MEMILIH hijab material satin mungkin bukan pilihan utama bagi sesetengah wanita bertudung. Alasan klise yang kerap diluahkan bahawa fabrik tersebut licin dan sukar untuk dibentuk meskipun coraknya tampak mewah.

Justeru, bagi memberi peluang kepada golongan hijabi moden bergaya dengan tudung fabrik satin tanpa secubit rungutan, maka jenama Wanfa Hijab memperkenalkan koleksi D’Puzzle berasaskan sutera super satin.

Menurut pengasasnya, Siti Wan Fatira Wan Ramli, fabrik sutera super satin itu bukan sahaja mampu menyerlahkan elemen mewah dan anggun, malah menyuntik keselesaan kepada si pemakai.

“Keistimewaan fabrik ini (sutera super satin terletak pada kedua-dua bahagian yang mana luar tampak berkilat manakala permukaan dalam bersifat matte (tidak licin).

“Selain itu, materialnya juga selesa, nipis, tidak jarang dan sejuk. Paling utama, selendang mudah digayakan mengikut bentuk muka wanita,” katanya.

Berbicara lanjut, beliau memberitahu, koleksi D’Puzzle (#letakletakterusjadi) yang menampilkan cetakan dikenali Signature Design ideal digayakan dalam apa jua majlis, acara dan lokasi.

tudung
TUDUNG baharu keluaran Wanfa Hijab berasaskan material yang selesa, nipis, tidak jarang dan sejuk serta mudah digayakan mengikut bentuk muka.

Untuk wanita berimej korporat, mereka boleh tampil anggun ke majlis formal hinggalah gaya kasual. Sementara itu, para ibu yang ingin kelihatan menawan ketika membeli barang dapur di pasar raya juga boleh menggayakan tudung tersebut dengan lilitan stailo.

“Fabrik yang kami gunakan membantu menyerlahkan penampilan kaum Hawa walaupun hanya memadankan bersama blaus polos dan seluar jean. Lebih-lebih lagi, efeknya beralun dan terletak kemas menutup kepala.

“Tambahan pula, koleksi D’Puzzle menggabungkan variasi warna lembut dan gelap dalam satu rekaan seakan-akan membentuk imej ‘Triangle Jigsaw Puzzle’,” ulas beliau.

Suai dan padan

Secara keseluruhannya, koleksi D‘Puzzle mempunyai lima jenis rekaan. Ia terdiri daripada Arunika bermaksud matahari terbit, Nirmala membawa definisi suci, Binar (sinar), Renjana (rasa hati yang kuat), sementelah Lembayung merujuk pada warna merah campuran ungu.

Oleh itu, percikan rona yang mewarnai setiap rekaan adalah berpandukan tema-tema terbabit.

“Bagi siri Arunika dan Nirmala, kami menonjolkan gabungan warna senada yang hadir dalam dalam beberapa tona. Arunika misalnya, bermula daripada jingga terang pada kuning lembut dan berakhir dengan nuansa putih.

Iklan

“Begitu juga siri Nirmala yang menggunakan warna biru sebagai warna asas, tetapi menerapkan tona gelap hingga tona terang.

“Sementara itu, siri Binar dan Lembayung Wanfa Hijab menggabungkan warna lembut dan sejuk manakala koleksi Renjana padanan warna-warna gelap bagi menampakkan si pemakai berani dan bersemangat,“ tutur Siti Wan Fatira.

tudung
KOLEKSI D‘Puzzle hadir dalam palet warna terang dan gelap bagi memudahkan konsep suai dan padan.

Tudung D‘Puzzle dilihat sememangnya serasi untuk mempraktikkan konsep suai dan padan mengikut cita rasa.

Bagi mengelakkan persalinan baju putih polos bersama seluar slack warna merah hati tampak bosan, maka gayakan sahaja siri Lembayung yang menggabungkan tiga warna iaitu merah hati, biru dan krim.

Iklan

Sementara itu, para hijabi yang ingin menghadiri majlis minum petang bertemakan busana warna lembut seperti skirt rona kelabu dan blaus polos, selendang siri Arunika (kuning pelbagai tona) antara plihan ideal.

“Biarpun koleksi D‘Puzzle hadir dalam kombinasi warna, tetapi hijab ini juga serasi dipadankan bersama busana tradisional yang tidak terlalu sarat corak dan motifnya.

“Ia berikutan warna-warna yang diterapkan pada setiap rekaan bagaikan saling melengkapi dengan pakaian pilihan,“ katanya lagi.