'Mak paling gembira dan beri sokongan...' Aizat Saha beralih bidang, daripada awan biru ke dunia lakonan
TUAH ayam nampak di kaki, tuah Aizat Saha adalah pada Abang POV.
Malah, dek kerana gelaran tersebut turut meledakkan nama sang jejaka berkulit hitam manis itu selepas beliau memuat naik video yang berkonsepkan point of view atau POV tentang gelagat sepasang kekasih menerusi aplikasi TikTok.
Bukan itu sahaja, beliau turut digelar kekasih dalam talian atau boyfriend online gara-gara video tersebut.
Penangan video tersebut juga melonjakkan nama beliau sehingga berjaya memasuki carta lima teratas bagi kategori Video Tergempak Gempak Most Wanted Awards 2023. Biarpun gagal memenangi anugerah tersebut, namun empunya diri melahirkan rasa syukur kerana diri diterima baik oleh peminat.
“Ketika nama terpilih dalam carta tersebut, saya seolah-olah tidak percaya, apatah kehadiran saya masih baharu dalam bidang ini. Namun, saya bersyukur dan berterima kasih atas sokongan ramai.
“Soal kecewa tidak berjaya memenangi kategori tersebut pada saya tidak timbul. Saya anggap ia sebagai satu kejayaan peribadi dan bertuah ramai rupanya yang menyokong dan mengundi. Daripada situ membuka mata saya untuk terus berusaha gigih sebagai anak seni,” ujar anak kelahiran Klang itu.
Perjalanan kariernya mula merentasi sempadan. Daripada seorang pencipta kandungan di media sosial dan petugas di awan biru, kini beralih ke bidang seni bila mana menerima tawaran sebagai pelakon. Drama Racun Rihanna menjadi mukadimah awal pembabitan beliau dalam arena lakonan dan sejak daripada itu, tawaran lain mula diterima.
Biarpun kehidupannya kini sudah berubah 360 darjah, namun tuan punya badan enggan membangga diri, jauh sekali riak dengan kejayaan yang diterima setakat ini.
“Kalau ditanya, saya ini orangnya yang macam mana, sejujurnya saya jenis yang introvert dan pemalu. Bahkan, saya juga mengambil masa untuk mengenali atau selesakan diri dengan orang baharu,” ungkap anak kedua daripada tiga beradik itu lagi.
Bagi yang mengikuti perjalanan kariernya, pasti tahu jejaka berusia 29 tahun itu berkhidmat sebagai pramugara di sebuah syarikat penerbangan tempatan sebelum mengambil keputusan meletak jawatan.
Justeru, penulis bertanyakan tidakkah dirinya menyesal dengan keputusan tersebut (meletak jawatan). Sementelah beliau berimpian untuk bekerja di awan biru, pasti sedikit sebanyak ada sedih dan rindu berbekas di hati.
“Sejujurnya, kerjaya sebagai pramugara antara kerja impian yang sudah lama saya tanam dalam diri. Bohonglah andai kata tak sedih, kan.
“Cuma apabila melihat penerimaan keluarga terutama mak orang yang paling gembira dan memberi sokongan, membuatkan saya sedar tindakan dan keputusan yang dibuat itu adalah betul.
“Mak lebih bimbang saya bekerja di atas awan dan boleh dikatakan, mungkin itu salah satu sebab utama saya memilih untuk berhenti sebagai pramugara. Saya tidak mahu bekerja dan pada masa sama, famili bimbang,” ujarnya lagi.
Identiti sendiri
Diminta berkongsi perjalanan awal beliau sebagai anak seni, dedah Aizat, segala-galanya demi minat.
“Alhamdulillah ALLAH lorongkan saya jalan yang mudah ketika memasuki bidang ini. Kalau diikutkan, permulaan saya adalah ketika bergelar pereka grafik di syarikat MIG selepas tamat pengajian.
“Syarikat pertama tempat saya menimba pengalaman banyak membantu membina kerjaya. Bahkan, minat mula bercambah apatah lagi saya banyak bergelumang dengan event, shooting dan sebagainya.
“Selepas itu barulah saya memohon sebagai pramugara. Namun, rezeki ternyata lebih sebagai anak seni apabila berjaya menembusi bidang tersebut,” ujar Aizat yang turut memiliki bisnes jenama pakaian yang diusahakan sendiri iaitu Heetam Puteh.
Pemegang diploma dalam bidang reka bentuk grafik itu tatkala ditanya akan cabaran yang perlu dilalui, kata pemilik nama sebenar Mohd Aizat Saharuddin itu, akuinya perkara paling sukar adalah untuk mencipta karekter dan personaliti yang tersendiri.
“Saya perlu ada identiti sendiri supaya tidak dikata meniru atau sama dengan pesaing yang lain. Namun, sehingga kini saya bersyukur pembawaan diri dalam bidang seni tidak begitu berliku.
“Nama saya mula dikenali menerusi platform TikTok apabila apabila digelar Abang POV. Malah, daripada situ mula menapak selangkah dengan menyertai bidang lakonan.
“Sememangnya saya sangat menghargai berterima kasih dengan diberi peluang dan ruang untuk memasuki industri ini sekali gus menaikkan nama saya,” ujar pemuda berketinggian 170 sentimeter itu lagi.
Ditebak persoalan mengenai tempias dunia glamor yang pastinya turut mengenai dirinya, namun Aizat menegaskan bukan itu yang beliau kejar apabila terjun ke bidang tersebut.
“Bercakap soal glamor, pada saya ada pro dan kontranya. Setakat ini, saya memilih untuk low profil, sementelah kita tidak tahu apa yang orang lain fikirkan.
“Memang ada yang mendoakan, menyokong dan sayangkan kita, namun pada masa sama ada segelintir yang tidak suka atau senang melihat kejayaan kita.
“Justeru, apa yang boleh saya katakan atau terapkan adalah sentiasa berhati-hati dalam satu-satu perkara tanpa terlalu berlebihan, lebih-lebih lagi dalam bab glamor,”ulas Aizat panjang lebar.
Menyentuh mengenai kecaman dan kritikan pula, pemuda yang cukup murah dengan senyuman manis itu jarang membaca komen lebih-lebih lagi yang berbaur negatif.
“Dalam hal ini saya mengambil pendekatan menjarakkan diri dan tidak mudah rapat terutama dengan orang yang baru kenal.
“Pada masa sama, saya tidak suka membaca atau melihat komen-komen terutama yang berbaur negatif. Bukan kerana tidak boleh terima kritikan, cuma saya tidak mahu diri larut dengan emosi negatif. Mana yang baik atau nasihat yang berguna saya jadikan panduan untuk perbaiki diri,”ujarnya lagi.
Akhiri zaman bujang
Berbicara lanjut berkenaan perancangan masa hadapannya, peminat rona hitam dan merah itu bagaimana pun cuba menyeimbangkan antara kerjaya dan juga urusan peribadi.
“Dalam hal ini, saya melihat pengurusan masa memainkan peranan penting dalam memastikan bukan sahaja fokus kepada karier tapi juga hal-hal kekeluargaan,” ungkap beliau ringkas.
Bercakap soal masa depan juga, tatkala ditanya tentang perancangan mengakhiri zaman bujangnya, ini jawapan tuan punya badan.
“Jodoh akan datang pada masa tepat dan lain orang lain rezekinya. Mungkin sekarang rezeki saya lebih kepada kerjaya, jadi itu yang akan saya beri fokus terlebih dahulu.
“Saya mahu kejar sasaran yang saya ingin dicapai, soal jodoh itu bila sudah sampai masanya barulah kita akan melangkah ke fasa seterusnya,” ujarnya lagi.
Sebelum menutup perbualan, sempat penulis ajukan tentang soal penampilan diri yang cukup dititikberatkan oleh empunya diri.
Sememangnya diakui biarpun sering tampil ringkas, namun, tetap bergaya dan punya aura hebat.
“Bab penampilan diri, pada saya cukup penting baik lelaki mahupun wanita. Lebih-lebih lagi dalam industri seni, penampilan sangat penting kerana orang akan tengok kita.
“Jadi, kita perlu untuk tampil lebih yakin, berani dengan diri. Oleh yang demikian, pada saya faktor penampilan sangat penting pada saya,” ungkapnya lagi.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang