'Doakan yang baik-baik.' Influencer suami isteri terpalit dakwaan seleweng derma jutaan ringgit tidak disalur betul direman SPRM
[DIKEMAS KINI] PASANGAN pempengaruh terkenal dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya bagi mendapatkan perintah tahanan reman bagi membantu kes menyeleweng kutipan derma.
Dua lelaki lain turut dibawa bersama pasangan suami isteri itu yang disyaki terbabit dalam kes berkenaan.
Mereka yang ditahan 6.40 petang, Rabu dibawa menaiki van Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tiba di Mahkamah Putrajaya jam 9.15 pagi.
Difahamkan, pasangan suami isteri itu ditahan bagi membantu siasatan selepas membuat kutipan derma melebihi jutaan ringgit, namun difahamkan wang itu tidak disalurkan secara betul.
Akan direman empat hari bermula hari ini, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
Berikut kronologi isu itu:
1-Pertengahan Jun lalu, pempengaruh itu tampil menafikan dakwaan menyeleweng kutipan derma untuk kepentingan peribadi yang dibuat pihak PW Community menerusi hantaran di Instagram.
2-Katanya, segala aset-aset yang diperolehi Aisyah adalah atas daya usaha sendiri tanpa menyalahgunakan mana-mana dana atau kutipan derma.
3-Beliau berkata akan membawa perkara ini ke mahkamah selepas pulang dari mengerjakan ibadah haji.
4-Selain itu, mereka menafikan dakwaan menerima skim 20 peratus melalui platform JomDonate kerana skim berkenaan hanya diperkenalkan setelah anak guam mereka tidak lagi menggunakan platform itu sejak tahun 2022.
5-Tambahnya dalam kenyataan, sebarang akaun Facebook atas nama ‘Aisyah Hijanah Official’ adalah palsu.
6-Pempengaruh terbabit menerusi peguamnya menafikan semua dakwaan penyelewengan dan pecah amanah membabitkan dirinya seperti yang tular di media sosial, sejak kebelakangan ini.
7-Peguam yang mewakili pempengaruh itu melalui kenyataan media berkata, pihaknya menafikan sebarang penglibatan anak guamnya dalam kes yang tular.
8-Menurutnya, individu bertanggung jawab menyebarkan tuduhan itu perlu membuktikan dakwaan mereka di mahkamah termasuk dakwaan melibatkan skim 20 peratus yang diterima anak guamnya bagi keseluruhan derma oleh platform kutipan derma dalam talian.
9-Peguam itu menegaskan segala aset yang diperoleh oleh anak guamnya adalah atas daya usaha beliau sendiri tanpa menyalahgunakan mana-mana dana mahupun kutipan derma.
10-Pihak anak guam juga sedia maklum menjalankan pelbagai perniagaan yang menjana keuntungan dan berhak menikmati hasil keuntungan perniagaan untuk tujuan peribadi.
'DOAKAN BAIK-BAIK SAJA'
Dalam pada itu, pempengaruh berkenaan memohon doa daripada orang ramai.
"Saya dalam keadaan sihat saja. Mohon semua mendoakan yang baik-baik saja. Terima kasih," katanya.
Pempengaruh berkenaan berkata demikian ketika disapa media yang menunggu di kamar mahkamah semasa dibawa anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk ke tandas.
Sama-sama kita doakan semoga kes ini diselesaikan dengan baik.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang