Wanita kongsi detik cemas, hampir hilang anak lelaki ketika sambut hari jadi. 'Kerana sebiji belon, jantung dia terhenti dan...'
TANGGAL 20 Mei 2025 merupakan tarikh yang telah lama tersemat dalam ingatan kedua ibu bapa ini bagi menyambut ulang tahun kelahiran anak kesayangan mereka.
Menurut perkongsian di Facebook, Nurul Huda Zulkhairi berkata, dia dan suami sudah lama merancang untuk merealisasikan sambutan hari jadi buat anak lelaki mereka, Uwais Al Fateh.
Pada hari tersebut, anaknya bukan sahaja terharu dengan kejutan yang dirancang, malah kehadiran cikgu-cikgu, rakan-rakan, dan sahabat karib sejak zaman tadika telah menambahkan lagi kemeriahan majlis.
Namun, tiada siapa menyangka, hari yang sepatutnya bermula dan berakhir dengan penuh kegembiraan bertukar menjadi detik mencemaskan buat Nurul Huda dan keluarga.
Sebelum kejadian cemas itu berlaku, Uwais dikatakan ada menunjukkan tanda-tanda semput.
"Sebelum kejadian, adik ipar saya, Zahidah, ada beritahu suami bahawa Uwais macam semput. Jadi suami saya terus cakap nak ambil alat sedut yang memang sudah kami sediakan sejak dulu, sebab dia pernah kena serangan asma sebelum ini," katanya.
Namun, belum sempat bapanya berbuat demikian, suasana menjadi semakin cemas apabila adik ipar dengan tiba-tiba berlari membawa Uwais dalam keadaan wajahnya yang pucat kebiruan.
Awalnya pasangan itu menyangka anak lelaki mereka tersedak makanan, namun selepas berusaha melakukan bantuan resusitasi kardiopulmonari (CPR) dan teknik tolakan abdomen (Kaedah Heimlich), kanak-kanak tersebut masih tidak sedarkan diri.
Tanpa melengahkan masa, suami Nurul Huda bersama rakannya segera membawa Uwais ke hospital. Bagi mereka, peluang anak kesayangan itu untuk terus hidup sangat tipis, apatah lagi ketika itu langsung tiada bunyi degupan jantung.
"Suami dan kawannya buat beberapa prosedur. Mereka ingat anak saya mungkin tersedak makanan.
"Masa itu, suami saya kata peluang Uwais cuma 50-50 sebab jantung dia dah berhenti berdegup.Malah, wajah Uwais bertukar biru," kongsinya.
Setibanya di hospital, doktor dan jururawat bertungkus-lumus memberikan rawatan kecemasan, termasuk prosedur intubasi.
Namun, yang mengejutkan semua, mereka menemui sebiji belon merah tersekat di saluran pernafasan Uwais lalu menghalang aliran udara dan mengancam nyawanya.
"Setibanya di hospital, doktor dan jururawat semua bertungkus-lumus menyelamatkan anak saya. Semasa mereka hendak melakukan proses intubasi, mereka ternampak ada belon tersangkut dalam saluran pernafasan anak saya. Doktor segera keluarkan belon itu dan terus lakukan CPR," luahnya.
Dalam perkongsian lain, Nurul Huda menitipkan rasa syukur yang tidak terhingga kerana anak lelakinya berjaya diselamatkan.
Menurut Nurul Huda, kejadian itu berlaku ketika anak lelakinya sedang bermain di dapur bersama sahabat karibnya dengan memasukkan belon ke dalam mulut sambil berlari-lari sebelum ia tersekat di saluran penafasan.
Akibat daripada insiden malang itu juga, jantung Uwais telah terhenti selama 15 minit hingga menyebabkan otak mengalami bengkak.
Doktor kemudiannya memberikan ubat tidur untuk memastikan si kecil itu tidak mengalami tekanan yang teruk.
Menjengah ke ruangan komen, warga maya tidak henti-henti mendoakan kesembuhan Uwais selain mengambil perkongsian tersebut sebagai iktibar agar perkara sebegini tidak lagi berulang.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
