“UMUR awak baru 35 tahun, tapi tulang awak macam orang berusia 60 tahun.“

Itu reaksi pakar yang merawat Zaini Amira Ilham selepas beliau disahkan menghidap osteoporosis.

Ujar Zaini Amira yang kini berusia 39 tahun, sebaik dimaklumkan mengenai isu kesihatan itu, bukan sahaja dirinya, malah semua ahli keluarga terperanjat besar.

Masakan tidak, biasanya kita akan dengar mereka yang ada osteoporosis adalah dalam kalangan warga emas saja. Saya ketika itu baru berumur 35 tahun, mana mungkin boleh menderita penyakit sebegitu,“ katanya dengan nada kehairanan ketika dihubungi SinarPlus baru-baru ini.

Pun demikian, selepas wawancara kami berlanjutan hampir setengah jam, pelukis profesional itu mendedahkan, punca beliau mendapat osteoporosis adalah datang daripada dirinya sendiri.

“Begini, ketika saya berusia 20-an, saya seorang gadis obesiti. Rakan-rakan lelaki selalu perli saya dan selalu menuduh saya tiada teman lelaki disebabkan terlalu gemuk. Kata mereka, lelaki tak suka wanita obes yang kuat makan.

“Disebabkan saya makan hati dengan kata-kata nakal itu, saya nekad untuk kurus. Namun, pendekatan yang saya lakukan tidak betul. Saya ikat perut dengan tidak menjamah makanan, waima sayur pun kecuali hanya minum minuman bergula saja.

“Saya melebihkan senaman tanpa mempedulikan pola pemakanan sihat. Setelah bertahun-tahun lamanya, perut saya ‘sudah terbiasa‘ dan saya pun tak kisah kalau lapar,“ katanya berterus-terang.

Ternyata, tindak-tanduk itu membawa natijah yang sangat buruk. Menjengah usia 32 tahun, beliau terkejut tulang kakinya patah walaupun hanya terjatuh gara-gara terpijak batu.

Jangan lupa follow kami di Instagram!

Kemudian, hal-hal yang remeh seperti terlanggar pintu atau tersepak bakul sampah pun, bahagian tertentu pada tubuhnya akan bengkak.

Tidak terhenti setakat itu sahaja, kitaran haid Zaini Amira tidak tentu masa dan adakalanya tidak datang langsung. Selain itu, beliau juga kerap demam.

Iklan

Melihat kepada situasi yang semakin memburuk, wanita berkenaan terus berjumpa doktor perubatan sebelum dirujuk kepada pakar tulang.

Selepas didiagnos dalam tempoh masa yang lama, akhirnya pakar memberitahu saya mengalami masalah kerapuhan tulang atau istilah popularnya osteoporosis. Saya tergamam, tapi nasi sudah menjadi bubur dan itu yang saya katakan, semuanya berpunca daripada diri sendiri,“ katanya yang kini sedang dalam proses mengubah tabiat pemakanannya dengan melebihkan makanan berkalsium tinggi dan vitamin D.

Sebelum menamatkan perbualan, Zaini Amira menasihatkan agar masyarakat di luar sana menitikberatkan perihal kesihatan diri.

BACA JUGA: Selain susu, ini makanan untuk osteoporosis

Iklan

“Bila hal sebegini terjadi pada saya, baru saya tahu betapa pentingnya sayur, buah, susu, air yang mencukupi untuk badan kita. Jangan jadi seperti saya, pergerakan saya sekarang juga semakin terhad.

“Saya juga tak pasti saya sudah terlambat atau tidak, tapi sekurang-kurangnya saya mencuba untuk berubah. Ingat, kalau anda berfikir osteoporosis bukan hanya penyakit orang tua, anda silap. Buktinya, saya baru 30-an sedang berdepan dengan masalah ini,“ pesannya. -MAZLINA ABDUL MAJID

Jangan lupa follow kami di Instagram!