Wanita Malaysia cetus inspirasi, ini kisah 3 saintis muda ke mesyuarat Nobel!
BAGAIKAN mimpi menjadi realiti! Itu ungkapan tepat yang boleh diberikan buat tiga orang saintis muda Malaysia yang terpilih untuk mengharumkan nama negara di persada dunia.
Mereka bakal mencipta sejarah menghadiri mesyuarat Nobel Laureate Lindau ke-74 yang berprestij di Jerman selama seminggu bermula 29 Jun hingga 4 Julai 2025.
Mesyuarat pada tahun ini akan memfokuskan pada bidang kimia dan dijangka bakal menghimpunkan sekitar 35 penerima Hadiah Nobel serta lebih 600 saintis muda dari 84 buah negara.
ChM Nur Diyan Mohd Ridzuan, 30, yang merupakan calon PhD dalam Sains Gunaan melalui Penyelidikan (Kimia Gunaan) dari Universiti Teknologi Petronas antara salah seorang yang bertuah bakal berlepas ke Jerman.
Begitu juga buat Ts Dr Ana Masara Ahmad Mokhtar, 34, Pensyarah Kanan di Bahagian Teknologi Bioproses, Pusat Pengajian Teknologi Industri, Universiti Sains Malaysia serta ChM Dr Mak Kit Kay, 33, yang bertugas sebagai Pensyarah di Jabatan Kimia Farmaseutikal, Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU) bakal membawa nama Malaysia ke pentas global.
Penyertaan Malaysia dalam program ini bukan perkara baharu tetapi setiap kali ada wakil yang terpilih, itu menjadi kemenangan besar buat negara.
Bukan mudah untuk tersenarai kerana calon akan dinilai dari segi akademik, sumbangan penyelidikan dan potensi kepimpinan dalam bidang sains.
Pemilihan ini sekali gus menjadi peluang keemasan kepada ketiga-tiga saintis ini untuk ‘mengorek’ seberapa banyak ilmu dan pengalaman dengan mereka yang bijak pandai.
Mereka boleh memperkenalkan penyelidikan dan kepakaran mereka dalam mesyuarat ini yang mungkin dapat membuka peluang kerjasama bersama saintis di fasiliti bertaraf dunia.
Bagi anda yang tidak tahu tentang perkara ini, Mesyuarat Nobel Laureate Lindau diasaskan pada tahun 1951 dan telah menggalakkan dialog antara generasi, disiplin sains dan budaya selama lebih 70 tahun.

Ia merupakan satu platform unik bagi saintis muda yang berpotensi untuk berinteraksi dengan penerima Hadiah Nobel melalui aktiviti yang akan dijalankan di sana nanti.
Pencapaian luar biasa ini mampu memberi inspirasi kepada semua belia Malaysia untuk terus berani bermimpi besar dalam bidang sains dan teknologi.
Ketiga-tiga saintis muda ini sudah membuktikan yang anak Malaysia boleh berdiri setaraf dengan saintis dari seluruh dunia. Dengan ilmu, minat, dan usaha yang konsisten, tiada apa yang mustahil.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
