Fattah Amin & Amira Othman tak kenal erti penat, cinta & kerja jalan seiring – 'Selagi ada rezeki, kami tak tolak'
BAHARU bergelar suami isteri, pasangan selebriti popular Fattah Amin dan Amira Othman ternyata tidak mengenal istilah ‘rehat panjang’.
Sejak sebelum bernikah hingga kini, jadual mereka padat dengan kerja seni, rakaman dan pelbagai komitmen.
Namun, bagi Amira, kesibukan itu bukan beban, sebaliknya satu bentuk nikmat rezeki dan kepercayaan yang harus disyukuri.

“Selagi ada rezeki, pastilah kami tidak menolak. Kami tetap happy bekerja sebab saya yakin setiap peluang itu adalah kepercayaan yang harus dijaga dengan baik,” katanya tersenyum.
Anak jati Johor itu turut mengakui, walaupun ada perancangan untuk bercuti, mencari masa yang betul-betul sepadan dengan jadual mereka bukan sesuatu yang mudah.
“Memang ada dalam pelan, tapi nak cari ‘date’ sama-sama tu susah sikit. Jadual kami berbeza. Jadi kalau dapat pun, kami selit-selit saja masa untuk berehat,” ujarnya.
Katanya lagi, selagi tubuh badan sihat dan hati gembira, rasa penat pun hilang begitu sahaja.
“Saya rasa tak ada istilah penat. Mungkin sebab kami happy dengan apa yang kami buat.
"Cuma kalau pakai kasut tumit enam inci tu, memanglah sakit tumit sikit,” katanya berseloroh.

Biarpun jadual mereka padat, Fattah dan Amira sepakat bahawa cinta dan kerja seni tidak pernah bersaing antara satu sama lain.
Amira menganggap memahami pasangan adalah kunci utama.
“Saya kahwin dengan seorang pelakon, hero pula tu.
"Jadi, saya tahu tanggungjawab dan keperluan kerja dia.
"Saya percaya, dia tahu apa yang terbaik untuk hidupnya. Asalkan masing-masing tahu tanggungjawab, insya-ALLAH semuanya baik,” ujarnya penuh makna.
PELANCARANLAGURUNUT
Sebelum itu, pasangan romantis tersebut diraikan dalam acara eksklusif Hi-Tea The Garden of Love: FATTMIRA anjuran Usanita Sdn Bhd, yang berlangsung di Ukays Hills, Bukit Antarabangsa pada 18 Oktober lalu.
Majlis berkonsepkan taman romantik itu bukan sekadar meraikan cinta dua figura terkenal ini, tetapi turut menjadi platform pelancaran rasmi lagu runut bunyi (OST) telefilem “Poskad Cinta Dari Auckland” berjudul Always Will — ciptaan Ajai dan dinyanyikan sendiri oleh Amira.

Acara penuh kasih itu turut dimeriahkan oleh pasangan pengacara terkenal Awal Ashaari dan Yasmin Hani, serta kehadiran pemenang dan pelanggan bertuah aplikasi Usanita TV (UTV) yang hadir sebagai tetamu eksklusif.
Salah satu detik paling mencuri perhatian dalam majlis itu ialah segmen “FATTMIRA Love Story”, yang mana pasangan ini berkongsi kisah awal kehidupan berumah tangga.
Pemilik nama sebenar, Nadia Amira Othman itu dilihat tidak dapat menahan senyuman apabila bercerita tentang sisi lembut Fattah sebagai suami yang matang dan penyayang.
“Fattah ni jenis suami yang tak suka panjangkan hal. Kalau saya merajuk, dia cepat-cepat selesaikan.
"Dia akan cakap, ‘Dah lah, tak payah panjang-panjang.’ Saya pun cepat sejuk. Saya rasa suami saya ni tenang orangnya,” katanya sambil ketawa kecil.
“Saya tak mampu nak balas setiap kebaikan dia, tapi saya yakin ALLAH Maha Mengetahui.
"Moga ALLAH berikan yang baik-baik untuk suami saya. Amin," ungkapnya penuh makna.

Fattah pula membalas dengan doa dan kata-kata penuh makna.
“Saya selalu cakap, isteri syurga, isteri syurga. Semoga jodoh kami sampai syurga,” ujarnya tenang.
LAGUPERTAMA
Sementara itu, Pengasas Usanita Sdn Bhd, Datuk Adzliana Prof Datuk Sri Dr Hasan memberitahu, acara tersebut juga menjadi simbol pelancaran rasmi Usanita Entertainment, cabang kreatif baharu di bawah platform UTV (Usanita TV).
“Kami meraikan pasangan Fattah dan Amira yang juga wajah rasmi Usanita Group.
"Pada masa sama, memperkenalkan lagu pertama di bawah Usanita Entertainment iaitu Always Will nyanyian Amira,” katanya yang mesra disapa Datuk Nana.
Telefilem “Poskad Cinta Dari Auckland”, yang turut dibintangi oleh Fattah, Amira, Irfan Haris, Bell Ngasri, Umie Aida dan Izuan Mokhtar, mencatat lebih 20.1 juta tontonan di aplikasi UTV dan semua platform media sosial — angka yang membuktikan karya tempatan masih mendapat tempat di hati penonton.

Komposer Ajai turut berkongsi bahawa inspirasi lagu Always Will datang daripada sinopsis dan suasana penggambaran telefilem tersebut.
“Saya sesuaikan lagu ini dengan warna vokal Amira sebab saya sudah lama tahu kemampuan dan keunikan suaranya,” jelas Ajai.
Majlis berprestij itu turut diserikan dengan persembahan daripada Nadeera Zaini yang membawakan lagu Peluk, menambahkan lagi aura glamor dan romantik di pentas cinta FATTMIRA.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
