Emma Maembong sah bercerai, sudah tamat iddah. 'Muat naik gambar dengan bekas suami demi menjaga emosi anak-anak'
PENGAKUAN aktres, Emma Maembong sudah bercerai menerusi laporan portal berita tempatan mengejutkan ramai.
Masakan tidak, pemilik nama Fatimah Rohani Ismail bukan sahaja mengakui berpisah dengan bekas suaminya, Muhammad Shazli Azhar, malah tempoh iddah juga sudah tamat.
Pun begitu, anak pelukis terkenal Ismail Embong itu beliau dan bekas suami bercerai secara baik.
Menjelaskan masih berkongsi foto bersama bekas suami di media sosial, ia dilakukan pelakon drama Tersuka Tanpa Sengaja itu semata-mata untuk tidak mahu mengeruhkan keadaan apabila krisis rumah tangganya hangat diperkatakan dan dibincangkan di forum gosip.
"Saya sebolehnya cuba menutup kisah peribadi saya walaupun menerima banyak panggilan telefon daripada rakan-rakan media sebelum ini.
"Sebenarnya tujuan saya masih memuat naik foto bersama bekas suami di Instagram hanyalah untuk menjaga emosi anak-anak supaya mereka tidak terkesan dengan perpisahan ini.
"Saya nak anak-anak melihat keluarganya masih bahagia,"katanya.
Biarpun mengakui ikatan suami isteri telah terlerai, pelakon berusia 32 tahun itu enggan berkongsi butiran terperinci.
"Bagi saya, perpisahan ini bukan satu berita yang patut dibanggakan dan sebab itu saya mengambil langkah berdiam diri dan tidak bercerita kepada orang luar atau buat sebarang pengumuman.
"Namun, disebabkan hari ini saya menerima panggilan anda (media), rasa sudah tiba masanya untuk beritahu kepada umum supaya ia tidak lagi ditanya.
"Saya akui perkahwinan ini bukan satu perjalanan yang mudah. Banyak dugaan yang perlu ditempuh,"katanya.
Ujar Emma, biarpun sudah bercerai, beliau bersyukur hubungan dengan bekas suami masih baik dan masing-masing reda dengan situasi yang berlaku.
"Walaupun sudah tidak bersama, hubungan kami masih baik.
"Masing-masing terima perceraian ini dengan berlapang dada dan matang. Kami juga anggap dugaan ini sebagai satu proses untuk memperbaiki diri menjadi lebih baik.
"Fokus kami sekarang adalah membesarkan anak dengan sepenuh kasih sayang. Walaupun sudah tidak bersama, kami akan tetap buat aktiviti keluarga bersama-sama dengan dua cahaya mata kami," katanya.
Sementara itu, menerusi laporan Harian Metro, Shazli menyifatkan urusan jodoh dan pertemuan adalah rahsia ALLAH dan reda dengan segala ketentuan-NYA.
"Kita cuma mampu merancang, namun soal jodoh, ajal semua di tangan Tuhan.
"ALLAH sebaik-baik perancang. DIA tahu apa yang terbaik untuk kita," katanya.
Untuk rekod, Emma dan Shazli mendirikan rumah tangga pada 20 Februari 2020. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata lelaki iaitu Shariq Gabriel, 4, dan Shakil Aryan Shah, setahun.
Sumber: Harian Metro
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang