Dr Rushdi minta henti panggil isteri penyondol, kagum keperibadian Nora Ariffin. 'Jika ada yang bertanya, saya dekati beliau, bukan sebaliknya...'

SEBELUM ini, suami Datuk Nora Ariffin lebih memilih untuk berdiam diri, seolah-olah enggan membela isteri keduanya itu, meskipun pelbagai tohmahan dan kata-kata kurang enak dilemparkan kepada penyanyi bersuara emas tersebut.
Enggan membiarkan keadaan terus berlarutan, Dr Rushdi Ramli akhirnya tampil membuka mulut.
Baru-baru ini, lelaki tersebut meluahkan rasa sedih apabila ada pihak yang melabelkan Nora, atau nama sebenarnya Datuk Wan Norafizah Ariffin, dengan pelbagai gelaran seperti perosak rumah tangga dan penyondol.
Menerusi hantaran di Facebook, beliau menegaskan bahawa gelaran buruk terhadap isterinya itu perlu dihentikan, selain mengingatkan bahawa poligami adalah sesuatu yang dibenarkan dalam ajaran Islam.
"Jika ada yang bertanya siapa yang mencari siapa dahulu, di sini tidak dapat dinafikan bahawa sayalah insan yang meminang (mencari) Nora dan bukan sebaliknya.
Dalam hantaran panjang tersebut, Dr Rushdi menjelaskan, tidak pernah terlintas untuk mendirikan rumah tangga dengan seorang selebriti kerana kerjaya dan bidang yang berbeza antara mereka.
Bagaimanapun, niatnya untuk menikahi Nora sebagai isteri kedua adalah untuk membimbing penyanyi bersuara emas itu serta anak-anaknya selepas pemergian suami tercinta.
"Sesungguhnya, tidak pernah terlintas dalam fikiran saya untuk mendekati Datuk Nora, apatah lagi kerjaya dan bidang kami begitu berbeza (saya dalam bidang agama).
"Saya dapat mengenali dan akhirnya berkahwin dengan seorang selebriti, Yang Berbahagia Datuk Nora Ariffin, kerana beliau adalah isteri kepada sahabat karib saya, Allahyarham Johan, sejak kecil lagi.
"Didorong oleh niat murni untuk menjaga, membimbing, serta mengajar ilmu kepada anak-anak arwah yang masih di awal usia, dari situlah timbul keinginan untuk meminang.
"Demi Tuhan, hanya ALLAH SWT yang mengetahui niat saya, dan segalanya berlaku dengan kehendak-NYA," ujarnya.
Dr Rushdi yang juga Pensyarah Kanan di Jabatan Fiqh & Usul, Universiti Malaya (UM) mengakui, sedar akan cabaran berpoligami, apatah lagi beliau secara peribadi merasakan dirinya tidak layak untuk menggantikan tempat sahabat baiknya.
"Sebenarnya, saya tidak pernah terfikir untuk berpoligami kerana secara peribadi, saya merasakan diri ini tidak layak. Saya juga sedar bahawa cabarannya sangat banyak dan besar.
"Masyarakat pula sering mencanangkan bahawa isteri kedua adalah perampas, kononnya kehadirannya boleh memporak-perandakan rumah tangga yang sudah bahagia.
Dalam masa yang sama, lelaki berkenaan meluahkan rasa kagum terhadap keperibadian Nora yang disifatkannya sebagai seorang wanita yang baik, bijak mengurus rumah tangga dan menyimpan segala kelukaan di dalam hati tanpa mengeluh.
"Saya dapati bahawa Nora, alhamdulillah, seorang yang berpewatakan sederhana, meskipun bergelar Datuk. Beliau mudah didekati, sentiasa tersenyum walaupun dalam keadaan tertekan."
"Terpaksa untuk saya nyatakan Nora sentiasa menjaga makan minum suaminya, apatah lagi beliau memang mempunyai minat dalam dunia masakan," luahnya lagi.
Untuk rekod, Nora mendirikan rumah tangga dengan Rushdi sekitar hujung tahun 2021 iaitu beberapa tahun selepas kehilangan suami pertamanya yang juga komposer terkenal Johan Nawawi.
Johan disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung pada 24 Mac 2017.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang