Bersama

Pegawai Perubatan,

Medical Mythbusters Malaysia,

Dr Megat Mohamad Amirul Amzar Megat Hashim.

Dr Megat Mohamad Amirul Amzar.
SOALAN:

DOKTOR, terdapat ibu bapa yang mendakwa kononnya selepas vaksin diberikan, anak mereka akan mengalami gangguan perkembangan yang sangat ketara seperti menjadi semakin hiperaktif dan kurang fokus. Lebih menakutkan, ia boleh membuatkan si kecil menghidap autisme. Boleh doktor berikan pencerahan?

– IBU MUDA, HIDAYA MOHAMAD, 27, IPOH, PERAK.

JAWAPAN:

PUAN, sebenarnya, saya tidak menafikan mitos vaksin menyebabkan autisme adalah antara punca utama ibu bapa menolak vaksin.

Suka untuk saya kongsikan, ia bermula pada tahun 1998 yang mana seorang doktor yang bernama Andrew Wakefield menyatakan wujudnya satu kajian bahawa vaksin menyebabkan autisme.

Namun demikian, penyelidikan itu hanya dibuat ke atas 12 orang kanak-kanak sahaja dan telah ditarik balik penerbitannya. Penyelidikan itu didapati dipalsukan dan banyak unsur penipuan.

Bukan itu sahaja, doktor tersebut juga telah ditarik balik ‘kedoktorannya’ (lesen perubatan) akibat menggunakan kajian tersebut untuk menyebarkan salah faham dalam kalangan masyarakat.

Selepas itu, terdapat banyak lagi kajian-kajian mengenainya dilakukan.

Antaranya terhadap 1.6 juta orang kanak-kanak yang menunjukkan suntikan vaksin tiada kaitan langsung dengan autisme.

Faktor tercetusnya autisme sebenarnya disebabkan oleh:

i) Peningkatan umur ibu bapa yang mengandung.

ii) Faktor genetik.

Jadi, ingin saya tegaskan sekali lagi di sini, vaksin tidak menyebabkan autisme.

Dalam pada itu, ramai yang mengatakan vaksin menyebabkan autisme kerana adanya merkuri dalam vaksin.

Merkuri yang digunakan dalam vaksin itu bukanlah sama dipraktikkan dalam termometer atau merkuri yang terkandung dalam produk-produk kecantikan yang telah dilarang oleh Kementerian Kesihatan.

Penting untuk diketahui bahawa bahan kimia itu (merkuri) yang digunakan dalam vaksin itu adalah yang berbentuk organik dan juga boleh didapati dalam ikan-ikan di laut.

Di Malaysia, hanya satu vaksin sahaja yang mengandungi merkuri iaitu kombinasi daripada vaksin campak iaitu Measles dan Rubella yang diberikan kepada kanak-kanak yang berusia tujuh tahun.

Iklan

Lazimnya, autisme pula dijumpai pada kanak-kanak seawal usia dua tahun. Pada umur itu, kita sudah dapat melihat mereka mempunyai masalah percakapan, sosial dan tingkah laku.

Oleh kerana vaksin banyak diberikan kepada kanak-kanak berusia satu tahun dan satu tahun setengah, ramai yang salah faham kerana mereka kaitkan vaksin boleh menyebabkan autisme, sedangkan ia tidak benar sama sekali.

IMBAS kod QR ini untuk video.

Beza cara ukur ubat dan vaksin

SOALAN 2:

DOKTOR, seperti kita mengambil paracetemol untuk anak kecil, perlukah ibu bapa mengukur dari segi berat atau saiz tubuh si kecil bagi menentukan berapa dos vaksin diperlukan supaya ia berkesan?

– BAPA CAKNA, SHAHRIL AZRI SUFI, 33, TANAH MERAH, KELANTAN.

Iklan

JAWAPAN:

TUAN, saya yakin ramai ibu bapa di luar sana kerap menyamakan antara vaksin dan ubat, sedangkan tidak sama.

Untuk pengetahuan semua, vaksin digunakan untuk mencegah daripada penyakit berjangkit, manakala ubat pula tujuannya untuk merawat.

Ya, benar, ubat sememangnya memerlukan dos tertentu bergantung kepada berat badan anak kecil, namun vaksin tidak sama seperti ubat.

Ini kerana semasa vaksinasi diberikan, kita mengambil antigen lalu dimasukkan dalam badan kanak-kanak itu agar mereka boleh menjana respons imuniti. Antigen yang diperlukan itu sangat kecil.

Seberapa kecil ia boleh menjana respons imuniti, sebenarnya itu sahaja yang diperlukan.

Oleh yang demikian, dos untuk vaksin kanak-kanak dan orang dewasa kebiasaannya adalah sama sahaja. Secara teknikalnya, kita hanya perlukan dos terendah antigen tersebut bagi menjana respons imuniti.

IMBAS kod QR ini untuk video.