Beego masih cuba pujuk Linda, tersentuh dengar kata-kata anak bongsu

No Image Caption
A
A
A

MESKIPUN rumah tangganya bersama pelakon Linda Hashim sedang melalui fasa getir, pelakon dan penyanyi Aszerul Nizam Abdullah atau Beego, tetap menyimpan harapan agar hubungan mereka dapat diselamatkan.

Menurut Beego, 45, usaha memujuk isterinya bukan perkara baharu, sebaliknya telah dilakukan sejak setahun lalu selepas berlaku perpisahan kali kedua.

“Saya masih dalam proses memujuk sejak setahun ini. Saya cuba sedaya upaya walaupun dia nampak dah nekad.

"Dulu kami tak dapat berkomunikasi langsung sehinggalah baru-baru ini, bila anak kami, Anggun, melecur di kaki. 

"Dari situ kami mula bercakap semula, sebab saya kena ambil giliran jaga anak. Alhamdulillah, itu satu permulaan yang baik,” katanya ketika ditemui selepas prosiding di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, pada Rabu.

Beego berkata, hubungan komunikasi yang kembali terjalin antara mereka sedikit sebanyak memberi sinar baharu dalam usahanya memulihkan rumah tangga.

“Sekarang kami masih boleh berhubung. Dia minta saya hormati keputusannya, tapi saya masih fikir ada ruang, insya-ALLAH,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Beego mengakui anak-anak mereka menjadi pendorong terbesar untuk dia terus berusaha memperbaiki keadaan.

Artikel Berkaitan:

“Anak bongsu saya pernah cakap, dia tak nak kami bercerai. Untuk budak enam tahun cakap begitu, ia sangat menyentuh hati saya. Harapnya ibunya juga dapat lihat dari sudut positif,” katanya tenang.

Beego masih berharap Linda memberi peluang sekali lagi kepadanya.
Beego masih berharap Linda memberi peluang sekali lagi kepadanya.

Disoal adakah dia sengaja menggunakan sentimen anak sebagai senjata untuk meraih simpati, pelakon yang mula dikenali menerusi siri Puteri itu menafikannya.

“Saya tak pernah bermain dengan sentimen anak. Mereka jujur bila cakap nak ibu bapa bersama. Itu datang terus dari hati,” katanya.

Beego turut berkongsi bahawa dia masih berusaha mencari pendekatan terbaik untuk menambat semula hati isterinya, termasuk menghidupkan kembali kenangan manis mereka sekeluarga.

“Kadang-kadang bila saya hantar anak, mereka peluk dan ajak masuk rumah. Memang tersentuh. Dia pun ada beri saya kunci rumah di Seri Rampai, tempat dia dibesarkan.

"Saya rasa itu satu langkah baik. Kalau dia nak pindah semula ke sana, saya pun tak kisah sebab tempat itu bagi aura positif pada dia. Saya cakap, kalau pindah sana pun tak apa, sekurang-kurangnya anak-anak dapat rasa suasana rumah yang sama,” jelas Beego lagi.

Dia juga percaya, semua manusia tidak terlepas daripada melakukan kesilapan dan dirinya kini hanya berharap diberi peluang kedua untuk memperbaiki keadaan.

“Saya dah lalui macam-macam. Hukuman pun saya dah kena sebab satu Malaysia tahu apa yang jadi.

"Saya cakap pada Linda, kalau dia beri saya satu lagi peluang, semua orang akan perhatikan saya. Jadi, tak rugi pun kalau dia beri saya peluang itu,” katanya penuh harap.

Terdahulu, prosiding perceraian antara Beego dan Linda yang berlangsung di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan pada Rabu tidak dapat diteruskan selepas pihak Linda masih belum memfailkan taklik seperti diminta mahkamah.

Peguam yang mewakili Beego, Muhammad Akmal Amzan, memaklumkan mahkamah menetapkan tarikh baharu pada 16 Disember 2025 bagi memberi ruang kepada pihak Linda memfailkan dokumen tersebut.

“Sebelum ini, prosiding kita sebab ada pengakuan taklik daripada pihak sana yang dikatakan dilafazkan oleh Beego.

"Jadi mahkamah minta pihak sana failkan taklik terlebih dahulu. Cerai tak boleh berjalan lagi selagi taklik itu belum disahkan,” katanya.

Manakala, peguam Linda, Nurul Fadzilah Kamaluddin, berkata, anak guamnya memohon penangguhan proses tersebut kerana masalah kesihatan anak mereka.

Linda tidak hadir ke mahkamah pada hari berkenaan.

Untuk rekod, pasangan ini pernah bercerai pada 27 Mac 2023, namun kembali rujuk pada 9 April 2023 sebelum berpisah semula beberapa bulan kemudian kerana tiada persefahaman.

Mereka mendirikan rumah tangga pada Jun 2013 dan dikurniakan tiga anak perempuan iaitu Jelita Clarissa, 11; Anggun Cassandra, 10; dan Indah Camelia, 6.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang