Fattah Amin jawab isu live Fazura, buktikan Fatima & nenek mesra. 'Sudah tentu saya ibu sedih'
CERITA panas dalam dunia hiburan boleh tersebar sepantas kilat, kadang-kadang jauh berbeza daripada realiti.
Namun, bagi pelakon popular, Fattah Amin, dia memilih untuk kekal tenang dan menghentikan segala khabar angin yang tidak benar demi menjaga keharmonian keluarga.
Fattah menegaskan hubungan dengan anaknya, Nur Fatima Aisya; bekas isteri, Nur Fazura; serta keluarga kedua-dua belah pihak berada dalam keadaan baik tanpa sebarang sengketa seperti yang digambarkan sesetengah netizen.
Katanya, dia kerap meluangkan masa membawa Fatima keluar bermain dan berjumpa keluarga.
“Lebih baik tulis dan komen yang baik-baik supaya tidak mendatangkan fitnah,” ujar Fattah.
Duta NEX itu berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran koleksi dan pengumuman duta baharu jenama Amber di ibu negara.
Pemilik nama sebenar Abdul Fattah Mohd Amin itu turut mengulas isu tular membabitkan rakaman siaran langsung Fazura yang menimbulkan spekulasi.
Menurutnya, tindakan merakam dan menyebarkan kandungan sebegitu hanya akan menimbulkan kebencian, sedangkan hubungan antara dirinya, Fatima, Fazura dan nenek Fatima tidak pernah bermasalah.
Mengakui ibunya, Azizah Abd Ghani, turut sedih membaca komen negatif, Fattah menasihatkan keluarga untuk tidak mengambil hati terhadap tuduhan yang tidak benar.
"Sudah tentu ibu saya sedih. Tapi saya pesan, tak perlu baca atau dengar benda-benda begini kerana orang luar tidak tahu cerita sebenar.
"Orang boleh berkata apa sahaja, tetapi jika ia tidak betul, tidak perlu terasa atau terkesan. Pun demikian, sebagai anak dan bapa, saya akui kecewa apabila keluarga menjadi mangsa fitnah," tegasnya.
Namun, dia tetap menyeru peminat untuk memilih kata-kata yang positif dan mengelakkan komen yang boleh mengeruhkan keadaan.
"Fatima okey sahaja, tiada reaksi negatif pun. Jadi, saya mohon orang ramai jangan keluarkan komen yang tidak wajar atau membuat andaian yang boleh menimbulkan fitnah.
“Kita tidak boleh kawal apa orang fikir atau tulis, tetapi kita boleh kawal cara kita memberi respons.
Jangan timbulkan rasa benci antara satu sama lain. Setakat ini hubungan saya dengan anak, ‘mommy’ dia dan neneknya baik sahaja. Kami masih berjumpa dan keluar bersama," jelasnya.
Sejak melibatkan diri dalam dunia seni, Fattah sudah lali dengan pelbagai cabaran dan kontroversi.
Rahsianya adalah fokus kepada perkara yang penting iaitu kerjaya dan keluarga serta menyerahkan segala yang negatif kepada ALLAH SWT.
Kontroversi itu tercetus selepas rakaman siaran langsung TikTok Fazura tular, apabila dia berkongsi cerita Fatima kurang senang dengan gurauan nenda yang mengatakan dirinya tidak comel dan tidak pandai.
Isu tersebut mencetuskan perdebatan hangat di media sosial. Namun, tidak lama kemudian, Fattah memuat naik video memaparkan Fatima berbual mesra bersama neneknya, sekali gus meredakan spekulasi.
.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

