Pujuk suami agar diceraikan, rumah tangga Nora Ariffin kembali bergolak? 'Insya-ALLAH ustazah Rose akan kembali monogami...'

KEMELUT rumah tangga penyanyi terkenal, Datuk Nora Ariffin, seolah-olah tiada kesudahan dan terus berpanjangan hingga ke hari ini.
Terbaharu, penyanyi bersuara emas itu secara terbuka menyuarakan hasrat untuk mengakhiri perkahwinannya buat kali kedua dengan suaminya, Dr. Rushdi Ramli.
Dalam satu pendedahan mengejutkan di Instagram Story miliknya, Nora atau nama sebenarnya Datuk Wan Norafizah Ariffin mendedahkan bahawa beliau sudah lebih daripada 10 kali memohon untuk dilepaskan, namun hasratnya masih belum ditunaikan.
Anak kelahiran Kelantan tersebut turut mendakwa bahawa permintaan untuk berpisah itu dibuat atas desakan isteri pertama, yang dikenali sebagai Rose, serta anak tirinya, Alia, yang dikatakan sudah lama mengharapkan rumah tangganya berakhir.
Pada masa yang sama, pemenang Anugerah Juara Lagu kategori Etnik Kreatif itu berharap keputusan yang diambil dapat menghentikan segala tohmahan serta cacian yang sering dilemparkan kepadanya di media sosial, sekali gus memberi ketenangan dalam hidupnya.
Namun begitu, permintaan tersebut langsung tidak mendapat sambutan atau persetujuan daripada suami tercinta, meskipun ia dibuat atas kehendak keluarga pihak lelaki sendiri.
"Saya sedang memujuk ustaz untuk ceraikan saya buat kali kedua.
"Dah lebih 10 kali saya minta suami lepaskan saya kerana ingin tunaikan permintaan ustazah (isteri pertama) dan anak tapi ustaz tak nak lepaskan. Saya nak buat apa lagi?" luahnya.
"Saya akan penuhi permintaan Alia dari dulu lagi untuk kami bercerai.
"Insya-ALLAH ustazah Rose (nama panggilan madu) akan kembali monogami seperti yang diinginkan," katanya.
Dalam pada itu, Nora menganggap sebagai satu kesilapan besar kerana pernah bersetuju untuk menikahi Rushdi serta kembali rujuk selepas mereka bercerai pada Ogos tahun lalu.
"Saya mohon maaf kerana menerima lamaran dan berkahwin secara sah dengan Rushdi.
"Setelah ustaz didesak ceraikan saya, ustaz kembali rujuk kepada saya. Saya minta maaf kerana terima dan rujuk kembali," tulisnya.
Beliau telah mengambil keputusan untuk memadam semua gambarnya bersama suami di media sosial sebagai langkah untuk mengelakkan lebih banyak kecaman serta spekulasi daripada warganet.
"Saya minta maaf kerana post gambar bersama ustaz (suami), saya sudah padam semua gambar berdua kami. Yang ada cuma gambar ramai-ramai," jelasnya.
Sejak tahun 2019, Nora memilih untuk mendiamkan diri mengenai kemelut rumah tangganya dan enggan mengulas lanjut kepada umum.
Namun, kali ini kesabarannya seakan-akan sudah sampai ke penghujung apabila nekad untuk tidak lagi berdiam diri dan mahu memperjuangkan haknya dengan menuntut keadilan secara sah di mahkamah.
"Dari 2019 saya tidak pernah bersuara atau respond terhadap semua kata-kata yang ditujukan kepada saya di media sosial.
"Tetapi sekarang semuanya sudah keterlaluan, biar undang-undang yang menentukan,"jelasnya.
Terdahulu, pada 12 Ogos 2023, Rushdi menceraikan Nora dengan talak satu menerusi rakaman video berdurasi 52 saat yang tular di media sosial.
Namun, hanya selepas sebulan, pasangan itu mengambil keputusan untuk kembali rujuk dan meneruskan bahtera perkahwinan mereka.
Untuk rekod, Nora mendirikan rumah tangga dengan Rushdi sekitar hujung tahun 2021 iaitu beberapa tahun selepas kehilangan suami pertamanya yang juga komposer terkenal Johan Nawawi.
Johan disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung pada 24 Mac 2017.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang