Ashraf Muslim ingatkan dua isteri hati-hati guna media sosial. 'Jaga aib, jaga keluarga. Tak Semua perlu dikongsi'

DALAM dunia serba digital hari ini, setiap detik dan emosi mudah sahaja ditukar menjadi hantaran.
Namun, pelakon terkenal, Ashraf Muslim mengingatkan masyarakat agar tidak terlalu ringan tangan dalam berkongsi isu peribadi di media sosial, apatah lagi yang melibatkan hal rumah tangga dan keluarga.
Memetik perkongsian beliau baru-baru ini, Ashraf berkata, tindakan sebegitu bukan sahaja tidak membantu menyelesaikan masalah, malah berpotensi membuka ruang kepada lebih banyak konflik dan persepsi negatif yang tidak diundang.

"Jangan jadikan media sosial sebagai platform untuk selesaikan masalah sebab tidak semestinya di platform ini dapat membantu meringankan bebanan.
"Sebaliknya, media sosial menyumbang masalah lebih banyak, jadi kena berhati-hati. Tidak semestinya orang luar suka atau sokong kita.
"Kalau sayangkan diri, keluarga dan orang sekeliling, berhati-hatilah dalam membuat keputusan berkongsi dalam media sosial," katanya
Membuka aib
Ashraf turut menekankan kepentingan menjaga maruah dan nama baik keluarga.
Katanya, setiap keputusan untuk berkongsi sesuatu di media sosial perlu difikirkan masak-masak, terutama kesannya terhadap insan-insan tersayang.

Bagi Ashraf sendiri, keutamaan menjaga keharmonian keluarga bukan hanya terletak pada kata-kata, tetapi perlu dibuktikan melalui tindakan.
Pelakon drama Dari Rahim Yang Sama itu turut menasihatkan kedua-dua isterinya agar sentiasa berhati-hati menggunakan media sosial dan tidak menjadikan platform itu sebagai tempat melampiaskan rasa atau membuka aib.

“Keluarga itu ibarat kereta rosak. Kita takkan tinggalkan begitu sahaja di tengah jalan. Kitalah yang kena baiki sikit demi sikit. Janganlah kita gunakan amarah untuk selesaikan di tempat yang tidak sepatutnya, termasuklah media sosial.
“Media sosial adalah platform yang bagus, tetapi kalau digunakan dengan cara tidak bagus, lama-kelamaan ia akan merosakkan hubungan dengan orang tersayang, diri sendiri dan keturunan,” ungkap beliau.
Pada masa sama, beliau turut meningatkan mengingatkan semua supaya berhati-hati sebelum menulis di platform media sosial kerana bimbang boleh menyinggung perasaan orang lain.
"Jadi, kena berhati-hati apabila berkata-kata atau menunjukkan dari segi perbuatan. Ia boleh membuatkan orang lain berkecil hati. Perkara ini mungkin akan memberi kesan yang tidak baik kepada orang lain dan diri sendiri.
"Bagi saya, janganlah kita buka cerita dan aib sama ada baik atau buruk dalam media sosial. Simpanlah, takkan semua perkara mahu dikongsi," ujarnya lagi.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang