Along Cham akui dah lama bersedia kembali solo- ‘Go with the flow…’
PELAKON dan pelawak, Along Cham, mengakui dirinya sudah lama bersedia untuk melangkah ke fasa baharu sebagai individu solo selepas episod panjang rumah tangga bersama isterinya, Afreena Suhaimi.
Ketika ditemui selepas prosiding pengesahan lafaz taklik di Mahkamah Rendah Syariah Sepang, Along atau nama sebenarnya Muhammad Nizamuddin Ahmad berkata, isu rumah tangganya sudah berlarutan sejak sekian lama dan dia kini hanya mahu meletakkan titik noktah yang sepatutnya.
"Sudah nampak ‘bunga-bunga’ (pengesahan). Bukan bunga-bunga cinta ya. Saya pun tak nak cerita banyak, nanti orang kata saya buka aib pula.
“Sejak keluar dari madrasah Sungai Buloh (penjara) pun saya sudah bersedia sebab saya sudah tahu segala-galanya. Mungkin netizen anggap saya nak tutup apa yang berlaku (kes sivil) tetapi hakikatnya kes kami (masalah rumah tangga) berlaku sebelum itu dan belum sempat disahkan di pejabat agama, berlaku tragedi lain (Along ditahan polis).
"Jadi saya selesaikan satu persatu, dari tiada peguam, sekarang ada peguam. Saya go with the flow saja. Cuma mental kena jaga, emosi kena cool,” katanya.

Menurut Along, 42, proses itu mengajarnya untuk lebih reda dan tidak terbeban dengan pandangan luar. Apa yang penting baginya ialah memastikan diri kekal kuat menempuh hari mendatang.
Menyentuh tentang kerjaya seni, bintang Utama Tiada Tajuk itu mengakui turut terkesan kerana kekurangan tawaran berlakon.
RAKAN SEANGKATAN
Pada mulanya menyangkakan namanya tidak dipilih berikutan kes yang masih berjalan, namun Along mendedahkan rakan seangkatannya juga berdepan dengan masalah sama.
“Mula-mula ingat saya tiada kerja, tapi bila kawan-kawan telefon, ingat nak tanya khabar, rupanya mereka pun beritahu tiada kerja. Industri tengah perlahan.
"Siapa ada duit boleh buat filem sendiri walaupun agak mustahil. Tapi saya percaya rezeki ALLAH luas. Mungkin selepas ini saya akan mula berniaga bersama keluarga,” katanya lagi.
Semalam, Along yang diiringi peguam, Muhammad Akmal Amzan, dan keluarganya hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Sepang bagi prosiding pengesahan lafaz cerai secara taklik yang difailkan ke atas Afreena, 33, pada 28 Januari lalu.

Berikutan hujahan balas pihak defendan iaitu isterinya panjang dan sidang selesai pada jam 6.30 petang, hakim kemudian menangguhkan pengesahan lafaz taklik ke 30 September ini.
Terdahulu, pasangan terbabit mendirikan rumah tangga pada 4 April tahun lalu, namun dua bulan selepas itu Along melafazkan cerai di rumahnya di Cyberjaya.
Along sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan Zila Saeron, namun bercerai pada September 2016. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Ahmad Daniel, 14, yang kini berada di bawah jagaan Along.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

