'Ya, saya pentingkan kesempurnaan...' Shaza Bae niat berlakon cari rezeki & balas jasa ibu ayah, soal jodoh tunggu dulu
MUNCUL sebagai pemegang takhta bagi program realiti Dewi Remaja 2019 bukanlah tiket untuk pelakon Shaza Bae bertapak mudah dalam industri seni.
Sebaliknya, beliau terpaksa melalui onak dan duri sebelum kehadirannya mula disedari oleh khususnya kepada peminat tanah air.
Watak sebagai tomboi dalam drama bersiri Aku Bukan Ustazah benar-benar membantu menempatkan namanya dipersada seni lakonan.
Hal tersebut turut diakui tuan punya badan tatkala ditemu bual penulis baru-baru ini.
“Saya tidak menyangka langkah sulung dalam membintangi drama siaran TV3 ibarat pembuka jalan kerana meraih pujian ramai impak daripada drama tersebut. Apabila ditawarkan watak tersebut, saya memang all out dan mahu membuktikan kemampuan diri.
“Disebabkan watak tomboi itu, saya sanggup potong rambut dan keluar modal sendiri untuk pakaian dan persiapan lain demi untuk menghayati watak sebagai Sam. Sehinggakan pengurus cakap, tiga bulan dia tak nampak ‘Shaza Bae‘ disebabkan Sam,“ selorohnya yang bersyukur pengorbanan berbaloi apabila watak tersebut meraih pujian ramai.
Pemilik nama sebenar, Shaza Nuriman Mohamad Zamri juga berpegang kepada konsep konsistensi untuk bertapak lama dalam industri.
“Orang lama dan hebat dalam industri pun perlu melalui pelbagai fasa sebelum berjaya, apatah lagi saya yang masih baharu. Justeru, mereka sering menjadi rujukan saya untuk terus relevan dan dipermudah dalam membina kerjaya dalam bidang ini.
“Soal perlu keluar bajet sendiri untuk menyediakan keperluan dalam lakonan, pada saya tidak menjadi isu. Kita kena faham, ada segelintir produksi mungkin mempunyai kekangan bajet, jadi tak salah andai pelakon mahu keluarkan sedikit modal.
“Daripada nak bising hal itu, lebih baik kita fikirkan bagaimana mahu membina nama dan menjulang bakat supaya orang nampak kehadiran kita dalam bidang ini.
“Sebab itu saya tidak kisah untuk keluarkan sebahagian daripada simpanan untuk tujuan tersebut, manakala sebahagian lagi untuk simpanan masa hadapan,“ ujar beliau lagi.
Menganggap ia satu pengorbanan dalam karier, jelas Shaza Bae, sikapnya yang mementingkan kesempurnaan antara sebab beliau berbuat demikian.
“Ya, saya pentingkan kesempurnaan dalam segala hal, termasuklah bab lakonan. Itu antara pengorbanan yang saya lakukan untuk memastikan kerja lebih mudah dan hati pun tenang kerana tak perlu nak fikirkan hal remeh-temeh begini. Apabila masuk set, semua sudah tersedia,“ ujarnya.
Trend masa kini
Ditebak dengan persoalan, tidakkah beliau gusar bakal mengalami nasib yang sama sepertimana segelintir pelakon veteran yang tidak terbela bahkan ada yang tidak memiliki simpanan menyebabkan ada yang hidup melarat, ini jawapan tuan punya badan.
“Setiap orang punya cara tersendiri, kalau nak salahkan orang lama, kita tak tahu perjalanan proses itu bagaimana. Pada saya tidak salah untuk kita bersuara andai ada yang tak kena, tapi perlu melalui saluran yang betul.
“Jika kita mahu industri setanding dengan produksi luar, pihak bertanggungjawab perlu memainkan peranan dalam menjaga kebajikan anak seni. Kalau mengejar kualiti namun, aspek pengurusan diabaikan pun tidak akan ke mana, kan?
“Pada masa sama, golongan muda kena belajar daripada pengalaman artis terdahulu supaya tidak mengulangi kesilapan yang sama. Walaupun industri seni nampak remeh, namun bidang ini yang membentuk pemikirkan anak-anak muda terutama yang menonton media sosial khususnya,“ ungkap pemegang Ijazah Sarjana Muda Seni itu lagi.
Menyentuh mengenai trend masa kini yang ke arah media sosial, tegas Shaza Bae, perkara tersebut bukan hanya berlaku kepada anak seni semata-mata.
“Justeru, tak perlu memandang ia daripada sudut negatif, fikirkan cara terbaik untuk anda hayunkan langkah dalam mewarnai karier dengan menonjolkan bakat serta kelebihan diri.
"Nasihat saya kepada wanita di luar sana yang ingin menyertai bidang ini, kena tahu niat asal dan juga perlu ada ilmu.
“Lagi satu kena percaya setiap orang sudah ditentukan rezeki dan percayalah jika sudah usaha, kerja keras dan tawakal, maka tak perlu nak bimbang kerana rezeki tak pernah salah alamat. Bezanya lambat atau cepat sahaja,“ungkapnya penuh makna.
Rutin ke masjid bersama ibu
Kisah kerjaya anak seni kami noktahkan, perbualan kami menjurus pula kepada sisi peribadinya.
Tanpa berselindung, bekas pengacara program travelog wanita itu mengakui kesibukan dengan urusan kerjaya tidak membuatkan beliau mengabaikan tugas dan tanggungjawab sebagai anak.
“Sebagai anak sulung yang suka berdikari, saya memilih untuk tinggal berasingan daripada keluarga. Pun begitu, saya ada masa untuk keluarga. Setiap Khamis, saya akan luangkan masa untuk ke masjid bersama ibu.
“Jika ada masa terluang dan kebetulan berada berhampiran dengan lokasi rumah, saya akan ajak ibu keluar makan. Jangan salah anggap yang saya ini anak mak, kerana saya juga rapat dengan ayah.
“Cuma, saya panggil ia sebagai proses yang mana semakin kita berumur, kita akan lebih menghargai orang tua. Mungkin waktu muda kita kurang kesedaran tentang hal tersebut. Lagipun, saya perlukan restu dan doa daripada mereka dalam memastikan langkah saya dalam bidang ini mendapat berkat,“ujarnya.
Ditanya akan penerimaan orang tuanya akan pilihan bidang kerjayanya yang bukan sahaja glamor namun penuh liku-liku. Ini jawapan Shaza.
“Sebelum memilih untuk terjun dalam bidang ini, saya terlebih dahulu terangkan kepada mereka akan risiko yang perlu saya hadapi.
“Saya selalu cakap, jangan baca apa-apa tulisan sebaliknya tanya saya terlebih dahulu. Lagipun mak dan ayah lebih kenal kerana saya ini anak mereka, kan. Kerisauan mereka lebih kepada soal saya pulang lewat malam, bab kerja yang tidak menentu, itu sahaja.
“Biarpun tidak tinggal serumah, namun mereka tahu pergerakan saya, apa yang saya buat dan ke mana saya pergi. Alhamdulillah, saya selalu ingat pesanan mak ayah, jika nak berjaya kena berbalik kepada pegangan agama. Saya berlakon, niat untuk mencari rezeki dan membalas jasa kedua orang tua, jadi ALLAH permudahkan,“ ulas beliau lagi.
Mencari Mr Right
Kesempatan itu juga, penulis mengajukan persoalan mengenai soal jodoh. Sambil tertawa kecil dan mengakui belum lagi mencari Mr Right, beliau bersyukur kerana keluarga tidak pernah memaksa dalam soal tersebut.
“Alhamdulillah, memasuki usia 29 tahun ini, keluarga memahami dan tidak pernah nak paksa untuk cepat-cepat kahwin. Mereka faham zaman dahulu dan sekarang berbeza.
“Apatah lagi dengan isu kini yang mana isteri dibunuh, didera dan sebagainya sedikit sebanyak membuatkan saya jadi trauma dan bimbang dengan situasi sekarang, entah di mana silapnya sehinggakan orang yang sepatutnya menjadi pelindung namun sanggup menzalimi insan kesayangan mereka.
“Sebab itu saya bimbang andai tersalah memilih boleh tersepit dalam satu ikatan perkahwinan yang boleh diibaratkan seperti dalam neraka. Justeru, pada saya jodoh tunggu dulu. Biarlah lambat asalkan mendapat pasangan yang terbaik,“ ujar Shaza sebelum menutup perbualan.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang