Dari KL ke Asia Pasifik: Syafiq Kyle rangkul Rising Icon, Blood Brothers angkat martabat filem Malaysia
ADA sesuatu yang magis setiap kali nama Malaysia diangkat di mata dunia. Bukan sekadar rasa bangga, tetapi satu getaran halus yang membuat kita percaya bahawa bakat dan nadi kreatif anak tempatan sentiasa punya ruang untuk bersinar.
Malam di Auditorium Bandaraya Kuala Lumpur itu menjadi saksi—ketika sorakan kecil dalam dewan bertukar menjadi detik besar buat perfileman negara. Di tengah cahaya lampu dan linangan rasa syukur, nama Syafiq Kyle dan filem Blood Brothers: Bara Naga berdiri megah membawa harapan baharu untuk industri.
Dalam suasana penuh bergaya dan aura antarabangsa, Festival Filem Asia Pasifik ke-62 (APFF62) bukan sekadar acara penghargaan, tetapi platform yang menghubungkan karyawan dari 12 negara—dari Jepun hingga Bangladesh, dari Korea hingga Iran—semuanya berkumpul untuk meraikan karya yang menggerakkan emosi dan budaya Asia Pasifik.
Blood Brothers: Bara Naga membuktikan kekuatan sinema tempatan apabila menerima Anugerah Istimewa Juri, sebuah pengiktirafan yang bukan sahaja meraikan keberanian penceritaannya, tetapi juga mutu produksi tempatan yang semakin matang.

Pelakon berbakat besar
Dalam masa yang sama, pelakon berbakat besar, Syafiq Kyle, melakar sejarah peribadi apabila diumumkan sebagai penerima Anugerah Rising Icon APFF (Kategori Lelaki), membawa pulang trofi yang menandakan perjalanan kariernya semakin kukuh dan diiktiraf di rantau Asia Pasifik.
Selepas majlis, Syafiq berkongsi rasa syukurnya. Suaranya tenang, tetapi jelas berbaur bangga.
“Ini penghargaan bukan sahaja untuk saya, tapi seluruh penggiat seni Malaysia.
"Ia membuktikan karya kita semakin baik, semakin diterima," ujarnya.
Suami kesayangan Mimi Lana itu turut mengakui kemenangan tersebut menjadi pembakar semangat untuk melangkah lebih jauh.
Tawaran dari Indonesia, India dan Thailand sudah lama menanti, cuma belum bersatu dengan rezeki masa. Namun bagi Syafiq, pintu peluang sentiasa ada untuk yang terus berusaha.
Menariknya, selepas kemenangan ini Syafiq terus kembali bekerja. Syafiq kini sedang membuat persediaan untuk Takluk 2 – Lahad Datu, sekali lagi menghidupkan watak DSP Zamri. Penggambaran dijangka bermula hujung Disember dan selesai sebelum Ramadan.
Selepas Hari Raya pula, Syafiq akan kembali ke set Blood Brothers 2—satu kesinambungan yang pastinya dinanti peminat filem aksi tempatan.
Ruang penuh glamor
Penganjuran APFF62 oleh Federation of Motion Picture Producers in Asia-Pacific (FPA) dengan kerjasama FINAS, Tourism Malaysia dan Lomo Pictures menyerlahkan Kuala Lumpur sebagai tuan rumah berprestij. Ia bukan sekadar mengumpulkan selebriti, tetapi merayakan budaya, kreativiti dan suara Asia Pasifik dalam satu ruang penuh glamor.
Penggiat filem dari Iran, Singapura, Nepal, China, Jepun, Bangladesh, Thailand dan Korea hadir memeriahkan festival yang berlangsung dalam bangunan ikonik DBKL.
Setiausaha Agung FPA, Pansha, menjelaskan pemilihan Syafiq dibuat sebulat suara berdasarkan konsistensi dan pengaruhnya sebagai pelakon muda yang sedang meningkat naik.

Mencuri Perhatian
Di antara 12 filem bertanding, Blood Brothers: Bara Naga muncul antara penyertaan paling kuat. Karya lain seperti 6AM (Iran), Happyend (Jepun), Shambhala (Nepal), LUZ (China), Saba (Bangladesh) dan Shadowbox (India) menunjukkan kepelbagaian sinema serantau.
Tiga Penghargaan Khas APFF62
Special Jury Award – Blood Brothers: Bara Naga
FPA Most Promising Icon Award – Lin Min Chen (Malaysia)
FPA Cultural Impact Award – Kungfu Juniors arahan Gao Zhisen
Senarai Pemenang Utama APFF62
Filem Pendek Terbaik: Come Find Me
Skor Muzik Asal Terbaik: Shambhala
Suntingan Terbaik: LUZ
Skrip Asal Terbaik: Shadowbox
Sinematografi Terbaik: Happyend
Pelakon Pembantu Wanita Terbaik: Rokeya Prachy – Saba
Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik: Xiao Dong Guo – LUZ
Pelakon Wanita Terbaik: Tillotama Shome – Shadowbox
Pelakon Lelaki Terbaik: Yukito Hidaka – Happyend
Pengarah Terbaik: Neo Sora – Happyend
Filem Terbaik: Crawling Crows: AANKHA
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
