Anna Jobling pilih tak baca komen, bukan sombong, tapi jaga hati & kekal positif. 'Tak ada kerja lain ke....'
PELAKON popular, Anna Jobling bukan sahaja menarik perhatian ramai kerana wajah menawan dan darah kacukan Melayu‑Inggeris, tetapi juga kerana bakat lakonannya yang konsisten menonjol. Namun, di sebalik populariti dan sorotan kamera, kehidupan sebagai public figure membawa cabaran tersendiri, terutama kecaman dan komen negatif di media sosial yang kadang-kadang tidak terkawal.
Pemilik nama sebenar, Anna Ellisa Gustin Jobling Abdul Rahman, mula menuai perhatian ramai menerusi drama Melur Untuk Firdaus (2022) yang mempopularkannya. Tidak terhenti setakat itu, penampilannya sekali lagi mencuri perhatian antarabangsa melalui drama Hai Cinta, Dengarkanlah!.
Kejayaannya diiktiraf apabila dia menerima Outstanding Asian Star di Seoul International Drama Awards 2025, membuktikan bahawa populariti bukan tiket untuk bebas daripada kritikan. Sejak popularitinya meningkat, Anna sering menjadi tumpuan netizen. Ada komen yang membina, tetapi tidak kurang juga yang negatif.

“Memang selalu ada komen negatif. Tapi bila dah sampai satu tahap, suatu masa, kita dah tak rasa apa-apa bila orang komen negatif,” kongsi Anna jujur. Komen sebegini kadang-kadang membuatkan dia rasa seperti mengabaikan diri sendiri. Rahsia yang membuatkan dirinya tenang dan mampu mengawal tekanan adalah jarang membuka media sosial.
“Semua benda ada di media sosial. Apa yang orang nampak hanyalah apa yang kita nak tunjuk. Mereka tak tahu hari-hari off kita macam mana, bila kita tak ada dekat media sosial, kita buat apa. Mereka tak kenal kita sebenar-benarnya,” jelasnya. Biarpun pelbagai spekulasi melanda, Anna tetap boleh fokus pada kerja kerana mempunyai sokongan kuat daripada keluarga, rakan-rakan, dan peminat yang benar-benar memahami dirinya.
PUBLIC FIGURE
Selain itu, wanita tinggi lampai itu juga menekankan kepentingan “me time” dalam hidupnya. Walaupun jadual padat, dia memastikan ada masa untuk dirinya sendiri sama ada berlatih senaman, menonton filem, atau sekadar menikmati masa bersendirian. Aktiviti sedemikian membantunya menenangkan fikiran, melepaskan tekanan, dan kekal positif.
Bagi wanita cantik manis berkenaan, orang di sekelilingnya itulah yang paling penting. Mereka mengenali dirinya dengan baik, menerima siapa dirinya, dan menghargai nilai yang dia bawa dalam hidup mereka.

“Saya tahu siapa saya, begitu juga dengan orang di sekeliling saya. Itu sudah memadai dan paling penting untuk diri ini,” tegasnya.
Pada masa sama, Anna menegaskan bahawa nasihat atau pandangan daripada orang yang tidak penting baginya tidak akan diambil kira. Fokusnya adalah pada mereka yang benar-benar memberi nilai dalam hidupnya seperti keluarga, kawan, peminat, dan semua yang bekerjasama dengannya.
Walaupun dikenali sebagai public figure, dia juga mengakui tetap seorang manusia biasa yang punya hati dan perasaan.

Bezanya, dia selalu menjadi tumpuan, dan ramai berasa mereka berhak mengulas tentang dirinya. Namun, Anna memilih tidak membuang masa melayan komen negatif atau membandingkan dirinya dengan orang lain.
“Kalau nasihat elok, saya boleh terima. Tapi bila nak kecam, nak compare dengan orang lain, saya rasa, tak ada kerja lain ke? Biarlah, janji saya teruskan hidup saya,” jelasnya lagi kepada SinarPlus.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
