‘Arwah bukan sahaja seorang komposer tetapi juga pendidik…,’ Keluarga rancang terbit buku nota muzik khas Allahyarham Ahmad Nawab

No Image Caption
A
A
A

HARIMAU mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama.

Peribahasa ini cukup tepat untuk menggambarkan jasa dari karya seni yang ditinggalkan Allahyarham Tan Sri Dr. Ahmad Nawab sebagai seorang legenda muzik tanah air dan menjadi sebahagian daripada sejarah seni Malaysia.

Sejak berusia 16 tahun, arwah telah menggubah lebih 2,000 lagu dan mencipta melodi yang telah menjadi sebahagian daripada jiwa dan nostalgia ramai rakyat Malaysia. Karya-karya hebat ini terus menjadi warisan seni yang tidak ternilai harganya.

Bagi memastikan ia terus hidup dan diingati, keluarga Allahyarham kini sedang merancang beberapa langkah penting.

Menurut anaknya, Nassier Khan Ahmad Khan, mereka merancang untuk menerbitkan sebuah buku nota muzik khas yang menghimpunkan semua koleksi lagu ciptaan arwah. Buku itu bukan sahaja menjadi dokumentasi seni tetapi juga sumber inspirasi dan rujukan generasi akan datang.

Bagaimanapun, Nassier yang juga anak keempat daripada lima beradik berkata, perkara itu masih dalam perancangan bersama Kementerian Komunikasi melalui agensi di bawahnya, MyCreative Ventures.

"Buat masa ini saya dan adik-beradik lain yang menguruskan syarikat rakaman milik arwah bapa," katanya ditemui SinarPlus selepas selesai pengebumian Allahyarham Ahmad Nawab di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah, Taman Selasih pagi tadi.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, mereka juga bercadang untuk menubuhkan sebuah galeri khas yang memaparkan pencapaian dan perjalanan karier Allahyarham.

Malah, terdapat perbincangan dengan Persatuan Seni di Pulau Pinang untuk mewujudkan sebuah Muzium Tan Sri Ahmad Nawab, yang mungkin akan dibina di rumah lama keluarga mereka di negeri itu.

"Sebenarnya dari Pulau Pinang ada hajat untuk buat galeri khas Allahyarham Ahmad Nawab. Ditambah pula kami dari sana. Kemungkinan rumah datuk dan nenek saya di sana akan dijadikan lokasi galeri khas itu," katanya.

Nassier yang kini bekerja sebagai penganjur acara dan komposer sambilan menyifatkan arwah bapanya bukan sahaja seorang komposer prolifik, bahkan turut dikenali sebagai guru yang berjaya membimbing ramai bintang besar dalam industri muzik.

"Ramai nama-nama besar yang berjaya dalam industri muzik hari ini adalah hasil bimbingan arwah. Pada saya, ayah mempunyai jasa yang besar.

"Beliau bukan sahaja seorang komposer tetapi juga pendidik yang sangat teliti dalam aspek disiplin dan etika kerja.

"Artis di bawahnya semua sudah berjaya dengan lebih 2,000 lagu digubahnya diharapkan akan terus dimainkan. Secara tidak langsung, saya akan teruskan legasi beliau," katanya.

Nassier yang kini berusia 62 tahun memberi jaminan bahawa koleksi lagu, dokumen, dan memorabilia Allahyarham akan dijaga rapi agar terus relevan dan dihargai.

Langkah itu bukan sekadar penghormatan kepada seorang maestro muzik, tetapi juga inspirasi kepada generasi muda untuk menghargai seni, budaya, dan usaha keras yang menghasilkan karya-karya abadi.

Allahyarham Tan Sri Dr. Ahmad Nawab mungkin telah pergi, tetapi irama dan legasinya akan terus hidup serta menjadi sebahagian daripada sejarah dan jiwa muzik Malaysia.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang