SEBAGAI tanda penghargaan kepada kumpulan sukarelawan yang bertugas di Pusat Khidmat Parlimen Muar, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Abdul Rahman menyediakan juadah Asam Pedas Muar Ikan Merah.

Menerusi laman sosial Facebook dan Twitter, Syed Saddiq berusia 28 tahun berkongsi resipi dan cara-cara penyediaan asam pedas yang merupakan signatur utama di daerah berkenaan.

“Masak Asam Pedas Muar untuk sukarelawan yang bekerja siang dan malam di Pusat Khidmat Parlimen Muar.

“Nak resipi? Boleh tengok video di FB (Syed Saddiq Syed Abdul Rahman) saya,” tulisnya ringkas sambil disertai emoji jenaka.

Menerusi video berjudul Ketuk-Ketuk PKP berdurasi 18.07 minit itu beliau yang merupakan Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) mempamerkan kemahiran memasak lauk tersebut di kediamannya di Muar, Johor.

“Saya selalu masak, tetapi apabila masak Asam Pedas Muar ini gementarnya lain macam. Kalau masakan tak jadi dan tak sedap, kira gagal jadi orang Muar (ketawa),” jelasnya yang turut tersasul apabila menyebut benjo merujuk pada bendi.

syed saddiq
ASAM Pedas Muar Ikan Merah yang dimasak oleh Syed Saddiq dan dikongsikan di dalam laman sosial Facebook beliau.

Dalam pada itu, menerusi video terbabit beliau sempat memberitahu, perancangan membuka tempat perniagaan khas untuk menempatkan para peniaga Asam Pedas Muar.

“Kita akan terus memastikan mendapat tapak khas tersebut supaya sesiapa sahaja yang datang ke Muar sama ada pengunjung tempatan ataupun pelancong dari Singapura berpeluang menikmati menu ini.

Iklan

“Semoga kita dapat sebarkan budaya makanan di seluruh pelosok Malaysia. Jika Pulau Pinang terkenal dengan makanan tersendiri, Muar juga tidak terkecuali antaranya memiliki asam pedas, mi rebus dan sate pagi,” ujarnya lanjut.

Justeru, kepada peminat Asam Pedas Muar, Syed Saddiq yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan kongsikan resipi seperti berikut:

Iklan
resipi
Gambar hiasan. Foto: Canva

Bahan-bahan:
– Ikan merah
– Minyak masak
– Cili kering (dikisar)
– Bawang merah (dihiris)
– Air asam jawa
– Daun kesom
– Bendi
– Tomato (dipotong kecil)
– Garam secukup rasa

Cara penyediaan:
1. Panaskan minyak dan tumis bawang sehingga naik bau.
2. Kemudian, masukkan cili kisar sampai pecah minyak.
3. Selepas itu, tuangkan air asam ke dalam kuali dan kacau rata.
4. Lalu, masukkan pula sayur bendi dan daun kesum serta garam secukup rasa.
5. Selepas naik bau masukkan ikan merah dan biarkan sehingga isi ikan masak.
6. Akhir sekali, masukkan tomato.
7. Siap dihidang bersama nasi panas, ulam dan telur dadar.