Ashraf Muslim dedah cara kekal harmoni rumah tangga tanpa terbuka di media sosial- 'Keluarga 'harta' saya, tak semua boleh dikongsi'

A
A
A

DUA puluh tahun dalam industri seni tidak mengubah sikapnya. Masih peramah, mesra dan rendah hati. Itulah antara rahsia mengapa rezeki pelakon popular, Ashraf Muslim sentiasa lancar tanpa perlu tergesa-gesa mengejar semua tawaran.

Baharu sahaja menamatkan penggambaran sebuah program seram, Ashraf mengambil keputusan untuk menarik nafas sejenak.

Bagi pelakon drama Mandul Bukan Pilihan itu, waktu rehat bukan sekadar berhenti dari set, tetapi peluang untuk menghabiskan masa dengan keluarga atau sekadar melepaskan lelah sejenak.

Sebagai 'public figure', tuan punya badan sudah masak dengan asam garam anak seni.

Selain kerjaya, kehidupan peribadi termsuklah isu poligami menjadi sorotan ramai.

No Image Caption

Bahtera perkahwinan yang dibina bersama dua isteri, Noor Dayana Lokman dan Wan Sakinah Wan Saburi, bagaimanapun berjalan harmoni.

Jarang berkongsi isu peribadi untuk tatapan umum, ahli Rejimen Askar Wataniah, berpangkat Leftenan dari Angkatan Tentera Malaysia itu dilihat hanya sesekali mengisi ruang media sosialnya dengan mengabadikan wajah-wajah milik kesayangannya.

Selebihnya, dia lebih suka bercerita soal kerjaya tanpa melebihkan membuka tirai privasi keluarganya.

Kini, Ashraf menikmati kehidupan dengan sederhan, sibuk dengan seni, tetapi tetap memberi ruang untuk keluarga, rehat dan momen-momen kecil yang membentuk bahagia seharian.

Dalam temu bual bersama SinarPlus baru-baru ini, Ashraf mendedahkan dirinya kini melakar perjalanan baharu dalam dunia keusahawanan.

Masa depan keluarga

Bidang fesyen bukan perkara baharu bagi pelakon tinggi lampai itu kerana sebelum ini sudah memiliki baju Melayu jenama sendiri. Kini, dia menambah cabang dengan butik pakaian wanita, memandangkan pasaran luas, permintaan tinggi dan ruang untuk berkembang.

Ashraf bukan keseorangan dalam usaha ini. Bintang drama Andai Itu Takdirnya itu berkolaborasi bersama Tengku Datuk Dr. Hishammuddin Zaizi Tengku Bendahara Azman Shah Alhaj di bawah jenama JeMels Atelier, sebuah projek lahir daripada minat, peluang dan perancangan rapi.

No Image Caption

“Sekarang saya tengah relaks sekejap sebab penggambaran baru habis, jadi fokus pada perniagaan terlebih dahulu. Banyak perancangan sedang disusun satu persatu,” ujarnya.

Jemel.co bukan butik fesyen wanita biasa; ia membawa nilai sejarah, budaya dan identiti Selangor. Elemen bunga tanjung, misalnya, menjadi simbol dalam rekaan jenama itu.

“Kita meniaga soal peluang. Kalau ada peluang dan kelebihan, kenapa tidak cuba? Dunia seni ada turun naik, jadi sebagai pelakon, kena fikir masa depan keluarga juga,” jelas Ashraf.

Walaupun bergelar usahawan, rumah tangga tetap menjadi keutamaan. Kedua-dua isterinya menjadi penyokong utama, tetapi tanpa campur tangan dalam urusan bisnes.

“Mereka banyak membantu bagi pandangan dan sokongan, tapi saya tidak suka letakkan keluarga terlalu ke hadapan. Kita ada teknologi dan pasukan sendiri. Cukuplah mereka menjadi pendorong,” kata Ashraf.

Berhubung isu pasangan selebriti yang kerap berkongsi kehidupan di media sosial, Ashraf sebaliknya lebih selesa mengekalkan privasi.

“Keluarga adalah harta saya. Tidak semua boleh dikongsi. Kalau selalu tunjuk kebahagiaan, kekayaan atau kesusahan, takut mengundang fitnah. Saya mahu elak perkara yang beri kesan buruk pada keluarga,” tegasnya.

Perjalanan rumah tangganya sering menjadi perhatian, termasuk isu poligami, namun Ashraf menegaskan dia tidak berbangga dijadikan contoh.

“Saya manusia biasa, ada kelemahan. Kalau nak dijadikan contoh, ambillah contoh terbaik iaitu Nabi Muhammad SAW. Kita sudah ada panduan jelas. Susah nak ikut, tapi melalui proses itu, nikmat berkeluarga dapat dirasai,” katanya rendah diri.

No Image Caption

Kouta keluarga

Menjawab soal damai melayari bahtera rumah tangga, dia mengakui kunci kebahagiaan hadir apabila suami dan isteri saling memahami objektif hidup, menjaga aib, mendengar dan menyelesaikan masalah dalam kuota keluarga sendiri, bukan di ruang komen.

“Soal keluarga, hanya kita yang tentukan. Orang luar tidak ada hak. Yang tanggung bahagia atau derita tetap kita,” ujarnya tegas.

Soal kekeluargaan kami noktahkan dan bicara kemudiannya beralih kepada soal inspirasi. Ashraf tidak teragak-agak menyebut nama Datuk Rosyam Nor, figura seni yang berjaya membina empayar bisnes dan reputasi melalui perjalanan yang panjang dan jujur.

“Saya ikut perjalanan beliau sejak awal sebagai pelakon tambahan, jadi runner, sehinggalah memiliki produksi sendiri. Semangat itu yang saya nak ikut. Reputasi, bisnes dan karier bergantung cara kita bawa diri,” tambahnya.

Baginya, dunia seni dan perniagaan mungkin kelihatan berbeza, tetapi kedua-duanya memerlukan disiplin, strategi dan ketahanan mental. Sebab itu, dia percaya setiap anak seni perlu mempunyai pelan sandaran.

No Image Caption

“Kita tak tahu apa akan jadi 10 tahun akan datang. Jadi kena ada pelan sandaran atau persediaan untuk akan datang. Bukan saja pelakon, kru, jurukamera dan semua perlu fikir masa depan," jelas Ashraf.

Pada masa sama, dia mengingatkan kejayaan bukan diukur pada kemasyhuran, tetapi kemampuan membina kehidupan yang stabil, berprinsip dan bermakna.

“Saya cuma nak buat yang terbaik untuk keluarga, kerjaya dan masyarakat. Kalau boleh beri manfaat, itu sudah cukup dan memadai buat diri ini," ungkapnya lagi.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang