'Pemergian Jay Jay kehilangan besar.' Nash & Hattan kongsi rasa sebak, teringat kenangan bersama senior yang baik hati

No Image Caption
A
A
A

PENYANYI, Datuk Nash tidak menahan sebak ketika mengimbau kembali kenangan merakamkan lagu Pada Syurga Di Wajahmu yang juga merupakan hasil seni Allahyarham Jay Jay.

Nash atau nama sebenarnya, Nashrudin Elias berkata, banyak memori yang masih bermain di fikirannya sepanjang proses pembikinan lagu berkenaan.

“Allahyarham seorang insan yang sangat baik. Saya banyak sejarah dengannya, dia menjaga tiga album saya dan juga mengendalikan album itu.

"Arwah hasilkan tiga buah album, lagu Pada Syurga Di Wajahmu adalah air tangan dia," ungkapnya sebak.

Bahkan ketika pembikinan lagu itu vokalis kumpulan Lefthanded pernah dimarahi oleh Allahyarham kerana tidak mempunyai penghayatan yang mendalam.

Bagaimanapun, dalam kemarahannya, arwah tetap memberikan semangat kepadanya untuk melantunkan lagu bernada tinggi itu.

“Dia menggubah dan memainkan muzik untuk lagu tersebut. Saya kena marah ketika menyanyikan lagu itu kerana tiada penghayatan pada awalnya, tetapi oleh kerana dia berikan sentuhan sebagai seorang komposer dan penerbit, saya terima hakikat itu," ujar beliau lagi.

Sementara itu, penyanyi terkenal, Datuk Hattan turut menyifatkan pemergian Jay Jay sebagai satu kehilangan yang besar buat dirinya dan industri.

Artikel Berkaitan:

“Allahyarham sangat hebat, beliau bukan sahaja seorang penyanyi tetapi juga pemain bass, komposer dan penata muzik. Bukan sedikit album yang diterbitkan beliau berjaya, antaranya album Datuk Nash dan ramai lagi.

“Beliau memang baik, saya tak pernah jumpa orang baik macam beliau... sangat baik. Saya memang minat beliau daripada dulu, masa zaman talentime, saya nyanyi lagu Carefree saja.

"Saya tidak suka nyanyi (lagu) Rindu Bayangan (sebaliknya), saya lebih suka lagu Dendangan Anak Tani," katanya.

Tambah Hattan, Jay Jay ketika masih hidup selalu mengamalkan hidup sihat dengan sering berjalan kaki.

Sebagai info, Jay Jay atau nama sebenar Mohd Fauzi Darus meninggal dunia pada usia 67 tahun di Hospital Thomson, Kota Damansara, pada jam 9.27 malam tadi disebabkan kegagalan fungsi pelbagai organ dalaman.

Allahyarham Jay Jay selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Tandang PJS5 pada jam 11 pagi tadi.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang