SEBAIK sahaja Haliza Maysuri menarik lembut tirai rona biru, limpahan cahaya kristal Swarovski yang bertatah di atas hamparan sehelai tudung bawal pantas ‘menerangi‘ pandangan mata para hadirin.

Batu kristal yang hadir dalam pelbagai saiz berkilau satu per satu bagaikan mengikut alunan muzik. Itulah keistimewaan tudung bawal jenama Bawal Exclusive yang diiktiraf hijab termahal bertatahkan kristal Swarovski.

Masakan tidak, tudung berasaskan fabrik voile Jepun yang polos bertukar mewah selepas ditaburi 7,512 butir kristal Swarovski tulen bernilai RM100,000.

Menurut Haliza yang merupakan Pengasas Bawal Exclusive, tudung bawal nuansa gelap berkenaan tidak ditempah oleh mana-mana pelanggan, sebaliknya ia merupakan hadiah istimewa daripada Swarovski iaitu pengeluar kristal terkemuka antarabangsa.

“Pemberian tudung bertatah ribuan kristal ini adalah bersempena butik premium baharu kami (Bawal Exclusive) yang bakal dibuka di Puchong, Selangor pada September ini.

“Pada masa sama, hadiah lumayan seumpama ini juga sebagai tanda penghargaan pihak Swarovski memandangkan Bawal Exclusive adalah antara pemborong batu kristal terbesar di dunia,“ ujar beliau ketika pada Majlis Pelancaran Tudung Bawal Exclusive Termahal Bertatah Kristal Swarovski di Kuala Lumpur baru-baru ini.

tudung bawal
HALIZA teruja menerima sehelai tudung bawal mewah bernilai RM100,000 bertatah batu kristal daripada Swarovski sempena pembukaan butik premium baharu Bawal Exclusive di Puchong.

Bicara lanjut, Haliza menzahirkan keterujaan apabila pasukan rekaan Swarovski di Austria berjaya menterjemahkan idea desain batu-batu kristal di atas tudung bawal bersaiz 1.14 meter x 1.14 meter.

“Perincian batu-batu kristaI ini mengambil masa selama 320 jam untuk disiapkan dengan menggunakan khidmat
12 petugas profesional,“ ujar beliau yang tidak bercadang untuk menjual tudung tersebut, sebaliknya akan dipamerkan di butik baharu kelak bagi tatapan para pelanggan.

Haliza menambah, Bawal Exclusive yang ditubuhkan pada tahun 1998 di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur bukan sahaja berperanan menambah kepelbagaian jenis tudung di pasaran fesyen Muslimah tempatan, malah turut proaktif dan berinovasi dalam menghasilkan produk berkualiti tinggi buat golongan hijabi.

Biarpun terkenal dengan tudung mewah, jenama itu turut menawarkan koleksi tudung bawal pelbagai rekaan dan warna serendah RM57 sehelai.

“Selain menggunakan batu kristal Swarovski yang asli, saya juga menitikberatkan aspek pemilihan material.

Mengambil kira faktor cuaca di Malaysia panas dan lembap sepanjang tahun, maka fabrik jenis voile yang diimport dari Jepun menjadi pilihan.

“Ketebalan kain yang sederhana memberikan aliran pengudaraan dan menyuntik keselesaan kepada si pemakai.

“Teksturnya juga lembut dan tidak berbulu meskipun kerap dicuci. Paling utama tudung bawal yang diperbuat daripada fabrik voile mudah dibentuk mengikut stail lilitan pilihan,“ katanya lagi.

Lebih mengujakan, pada majlis berkenaan, tudung bawal bernilai RM100,000 itu turut mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records sebagai Tudung Termahal Bertatahkan Kristal Swarovski.

 

Duckscarves RM800 laris dalam 5 minit

tudung

Iklan

SELAIN Bawal Exclusive yang mencipta fenomena selendang kategori premium, jenama tempatan Duckscarves juga tidak terkecuali. Tiga tahun lalu label yang diasaskan oleh usahawan muda terkenal, Datin Vivy Yusof berjaya menjual tudung berharga RM800 sehelai dalam sekelip mata.

Bayangkan, sebaik sahaja dilancarkan di cawangan Pavilion KL, selendang bertemakan panorama Kuala
Lumpur nuansa merah jambu lembut itu laris dalam tempoh lima minit sahaja.

Tidak berhenti di situ sahaja, tudung monogram Duckscarves berharga RM1,000 sehelai yang
dikeluarkan pada tahun 2018 juga laku keras termasuk koleksi The Luxe Chiffon Lace bernilai
RM2,500 ditaburi 1,300 kristal xiriusrose Swarovski dari Austria.

 

Selendang Henri Matisse x Zika Ascher dijual RM20 juta

Iklan

SEMENTARA itu, di luar negara, selendang Henri Matisse x Zika Ascher diiktiraf paling mahal kerana berjaya dijual pada harga AS$4.8 juta (RM20 juta) ketika berlangsungnya aktiviti lelongan amal di Christie, London sekitar tahun 2014.

tudung

Selendang berasaskan sutera itu direka selepas pengasas jenama skaf terkenal Ascher London, Zika Ascher menemui pelukis legenda, Pablo Picasso dan Henri Matisse di Paris pada tahun 1946.

Hasil perbincangan, mereka akhirnya berkolaboratif menghasilkan selendang yang mewah dan eksklusif sebanyak 30 helai sahaja.

Difahamkan, cetakan yang menyerikan skarf tersebut adalah lukisan asli Matisse. Meskipun koleksi selendang itu sudah lebih tujuh dekad, namun tekstur dan warnanya kekal terpelihara.