilang deria rasa, sakit tekak sehingga batuk berdarah,” kongsi ibu kepada empat cahaya mata itu yang hanya diminta menjalani kuarantin kendiri di rumah selepas jangkitan disahkan.

PERLU RAWATAN JIKA BERLANJUTAN

Menurut pakar perubatan dan kesihatan, apa yang dialami oleh Noraznida bukan sesuatu yang luar biasa, malah turut dilalui oleh ramai lagi bekas pesakit Covid-19 khususnya mereka yang dijangkiti di tempat kerja.

Namun begitu, ujar Pakar Perunding Kanan Psikiatri di Pusat Pakar Universiti Malaya, Prof Madya Dr Muhammad Muhsin Ahmad Zahari, jika mereka mendapat gangguan tidur, kerisauan melampau berserta simptom fizikal iaitu mengelak daripada berada dalam keadaan yang sama (situasi yang menyebabkan mereka dijangkiti Covid-19) dan mungkin juga sehingga membawa kepada gangguan emosi, ini mungkin simptom pascatrauma.

Dr Muhammad Muhsin.

Jika itu berlaku, Dr Muhammad Muhsin menasihati individu terbabit agar mendapatkan bantuan psikoterapi sebagai persediaan mental untuk kembali bekerja seperti biasa.

“Proses ini mengambil masa dan semasa proses rawatan doktor mungkin perlu memberikan cuti sakit termasuk untuk tujuan rehabilitasi,” katanya, menambah majikan perlu bertimbang rasa dan tidak memaksa pekerja untuk kembali ke pejabat yang boleh memburukkan lagi keadaan individu tersebut.

Mengulas lanjut, beliau berkata jangkitan Covid-19 boleh memberikan impak jangka pendek kepada kesihatan mental individu seperti kerisauan dan sindrom jangka panjang yang menyebabkan kecelaruan stres pascatrauma atau PTSD seperti kemurungan berpanjangan.

“Perkara ini boleh berlaku disebabkan stigma masyarakat terhadap bekas pesakit Covid-19. Ada yang mengalami keletihan melampau secara berterusan dan ada juga yang mengalami sakit neuropati,” jelasnya.

Dr Muhammad Muhsin berkata, mereka juga perlu menjalani penilaian mental secara klinikal bagi membolehkan intervensi psikologi dilakukan secepat mungkin untuk mengelakkan simptom bertambah buruk sekiranya benar mereka mengalami tekanan mental akibat dijangkiti Covid-19.

“Rawatan terapi sokongan juga perlu diberikan kepada mereka yang memerlukan. Ini termasuk mendengar keresahan dan luahan pesakit melalui pendekatan yang tidak menghakimi (empati). Jika gangguan mental yang dialami adalah serius maka rawatan berbentuk ubatan mungkin diperlukan,” katanya.

Menurut pakar itu lagi, mereka yang terkesan secara langsung dan serius seperti ramai ahli keluarga dimasukkan ke ICU atau meninggal dunia akibat Covid-19, lebih berisiko mengalami sindrom jangka panjang.

PERBINCANGAN TELUS PEKERJA DAN MAJIKAN

Berkongsi pandangan, Presiden Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia, Dr Shawaludin Husin berkata, situasi ketidaktentuan pandemik menuntut perbincangan secara telus di antara pekerja dan majikan berhubung permasalahan yang dialami bagi mencapai persefahaman dan mencari alternatif menang-menang.

Dr Shawaludin.

“Dalam situasi pandemik ini, banyak perkara bertukar menjadi sensitif dan memerlukan pertimbangan sewajarnya terutama soal emosi, kewangan dan kehidupan seharian yang banyak terjejas. Bukan sahaja pekerja, bahkan majikan juga hakikatnya turut menerima impak pandemik ini.

Jangan lupa follow kami di Instagram!

“Selain trauma akibat jangkitan Covid-19, pekerja mungkin berhadapan isu pemotongan elaun atau gaji dan risiko diberhentikan kerja. Majikan pula dihimpit bebanan hutang apabila operasi terpaksa dihentikan namun sewa beli mesin dan bangunan tetap perlu dilunaskan,” ujarnya.

Iklan

Dr Shawaluddin yang juga Doktor Kesihatan Pekerjaan berkata, masalah kewangan boleh mencetuskan isu lain seperti keruntuhan institusi keluarga, tekanan hidup dan mental sehingga ada yang memilih jalan singkat dengan membunuh diri.

“Perkara ini (membunuh diri) benar-benar membimbangkan,” katanya sambil memberitahu, sikap tolak ansur dan saling memahami di antara pekerja dan majikan adalah resipi terbaik dalam memastikan operasi syarikat terus berjalan, sekali gus kedua-dua pihak masih mempunyai sumber pendapatan walaupun tidak serancak sebelum pandemik.

PANDEMIK DAN OSHA 1994

Mengenai peranan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (OSHA 1994) dalam melindungi pekerja ketika pandemik, Dr Shawaludin menjelaskan, perkara itu bergantung pada kategori hazard, jenis pekerjaan serta situasi yang mewajarkan perlindungan akta tersebut.

“OSHA 1994 berkaitan hazard yang dihasilkan di tempat kerja, sebagai contoh bahan kimia, hazard fizikal (sinaran, bunyi bising, elektrik), ergonomik, psikososial dan hazard biologi.

“Covid-19 berada dalam kategori hazard biologi. Petugas barisan hadapan, terutama mereka yang bertugas merawat dan menguruskan pesakit Covid-19 termasuklah yang bekerja di makmal sampel Covid-19, jelas berhadapan hazard sewaktu bertugas di tempat kerja dan mereka ini secara langsung dilindungi di bawah OSHA 1994,” katanya.

Mengenai nasib pekerja yang dijangkiti di tempat kerja, beliau berkata, sukar untuk dibuktikan jangkitan berlaku di tempat kerja memandangkan penularan Covid-19 kini meluas dan sukar dikawal selain bersifat sporadik, iaitu boleh berlaku di mana-mana sahaja dan ke atas sesiapa juga.

“Apabila semakin ramai orang dijangkiti virus ini di mana-mana sahaja, maka mana mungkin malah tidak adil untuk meletakkan kesalahan kepada majikan semata-mata apabila berlaku jangkitan Covid-19 di tempat kerja. Sejauh mana kita boleh tentukan jangkitan itu memang berpunca di tempat kerja?

“Bagaimanapun majikan boleh dikenakan tindakan di bawah OSHA 1994 sekiranya terbukti gagal mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa termasuk secara sengaja membenarkan mereka yang dijangkiti Covid-19 datang ke tempat kerja dan memberi kemudaratan kepada pekerja-pekerja lain,” jelasnya.

Iklan

Antara tujuan utama OSHA 1994 adalah untuk memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja di tempat kerja terjamin daripada sebarang risiko keselamatan dan kesihatan akibat aktiviti kerja yang dijalankan.

Selain itu, ia turut melindungi keselamatan dan kebajikan pihak ketiga (termasuk pelawat atau orang awam) daripada risiko yang sama di tempat kerja).

Majikan bertanggungjawab sekiranya berlaku sebarang perkara yang boleh menjejaskan keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja di tempat kerja.

Pada masa sama, perlu mengawal selia dan memastikan premis mereka tidak mengganggu dan menjejaskan persekitaran luar dan orang awam, sebagai contoh pencemaran udara, sungai dan sebagainya.

Dalam pada itu, Dr Shawaludin menyarankan, kerajaan dan pakar yang berkaitan meletakkan anggaran realistik tentang tempoh yang diperlukan untuk negara benar-benar pulih daripada pandemik bagi membantu rakyat merancang langkah yang perlu diambil untuk ke depan.

“Apabila ada satu tarikh anggaran yang konkrit berdasarkan data, fakta dan kajian, contohnya pada 2024 atau 2025 (negara pulih daripada Covid-19), rakyat khususnya pekerja dan majikan, boleh merencana agenda mereka, sebagai contoh cuba beralih kepada industri lain yang lebih relevan,” katanya.

Jangan lupa follow kami di Instagram!