Aliff Aziz fokus pulihkan diri, doakan kebahagiaan Bella & anak-Anak – 'Ayden, Ara… Daddy rindu'

No Image Caption
A
A
A

TERLONTAR jauh dari tumpuan industri seni, Aliff Aziz kini memilih untuk mengemudi hidup dengan lebih tenang selepas badai rumah tangga yang mengakhiri perkahwinannya dengan Bella Astillah.

Walau kisah cinta mereka menjadi bualan ramai, pelakon dan penyanyi kelahiran Singapura itu kini lebih banyak mendiamkan diri dan memberi keutamaan kepada proses pemulihan diri serta kerinduannya terhadap dua cahaya mata yang semakin membesar tanpa kehadirannya.

No Image Caption

Dalam temu bual eksklusif bersama Berita Minggu Singapura, Aliff terbuka berkongsi tentang fasa hidupnya selepas berpisah, termasuk sentimen terhadap hubungan rapat Bella dan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq, yang menjadi bualan hangat netizen menerusi tanda pagar #BASS.

Apabila disoal tentang perkara itu, Aliff memberi respons yang tenang dan bersikap terbuka. Katanya, jika itu yang membahagiakan, dia reda dan hanya mendoakan yang terbaik untuk kedua-duanya.

No Image Caption

Menurut pelakon kelahiran Kota Singa itu, segala apa yang berlaku dalam hidupnya kini dianggap sudah berlalu. Fokus utamanya bukan lagi soal kontroversi atau kisah lama, tetapi lebih kepada proses pemulihan diri. Dalam masa sama, perkara yang paling dekat di hatinya ialah anak-anak,  Ayden Adrean yang kini berusia lapan tahun dan Ara Adreanna, lima tahun.

Jelas Aliff, dia hanya mahu anak-anaknya dikelilingi oleh orang yang menyayangi dan melayan mereka dengan baik. Itu sudah cukup buatnya sebagai seorang bapa. Walaupun Bella kini menjalani kehidupan baharu, Aliff tidak menyimpan sebarang rasa cemburu. Sebaliknya, dia bersyukur kerana anak-anak berada di tangan yang penuh kasih sayang.

No Image Caption

Namun jauh di sudut hati, Aliff mengakui dia sangat merindui Ayden dan Ara. Sejak 2024, katanya, hubungan mereka terputus dan dia masih belum berpeluang bertemu mahupun berhubung secara langsung dengan kedua-dua anaknya. Malah, menonton video mereka pun menjadi satu perkara yang sukar kerana terlalu sebak. Setiap kali tiba ulang tahun kelahiran Ayden pada 8 Julai dan Ara pada 18 Julai, kerinduan itu makin terasa. Aliff turut berkongsi bahawa setiap hari dia berdoa agar takdir mempertemukan mereka semula. Banyak yang ingin dia sampaikan, tetapi terpaksa dipendam kerana belum ada ruang.

Menurutnya lagi, kasih seorang ayah itu tidak pernah luntur. Dia berharap Ayden dan Ara tahu bahawa "Daddy" mereka sentiasa ingat walau apa pun berlaku.

"Saya rindu sangat. Doa saya setiap hari adalah untuk dapat lihat mereka semula dan sampaikan segala yang saya simpan dalam hati.

"Daddy sentiasa ingat dan mendoakan Ayden dan Ara… I love you so much and I miss you," katanya.

No Image Caption

Dalam temu bual sama, dia turut menyentuh tentang isu kontroversi yang membabitkan dirinya dan pelakon Ruhainies, yang sebelum ini ditangkap khalwat di sebuah kondominium mewah sekitar Mac 2024. Kedua-dua mereka kemudian didenda RM3,000 oleh Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan selepas mengaku bersalah. Tidak lama selepas itu, perkahwinan Aliff dan Bella berakhir pada 13 Jun 2024, menandakan noktah kepada hubungan yang terjalin sejak 2016.

KECAMAN NETIZEN

Mengulas mengenai situasi itu, Aliff tidak menafikan bahawa dia sering dihimpit rasa bersalah kerana tidak dapat berada di sisi anak-anak ketika mereka sedang membesar.

Aliff mengakui, dia sering terperangkap antara keinginan untuk menjelaskan segalanya kepada umum dan keperluan menjaga perasaan keluarga. Kadang-kadang dia mahu bersuara, tetapi memikirkan kesan terhadap anak-anak dan ibu tersayang, dia memilih untuk diam. Baginya, bukan semua perkara perlu dijelaskan kepada orang luar, cukup sekadar mereka yang rapat tahu siapa dirinya yang sebenar.

No Image Caption

Tambah Aliff, tekanan juga datang daripada liputan media dan kecaman netizen. Namun, dia kini dalam proses memperbaiki diri dan bangkit semula dengan semangat baharu. Katanya, bukan mudah untuk berdepan semua ujian ini, lebih-lebih lagi apabila keluarga turut terheret dalam isu-isu peribadi.

Dia turut melahirkan rasa terima kasih terhadap ibunya yang sentiasa berada di sisinya dan mempertahankannya walaupun keluarga mereka sering menjadi perhatian ramai. Aliff bertekad untuk kembali bangkit dan menjadi insan yang boleh dibanggakan semula oleh keluarga.

No Image Caption

Sebagai penutup, Aliff berharap satu hari nanti dia akan diberi peluang untuk berjumpa semula dengan anak-anaknya. Bukan sahaja untuk memeluk mereka semula, tetapi juga untuk menjelaskan segala yang terbuku di hati selama ini.

Baginya, apa yang paling penting sekarang ialah proses pemulihan diri, bukan untuk mencari publisiti murahan atau mencipta sensasi semata-mata.

Berita Minggu turut menyatakan bahawa mereka telah cuba menghubungi Bella untuk mendapatkan respons berhubung kenyataan Aliff, namun belum menerima sebarang maklum balas.

Sumber: Berita Minggu Singapura

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang