Disindir ‘kahwin orang kaya tapi kena masak macam bibik’, ini jawapan padu Atikah Suhaimie
KEHIDUPAN selebriti memang sentiasa menjadi perhatian ramai. Dari gaya berpakaian, aktiviti harian sehinggalah hal-hal peribadi, semuanya tidak pernah terlepas daripada pandangan umum. Ada yang memuji, tidak kurang juga yang memilih untuk menilai dan mengkritik.
Itulah yang dialami pelakon cantik, Datin Atikah Suhaimie apabila video ringkas dirinya memasak di dapur baru-baru ini tular di media sosial.
Dalam hantaran tersebut, Atikah dilihat tenang menyediakan hidangan untuk suaminya, Datuk Lokman Teh. Sekali imbas, ia hanyalah momen biasa, seorang isteri memasak untuk keluarga tercinta.
Namun, di dunia maya yang serba pantas ini, ada segelintir yang tetap mencari ruang untuk melontarkan kata-kata sinis.

Antara komen yang mencuri perhatian berbunyi: “Kahwin dengan orang kaya tapi kena masak macam bibik.”
Walaupun mungkin ditulis secara bersahaja, nadanya kedengaran pedas dan menyinggung perasaan. Namun, Atikah tidak berdiam diri. Dengan nada tenang tetapi tegas, dia membalas: “Oh, habis itu cef di restoran awak panggil bibik juga ke?”
Jawapan spontan itu ternyata mengundang sokongan ramai. Rata-rata warganet memuji tindakan Atikah yang dianggap berani mempertahankan maruah diri dan martabat wanita.
Bagi mereka, tidak salah jika seorang isteri memasak untuk suaminya, meskipun kehidupannya serba mewah.
Sebenarnya, memasak bukan perkara baharu bagi Atikah. Sejak zaman bujang lagi, dirinya memang gemar turun ke dapur.
Baginya, dapur bukan sekadar tempat menyediakan makanan, tetapi ruang terapi dan kasih sayang yang menyatukan keluarga. “Masak untuk suami itu pahala, bukan beban,” komen seorang pengikut yang turut mempertahankannya.

AIR TANGAN SENDIRI
Dalam dunia media sosial hari ini, niat baik mudah disalah tafsir. Apa yang dikongsi dengan tujuan santai atau sekadar inspirasi gaya hidup, kadangkala menjadi bahan perdebatan.
Namun, pelakon drama Klik! Pengantin Musim Salju tersebut membuktikan, selebriti juga manusia biasa yang ingin menikmati momen sederhana bersama insan tersayang.
Ramai juga yang tampil memberikan kata semangat kepadanya. “Hidup mereka bosan, perlukan hiburan nak mengata kehidupan orang lain,” tulis seorang pengguna TikTok.
Malah ada yang berkongsi rasa kagum dengan keikhlasan selebriti berkenaan. “Ikhlas Tika masak untuk suami dia, sampai ke sini terasa sedapnya. Abaikan komen tak elok, Tika teruskan usaha hebat ini. Love dari Singapura,” tulis seorang lagi.

Walau dilanda kecaman, anak jati Kota Singa itu tetap positif dan tidak mudah melatah. Dalam beberapa hantaran terdahulu, beliau sering berkongsi rasa syukur atas kehidupannya sebagai isteri dan ibu kepada Lyla Mulan Teh.
Baginya, kebahagiaan bukan diukur pada rumah besar atau jenama pakaian, tetapi pada momen kecil yang bermakna, seperti menikmati hidangan air tangan sendiri bersama keluarga.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
