'Hanya dua sudu nasi sehari' – Fasha Sandha amal diet sihat, kongsi tip kurus lepas bersalin & kini usahawan kopi


SIAPA yang tidak kenal dengan pelakon terkenal, Fasha Sandha.
Dalam apa juga bidang, dia begitu komited dan berdisiplin. Bukan sekadar dalam dunia kerjaya, bahkan dalam menjaga penampilan diri.
Fasha kini dilihat begitu langsing sehingga meraih pujian ramai. SinarPlus berkesempatan menemu bual anak kelahiran Johor itu baru-baru ini.
Menurut duta Inayah Beauty, perjalanan mengekalkan bentuk badan langsing bukan sekadar untuk tampil cantik di depan kamera, tetapi demi kesihatan jangka panjang.

Sejak menimang cahaya mata, Fasha mengakui berat badannya kian bertambah dan doktor menasihatkan supaya mengubah cara pemakanan dengan lebih betul dan seimbang.
“Saya kurangkan pengambilan gula, jaga makan dan kurangkan nasi.
"Dalam sehari, saya hanya makan dua sudu nasi sahaja, bukan dua senduk, itu pun pada waktu pagi.
"Kalau makan lebih daripada itu, saya akan rasa menyesal,” ujar pemilik nama penuh Nur Fasha Sandha Hassan itu lagi.
SIGNATURE OUTLET
Menurutnya, selepas bersalin, badannya mudah naik, namun dia tidak menafikan turut mengambil suplemen seperti produk detox keluarannya sendiri untuk membantu proses menurunkan berat badan.
“Jaga makan dan disiplin itu kuncinya. Bila badan lebih ringan, keyakinan pun bertambah,” katanya sambil tersenyum.

Bukan sekadar fokus pada kesihatan, Fasha dan suami, Aidil Aziz, kini melangkah setapak lagi dalam dunia perniagaan apabila bergelar pemilik bersama cawangan ke-208 Kopi Saigon yang baru dilancarkan di MyTOWN Cheras.
Majlis pelancaran itu turut dihadiri oleh pengasas Kopi Saigon, Asyraf Kamal dan isteri, Fana Rahim, selain rakan artis seperti Sheila Rusly, Wawa Zainal dan ramai lagi.
Cawangan tersebut cukup istimewa kerana ia merupakan signature outlet pertama Kopi Saigon yang beroperasi dalam sebuah pusat beli-belah, selain menjadi cawangan kedua yang dimiliki bersama selebriti selepas cawangan pertama milik Datin Anne Ngasri.

Fasha yang mula menjadi pelanggan setia sejak 2021 mengakui dirinya jatuh hati dengan rasa dan konsep jenama berkenaan.
“Bermula sebagai pelanggan biasa, lama-kelamaan saya jadi peminat tegar. Selepas berkenalan dengan pengasasnya, saya dan suami ditawarkan untuk membuka outlet sendiri.
"Saya fikir, kenapa tidak? Ini peluang untuk ceburi perniagaan F&B yang memang dekat di hati,” kongsinya.

Bagi Fasha, ini bukan sekadar ‘letak nama’ pada jenama popular.
Pasangan sama cantik sama padan itu benar-benar terlibat dalam pengurusan perniagaan, sepertimana pengalamannya sebelum ini menguruskan salon rambut selama lapan tahun.
“Kalau masih ingat, saya pernah usahakan salon yang bertahan hampir sedekad.
"Buat masa ini, fokus utama adalah perniagaan Kopi Saigon, tapi kalau ada rezeki, saya mahu hidupkan semula salon itu kerana saya amat cintakan dunia kecantikan,” tambahnya.

Untuk rekod, Fasha dan Aidil mendirikan rumah tangga pada 28 Mac 2019. Terdahulu, pelakon 'Dzikir' tersebut berkahwin dengan Toh Muda Rizal Ashram Ramli pada 27 April 2012 namun berpisah enam tahun kemudian.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
