'Biasalah rakan sekerja…' Fattah Amin jawab isu hantar bunga & ibu melawat Amira di hospital

A
A
A

SEBUT sahaja nama Fattah Amin, siapa yang tidak kenal. Ke mana-mana sahaja pergi, ada sahaja wajahnya. Laku keras usai dia bercerai talak satu dengan Fazura pada 7 Oktober 2024 selepas tujuh tahun mendirikan rumah tangga.

Baru-baru ini, namanya kembali diperkatakan ramai apabila dilihat menghantar jambangan bunga kepada rakan sekerjanya, Amira Othman, yang dimasukkan ke hospital akibat keracunan makanan.

Dalam satu pertemuan dengan media, persoalan tersebut ditanyakan kepada tuan punya badan.

No Image Caption

“Bahaya kalau salah jawab ni,” seloroh Fattah Amin sambil tertawa kecil apabila isu bunga yang diterima oleh rakan gandingannya, Amira, mula menjadi bualan ramai.

Anak sulung daripada lima beradik itu bagaimanapun berkata, perkara tersebut tidak lebih daripada satu bentuk keprihatinan terhadap rakan sekerja, bukan sesuatu yang perlu diperbesarkan.

Menurut Fattah, tiada apa yang pelik jika rakan sekerja menghantar bunga, apatah lagi apabila seseorang dimasukkan ke hospital.

“Biasalah rakan sekerja hantar bunga. Lagipun bukan hari-hari, hanya dua hari,” ujarnya lagi.

Tidak cukup dengan hantaran bunga, kehadiran ibunya di hospital turut menuai perhatian, khususnya peminat yang mula beranggapan pasangan tersebut bukan sekadar teman biasa.

“Memang ibu ada cakap nak melawat Amira kerana saling mengenali dan pernah bekerjasama sebelum ini. Kebetulan waktu itu saya ada kerja berhampiran, jadi bawa ibu ke hospital berjumpa Amira,” ungkapnya lagi.

Menjawab persoalan mengenai tanggapan negatif segelintir pihak tentang dirinya, akui finalis Hero Remaja 2011/12 itu, dia sendiri tidak mengambil hati atau terlalu ambil pusing dengan kata-kata orang luar kerana sedar dirinya tidak mampu menepis setiap persepsi yang timbul.

Jelasnya lagi, perbuatan mengambil berat terhadap kesihatan rakan sekerja tidak seharusnya dijadikan isu, kerana perkara tersebut wajar dalam suasana kerja yang profesional dan saling menyokong.

Sementelah, mereka sering digandingkan dalam pelbagai projek dan itu membentuk satu hubungan kerja yang akrab namun masih berpaksikan batas yang wajar.

No Image Caption

Dalam masa sama, Fattah turut menyatakan rasa terkejut apabila mendapat tahu tentang keadaan kesihatan Amira.

 “Sebelum ini tak pernah ada dengar dia ada masalah kesihatan. Terkejut bila diberitahu yang Amira dimasukkan ke wad.

“Ramai yang prihatin termasuklah rakan artis lain. Malah ada pihak stesen radio yang turut mengambil inisiatif untuk mengetahui perkembangan Amira secara lebih lanjut dengan menghubungi doktor yang merawat,” ujarnya.

 

Simbolik bunga

Ketika ditanya tentang simbolik di sebalik bunga yang diterima Amira, Fattah menjelaskan, ia mungkin dihantar oleh peminat.

No Image Caption

“Soal bagi maksud di sebalik bunga itu… saya rasa semua itu dilakukan oleh peminat. Saya sendiri tak ambil port sangat tentang benda tu,” katanya sambil ketawa kecil.

Pada masa sama, pemilik nama sebenar Abdul Fattah Mohd Amin berkata, dia tampil menjelaskan kedudukan sebenar kerana enggan disalah tafsir.

“Saya tahu orang akan bercakap, itu perkara biasa. Tapi saya tak mampu nak kawal semua persepsi. Apa yang boleh buat, saya jaga cara saya dan teruskan hidup macam biasa,” ujarnya tenang.

Duta produk OK

Fattah berkata demikian ketika ditemui SinarPlus dalam majlis pelantikannya sebagai duta produk minuman tenaga Orang Kampung (OK) di Kuala Lumpur semalam.

No Image Caption

Mengulas lanjut mengenai pelantikannya sebagai duta minuman tenaga Orang Kampung, pelakon Mat Kilau itu mengakui teruja dan terharu diberi peluang oleh jenama yang sudah lama dikenali ramai.

“Sejak kecil, ibu bapa saya memang pengguna setia produk tersebut. Siapa sangka saya akan berpeluang menjadi duta dan sememangnya tidak pernah terfikir suatu hari nanti akan jadi sebahagian daripada jenama tersebut.

“Kebetulan, produk ini memang sesuai dengan gaya hidup saya sebagai pelakon yang kadang-kadang bekerja dalam tempoh lama,” ujarnya lagi.

Malah katanya, pemilihan bahan dalam produk berkenaan juga antara salah satu sebab mengapa dia bersetuju untuk menjadi duta OK.

No Image Caption

Sementara itu, menurut Pengarah Urusan Kumpulan Orang Kampung (OK Group), Datuk Habibul Ajmi Datuk Haji Manggar, pelantikan Fattah Amin sebagai duta rasmi merupakan sebahagian daripada pelan strategik jangka panjang syarikat. 

"Dengan imejnya yang bersih, berdisiplin dan aktif, Fattah mencerminkan nilai yang dibawa oleh jenama Orang Kampung.

"Kami percaya kehadiran Fattah dapat menarik kuasa pembeli wanita kerana golongan ini antara yang suka berbelanja. 

"Dalam masa sama, kami yakin Fattah mampu membawa jenama OK ke peringkat yang lebih tinggi selepas 25 tahun penubuhan syarikat ini,"katanya. 

Sempena kerjasama tersebut, OK Group turut melancarkan KF Limited Edition, satu varian eksklusif dengan pembungkusan baharu dan reka bentuk istimewa yang hanya boleh didapati di lokasi terpilih seperti PETRONAS Mesra, Mydin dan platform e-dagang utama.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang