'Doakan bahagia, bukan mengata'– Perkongsian lelaki ini tentang Fattah, Fazura & Amira buat ramai tersentak

No Image Caption
A
A
A

HIDUP  ini pelik. Kadang-kadang perkara yang kita tidak cari, itulah yang sampai dulu. Termasuklah kata-kata orang.

Seperti pagi tadi, ketika menunggu kopi panas, saya terdengar dengan jelas perbualan dua wanita di meja sebelah.

“Bukan boleh percaya mana, kalau baik takkanlah bercerai dengan Fazura. Ni Amira pula nak nikah dengan dia. Tak takut ke nikah dengan duda? Kalau dia tu lelaki baik, takkan bercerai punya...”

Saya bangun meninggalkan meja tanpa sempat mendengar jawapan kawannya. Tetapi kata-kata itu terus terngiang-ngiang di fikiran, seakan menuntut untuk direnungkan.

Demikian dikongsikan oleh Dr Syahr Musafir menerusi Facebook miliknya. Beliau turut mengimbau sewaktu perkara sama yang terjadi kepada pasangan erra Fazira dan Yusry.

No Image Caption

"Teringat pula pada kisah penceraian Yusry KRU dengan Erra Fazira suatu ketika dahulu. Pernikahan mereka pernah digelar Wedding of the Year, diraikan penuh gemilang. Namun apabila jodoh mereka tidak panjang, orang luar sibuk berspekulasi. Ada yang kata kerana tidak mahu anak, ada yang menuduh masalah kesuburan, ada juga yang menokok tambah dengan kisah ‘high maintenance’.

Hakikatnya, baik Yusry mahupun Erra, mereka bijak menjaga aib dan tidak pernah membuka cerita. Tetapi, kata orang luar bunyinya seolah-olah mereka duduk serumah dengan pasangan itu.

Kemudian, apabila Yusry memilih untuk menikahi Lisa Surihani, sekali lagi tuduhan negatif singgah. Kononnya berkahwin dengan duda itu berisiko, kononnya lelaki yang pernah bercerai tidak akan membawa bahagia. Namun hari ini, kita dapat lihat betapa bahagianya rumah tangga Yusry dan Lisa, bahkan Allah mengurniakan tiga cahaya mata buat mereka.

Oleh yang demikian, jangan cepat melabel. Perceraian bukan kerana pasangan itu jahat, tetapi kerana jodoh mereka sudah sampai di situ. Mungkin ada yang berpisah tapi tetap jadi ibu bapa terbaik. Ada yang berpisah, lalu ALLAH hadiahkan bahagia baharu.

Sebenarnya tuan-puan, kita sebagai orang luar tidak perlu tahu pun kenapa sesuatu pasangan berpisah. Kita bukan ahli keluarga, bukan pakar kaunseling, bukan juga konsultan syariah di mahkamah. Kalau tidak tahu, lebih baik diam daripada meneka atau memfitnah.

Ada pasangan yang berpisah kerana desakan keluarga. Ada yang bercerai kerana jarak kerjaya yang terlalu jauh. Ada juga yang tidak lagi serasi walau masih saling menyayangi. Bukan semestinya kerana si lelaki tidak layak menjadi suami, atau si wanita tidak bagus menjadi isteri. Kadang-kadang, jodoh itu memang hanya sampai di situ.

Maka, menjadi duda itu tidak bermaksud lelaki itu jahat.

Menjadi janda itu juga tidak bermaksud wanita itu gagal.

Kita boleh lihat bagaimana ada pasangan yang berpisah, tetapi tetap menjadi ibu bapa yang baik kepada anak-anak. Ada pula yang berpisah secara baik, kemudian Allah hadiahkan kebahagiaan baru yang lebih sesuai dengan perjalanan hidup mereka.

No Image Caption

Oleh itu, tidak perlulah kita mengutuk Fattah Amin seolah-olah kita tahu segala isi rumah tangganya. Tidak adil juga kalau kita melabel Nur Fazura hanya kerana takdirnya sudah berbeza. Mereka semua insan biasa, sama seperti kita – ada lebih, ada kurang, ada silap, ada betul.

Lebih baik kita doakan semoga Fattah dan Amira disatukan dengan baik. Anak hasil perkahwinan Fattah dan Fazura, Nur Fatima Aisya, dijaga penuh kasih sayang. Dan semoga Fazura juga dipermudahkan urusan kehidupannya, diberi bahagia yang selayaknya.

Kerana akhirnya, setiap kali kita menunjuk jari pada orang lain, jangan lupa bahawa tiga jari lain sedang menuding ke arah kita.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang