ANDA MUSYKIL, DOKTOR JAWAB

Foto: UNSPLASH DAN SUMBER INTERNET

Buntu anak sering tersembam, terjatuh

Adakah ia masalah biasa atau membahayakan kanak-kanak di bawah umur dua tahun?

Soalan 1: DOKTOR, anak saya yang berusia dua tahun didapati kerap tersembam dan terhentak pada kepala. Keadaan itu kadangkala berlaku secara tiba-tiba dan membuatkan saya panik. Apakah pandangan doktor mengenai situasi berkenaan? Bahayakah? Bagaimana untuk mengawal keadaan itu? Boleh doktor anjurkan apakah rawatan sewajarnya yang perlu saya lakukan?

– IBU PRIHATIN, MASHITAH ABDULLAH, 39, KAJANG, SELANGOR

Jawapan:

Terima kasih atas soalan yang diajukan. Untuk pengetahuan pihak puan dan pembaca Sinar Plus, masalah anak kecil terutama berusia di bawah dua tahun tersembam merupakan perkara yang kerap terjadi.

Pengalaman itulah melatih mereka berjalan. Akan tetapi, jika anak jatuh disebabkan tidak stabil ketika ingin mula berlatih berjalan, perkara tersebut tidak menjadi masalah. Sebaliknya, jika anak yang stabil berjalan sebelum itu sering jatuh disebabkan gerak aksi yang tidak stabil secara tiba-tiba, ibu bapa perlu membawanya berjumpa pakar.  Pendekatan itu penting kerana kita khuatir ada masalah lain yang berlaku.

JANGAN sesekali membiarkan si kecil berseorangan.

Antaranya ketumbuhan pada otak dan masalah saraf tulang belakang. Selain itu, barangkali wujud penyakit yang menyerang otot sehingga menyebabkan si kecil tidak mampu mencari keseimbangan ketika berjalan, menaiki tangga ataupun merangkak.

Semuanya akan dinilai pakar jika puan berjumpa dengan mereka. Mengulas tentang kesan kepada si kecil, ia bergantung kepada ketinggian tempat terjatuh. Biasanya, implikasi serius akan terjadi jika mereka terjatuh dari tempat yang melebihi tinggi tubuhnya.

Alat pengesan

Selain itu, jika anak yang jatuh dan mendapat tanda-tanda bahaya dalam tempoh 48 jam atau si comel pengsan (selepas jatuh), segeralah berjumpa dengan pakar untuk mendapatkan rawatan. Jika berdepan dengan keadaan mereka kerap menangis, tidak senang duduk, muntah-muntah, keliru, sawan, tidak mahu berjalan sendiri dan kerap meminta dirinya didukung selepas kejadian itu, ia juga indikasi jelas untuk membawa anak kita terus ke hospital.

Pada pandangan saya, untuk mengawal si kecil, disarankan ibu bapa mengelakkan anak daripada mencapai meja atau kerusi yang tinggi di dalam rumah.  Bucu-bucu yang tajam perlu ditampal. Bagi anak yang sangat aktif, pastikan mereka berada di kawasan selamat. Jangan sesekali membiarkan si kecil berseorangan. Ibu bapa juga boleh menggunakan alat pengesan bunyi ketika sedang membuat kerja bagi memberi isyarat bahawa anak sudah terjaga daripada tidur.

Si kecil alah minum susu kambing, soya 

Soalan 1: DOKTOR, anak saya berusia lebih kurang lima bulan. Permasalahan yang menghantui saya sekarang ialah anak saya mengalami alahan. Pada jangkaan saya, ia mempunyai kaitan dengan pemakanannya. Sebagai langkah awal, saya telah menukarkan susunya kepada susu kambing dan soya. Namun, anak kesayangan saya masih berdepan dengan alahan. Pada pandangan doktor, apakah punca hal demikian terjadi? Saya sangat risau. Mohon pencerahan.

– MAMA GUSAR, JULIA DON, 35, KUALA LUMPUR

Iklan

Jawapan:

PUAN, soalan yang diajukan sebenarnya sangat berkait rapat dengan topik Cow’s Milk Protein Allergy (CMPA) iaitu anak-anak yang mengalami alahan kepada susu lembu. Alahan biasanya berlaku kepada bayi yang berusia satu tahun ke bawah.

CMPA dibahagikan kepada dua jenis iaitu IgE-mediated (antibodi jenis E) dan Non-IgE-mediated.  Bagi jenis alahan IgE terhadap susu lembu, tanda-tanda (alahan) biasanya muncul dalam beberapa minit sahaja seperti bengkak serta-merta, gatal, ruam ekzema dan hidung berhingus. Jika teruk, si kecil akan mengalami asma.

Bagi Non-IgE pula, tindak balas akan berlaku selepas sejam atau beberapa jam atau sehari selepas itu. Biasanya ia meliputi tanda-tanda seperti muntah-muntah, cirit-birit atau najis berdarah. Sebenarnya, susu kambing bukanlah jalan penyelesaian kepada anak yang alah kepada susu lembu kerana susu kambing tidak diubah suai formulanya.

Justeru, ia masih mempunyai kadar garam (sodium) yang sangat tinggi, namun mempunyai kandungan asid folik yang rendah. Ia akan menyebabkan badan anak kita berisiko menjadi hipernatremia (kondisi gangguan elektrolit ketika kadar natrium (sodium) dalam darah lebih rendah daripada batas normal) dan boleh menyebabkan penyakit anemia.

Iklan

Dalam pada itu, susu berasaskan soya juga bukanlah jawapan terbaik kepada permasalahan puan. Lazimnya, dalam menyelesaikan isu puan, saya mencadangkan agar menggantikannya dengan susu formula terhidrolisis secara ekstensif (EHF) jika si kecil didiagnosis benar-benar alah kepada susu lembu oleh pakar.

SUSU berasaskan soya juga bukanlah jawapan terbaik kepada si kecil yang mengalami alahan kepada CMPA.

Bagaimanapun, jika selepas mengambil susu EHF masih mengalami alahan, bertukarlah kepada susu formula asid amino (AAF) iaitu unit paling ringkas dalam struktur protein. Apa pun, strategi untuk merawat CMPA juga bergantung kepada dua keadaan iaitu:

  1. Jika anak sedang diberi susu badan sepenuhnya, teruskan. Si ibu perlu mengelakkan makan makanan atau minuman mengandungi unsur tenusu lembu.
  2. Andai anak memang minum susu formula dan didiagnosis mengalami CMPA, hentikan segera mengambil susu formula berasaskan lembu dan gantikan dengan susu formula EHF atau AAF. Namun begitu, jika anak mengalami alahan yang sangat teruk, saya sarankan untuk bertukar kepada susu AAF.
DR Tan Gek Ling.

PROFIL

Dr Tan Gek Ling ialah Perunding Pediatrik Signature Specialist Clinic, Kota Damansara.

Beliau juga Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Kanak-Kanak Spark (Signature Child Rehabilitation Centre).