'Orang perempuan nak cantik jangan kedekut, malas...' Che Ta dedah sebab tak benarkan Aaisyah cuci pinggan mangkuk

No Image Caption
A
A
A

USIANYA sudah mencecah lima dekad, namun kejelitaan dan keanggunan sang selebriti terkenal, Che Ta meraih pujian ramai.

Sentiasa tampil dengan imej glamor, pemilik nama sebenar Rozita Abu Bakar itu pernah tersenarai antara selebriti wanita tercantik tanah air.

Bukan itu sahaja, beliau turut memiliki aura dan pesona tersendiri. Sementelah tuan punya badan pernah menyandang Miss Malaysia Intercontinental 1992.

Disebabkan itu, empunya diri sentiasa dikaitkan dengan kecantikan dan fesyen.

No Image Caption

Namun siapa sangka, di sebalik kerlipan dan simbahan glamor, dirinya pernah melalui pelbagai cabaran dan dugaan hidup yang cukup berliku.

Apa sahaja kontroversi yang tidak melanda anak kelahiran jelapang padi itu. Semuanya ditelan dan dilalui dengan penuh ketabahan.

Hikmahnya, beliau yang sudah dua dekad bergelar anak seni, namun sehingga kini namanya kekal relevan dan kehadirannya dalam industri tersebut sentiasa dinantikan peminat.

Bahkan, sosok tubuh yang kekal langsing biarpun sudah memasuki usia 50 tahun, bukan sahaja berjaya dalam karier bahkan juga sebagai ibu apabila membesarkan permata hatinya dengan baik. Kini, beliau mampu tersenyum lebar apabila dua anak lelakinya sudahpun menggenggam ijazah.

Yang pasti, setiap kejayaan anak adalah gambaran kecemerlangan usaha dan didikan daripada seorang ibu.

Manakan tidak, Che Ta sebelum itu pernah bergelar ibu tunggal selama l0 tahun sepanjang tempoh berkenaan, segala pahit manis dilaluinya demi membesarkan zuriatnya sendirian.

Dirinya ibarat pohon bambu yang tinggi melengkung namun tidak mudah patah tatkala diterpa angin.

Segala kesusahan dilalui dengan penuh kesabaran dan kini semuanya telah berbayar bilamana anak-anak mula menampakkan kejayaan masing-masing.

No Image Caption

Untuk rekod, Che Ta mendirikan rumah tangga bersama Zain Saidin pada 11 Disember 2013.

Pasangan itu dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Aaisyah Dhia Rana yang kini berusia 10 tahun.

Che Ta sebelum itu mempunyai dua orang anak lelaki hasil perkahwinan terdahulu bersama seorang juruterbang iaitu Ammar Affendy, 28, dan Aniq Ezzra, 26.

Berbalik kepada dirinya. Ya, orang hanya nampak wanita anggun itu sebagai selebriti yang cukup popular dan glamor, tetapi hakikatnya bukan mudah untuk dirinya melalui kepayahan dalam membesarkan anak sendirian tanpa figura seorang suami dan ayah di dalam rumah.

“Bila kita ada anak baru tahu kredibiliti sebagai ibu. Saya bergelar ibu tunggal selama 10 tahun tapi demi anaklah diri ini ada di mana saya berada sekarang.

“Selepas bercerai, saya tiada kerja dan menjadi suri rumah sepenuh masa. Disebabkan anak menangis, saya nekad tak mahu mereka rasa kekurangan lepas ibu bapa berpisah.

“Saya berdiri kuat, bayangkan dengan waktu itu tiada duit, sebab itu saya cari kerja, ambil upah jahit manik dan buat segala kerja janji halal,“ dedahnya penuh emosi.

No Image Caption

Tambah beliau, apabila ada anak, sebagai ibu seseorang wanita itu akan buat bangkit dan berikan yang terbaik kepada zuriatnya.

Jika ibu kepada tiga anak itu sanggup berkorban apa sahaja demi zuriat, berbeza pula dengan segelintir pasangan muda masa kini apabila ada yang memilih untuk tidak mempunyai anak atau childfree selepas kahwin dengan alasan ekonomi tidak stabil dan sebagainya.

Borak Bibir Merah

Berkongsi mengenai isu tersebut, ini nasihat padu yang beliau tujukan kepada pasangan berkenaan.

“Memang kita tak ada duit tetapi nak kahwin. Jadi, buat secara kecil-kecilan. Kalau tak ada bajet besar untuk miliki anak ramai, maka ada anak sikit. Kena ingat, setiap anak ada rezeki masing-masing untuk setiap keluarga.

“Pada masa sama, tak perlu terikut-ikut dengan benda yang tak elok dipaparkan oleh segelintir pasangan di media sosial.

“Sebab itu kena faham konsep sebenar perkahwinan dan tahu tujuan serta niat asal kita berkahwin adalah untuk meramaikan umat Islam,“ tegasnya lagi.

Beliau berkata demikian sewaktu mengelolakan program Borak Bibir Merah (BBM) yang berlangsung di Dewan Karangkraf baru-baru ini.

Sekadar makluman, program bual bicara itu kembali dengan dengan nafas baharu bagi membincangkan topik wanita, kekeluargaan dan isu semasa.

Che Ta dipilih sebagai pengacara kerana mempunyai aura tersendiri yang mampu menarik perhatian ramai dan membuatkan penonton selesa tidak kira golongan muda mahupun tua.

No Image Caption

Dengan mengetengahkan isu kahwin muda dan fahaman childfree, BBM turut mengundang pelakon dan penyanyi, Nabila Razali, Bella Astillah dan Da‘i Izzhar Nazri berkongsi pandangan masing-masing berkenaan isu tersebut.

Selain kehadiran lebih 150 penonton, program berkenaan dimeriahkan dengan tajaan daripada Hospital Columbia Asia, Kopiko, Nutox, Ovaltine, Kentucky Fried Chicken (KFC), Polperro Steak House, Elegant Accscent, Pusat Pakaian Hari-Hari dan produk Wardah & Kahf.

Dalam rancangan itu juga, bekas finalis Dewi Remaja 1994/95 itu turut berkesempatan berkongsi rahsia cantik tatkala persoalan itu diajukan kepadanya.

“Orang perempuan ni jangan kedekut dan malas. Ada duit beli produk kecantikan dan kena rajin, maka cantiklah kita,“ ujarnya ringkas sambil tertawa.

No Image Caption

Cantik dan kemas

Selain diri sentiasa tampil cantik dan kemas, Che Ta juga memastikan hal yang sama kepada suami dan anak-anaknya.

Dalam temu bual bersama SinarPlus, beliau mengakui caranya dan Zain dalam mendidik anak perempuan mereka sedikit berbeza.

“Kalau Zain, memang dia suka ajar Aaisyah buat kerja rumah termasuklah cuci pinggan, tetapi berbeza dengan saya. Bukan apa, koleksi barangan pinggan mangkuk saya mahal dan berat pula tu.

“Bimbang tersadung kaki, habis pecah. Saya memang penggumpul koleksi pinggan mangkuk sejak 15 tahun lagi. Setiap satunya punya nostalgia tersendiri. Sejak kecil saya memang tak suka anak-anak angkat pinggan lepas makan, tinggalkan di meja dan saya sendiri atau pembantu rumah cuci lagi selamat,“ dedah Che Ta lagi.

Mengulas lanjut hal tersebut, Che Ta mengakui tetap menerapkan hal didikan lain kepada anak perempuan tinggalnya itu.

No Image Caption



"Bukanlah bermaksud tak galakkan anak-anak terutama Aaisyah terdedah dengan kerja rumah, cuma bab cuci pinggan memang saya tak benarkan. Nak cuci yang lain saya tak kisah.

“Jadi wanita ni bukan sekadar cuci pinggan sahaja, kena pandai buat kerja rumah, cerdik, pandai mengaji, solat jangan tinggal dan bijak cari duit. Jangan tahu nak melawa sahaja,“ seloroh pelakon Kiah Pekasam itu lagi.

Beliau juga cukup tegas terutama ketika sekeluarga berada di meja makan.

“Saya selalu pesan, di meja makan kena protokol, terutama jangan tumpahkan makanan, duduk kena elok-elok atau makan jangan berbunyi seperti sedawa dan sebagainya.

“Sebab segala perlakuan kita bermula daripada rumah. Jika di rumah sudah diasuh supaya tertib dan sopan, maka makan di luar pun akan terikut-ikut sedemikian,“ ungkap Che Ta lagi.

Cipta memori

Pada masa sama, beliau juga mementingkan sekeluarga makan di rumah pada waktu malam.

“Makan malam adalah wajib kerana waktu itulah kami dapat cipta memori bersama. Saya akan pastikan meja di hias seperti ala hotel atau sebagainya. Walaupun ada yang anggap leceh nak kena susun itu ini, tetapi saya suka," ujarnya sambil tertawa kecil.

Sebelum menutup tirai perbualan, penulis cuba mengorek kisah anak sulungnya, Ammar yang dikatakan sudahpun bertunang dengan wanita pilihan hatinya.

No Image Caption

Pun begitu, kakak kesayangan pelakon Ayu Raudhah itu enggan mengulas lanjut atas permintaan anak lelakinya itu.

“Anak saya tak suka publisiti kerana keluarga sebelah perempuan sukakan privasi. Malah, bakal menantu saya pun seorang yang sederhana dan memakai tudung.

“Walaupun ada ambil gambar bersama, namun atas permintaan mereka, saya akur,“ ujar Che Ta mengakhiri perbualan.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang