Beego nafi ke kelab malam, yakin bukan Linda sebarkan video - ‘Saya bukan budak-budak’
PELAKON dan penyanyi, Aszerul Nizam Abdullah atau Beego menafikan dakwaan dirinya berhibur di kelab malam seperti yang tular baru-baru ini.
Menjelaskan perkara itu, Beego berkata, video berkenaan sebenarnya dirakam ketika dia menghadiri majlis hari jadi tertutup di sebuah pusat karaoke eksklusif, bukannya kelab malam seperti didakwa segelintir pihak.
“Saya dah bertahun tak pergi kelab malam. Video itu dirakam sewaktu saya hadir ke parti hari jadi, bukan tempat hiburan terbuka.
“Sejak jadi artis pada 2002, saya memang jaga hubungan dengan ramai pihak dari Semenanjung sampai Sabah dan Sarawak.
"Kalau orang kata itu kelab malam, buktikan. Saya bukan budak-budak,” katanya ketika ditemui di pekarangan Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Jalan Duta pada Rabu.
Bekas anggota Phyne Ballerz itu turut menjelaskan, lokasi tersebut bukan kelab malam sebaliknya pusat hiburan tertutup berkonsepkan eksklusif.
“Saya pergi ke tempat yang high end. Jadi, kalau orang nak panggil tempat itu tempat goyang atau KTV eksklusif, terpulang. Tapi bukan kelab malam,” ujarnya.
Mengulas mengenai penyebaran video berkenaan, Beego yakin isterinya, Linda Hashim, tidak terlibat.
“Saya rasa Linda tak burukkan saya, cuma mungkin orang sekeliling yang jadi mata dan telinga dia. Saya pun tak kisah, sebab saya percaya fitnah itu kerja manusia. Kita tak boleh tutup mulut orang,” jelasnya lagi.
Jelas lelaki berusia 45 tahun tersebut, kejadian dalam video itu juga sudah lama berlaku dan kini dia memilih untuk memperbaiki diri dengan mendekatkan diri kepada Allah SWT.
“Saya sertai jemaah tabligh bukan nak tunjuk baik, tapi nak cari diri sendiri dan tebus masa saya dengan ALLAH. Saya bukan pergi sebab nak tunjuk perubahan kepada orang lain, tapi sebab nak tenangkan hati.
“Dalam hidup, kita semua pernah buat silap. Saya pun tak terkecuali. Tapi bila berada dalam kelompok jemaah, saya dapat ruang muhasabah, belajar nilai sabar, dan faham kenapa ALLAH uji rumah tangga, karier dan kehidupan kita,” katanya.
Tambahnya, penyertaan dalam aktiviti keagamaan itu juga bukan untuk dijadikan bahan perhatian masyarakat, sebaliknya satu bentuk perjalanan peribadi yang memberi kekuatan baharu.
“Bila orang luar tengok gambar atau video saya ikut jemaah, ada yang kata saya berpura-pura. Tapi berpura-pura itu subjektif, saya hanya nak perbaiki diri, bukan nak jadi maulana.
“Kalau orang lain tengok dan terbuka hati untuk sertai, sekurang-kurangnya ada benda baik yang boleh dibuat. Saya anggap setiap langkah kecil itu satu proses untuk dekat semula dengan Tuhan,” ujarnya tenang.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

