Ina Naim, suami baharu pertama kali live raih 2 juta likes, kongsi ketiadaan anak kedua semasa akad nikah. 'Salman menyamar jadi orang rewang, sempat ke kubur'
PASANGAN pengantin baru, Ina Naim dan suaminya, Mohd Khairul Rizal Shukor akhirnya muncul bersama buat pertama kali menerusi sesi live di laman sosial TikTok.
Tak sangka di sebalik wajah serius, Khairul Rizal, 41, rupanya sangat sporting dan tidak kekok ke udara bersama isteri walaupun pada awalnya kelihatan malu-malu.
Ina yang terdahulu memperkenalkan jurutera itu kepada warganet. Beliau malah sempat berseloroh suaminya tidak mempunyai gelaran datuk seperti yang dihebohkan.
"Inilah Khairul Rizal yang dikatakan Datuk...belum Datuk lagi," tutur Ina dalam nada lucu.
Kejutan itu menarik perhatian ramai dengan tontonan mencecah 30,000 orang dan 2 juta tanda suka! Tidak hanya itu, pasangan itu turut menerima pelbagai 'gift' pemberian pengikut di platform itu.
Menerusi sesi live selama sejam, penonton juga tidak lepaskan peluang untuk bertanya pelbagai soalan tentang kehidupan baharu pelantun lagu Duhai Hati itu.
Antara soalan yang diajukan ialah tentang keberadaan anak lelaki kedua, Salman Elkhoyri, yang mana kelibatnya tidak kelihatan semasa pada majlis akad nikah baru-baru ini.
Warganet juga perasan bahawa Salman tiada dalam gambar keluarga sekali gus menimbulkan tanda tanya ramai.
Jawab Ina, Salman cuba 'mengelak' daripada kehadiran wartawan. Malah remaja itu memberitahu Ina yang beliau kurang selesa dengan pihak media.
Mendedahkan karakter Salman yang pemalu, kata Ina anaknya menyibukkan diri untuk mengalihkan perhatian.
"Ramai yang tanya pasal Salman pada hari pertama itu. Dia memang sibukkan diri sebab nak mengelak daripada wartawan. Dia takut ditanya soalan dan dikejar.
"Ketika saya tengah bersiap, dia beritahu ramai wartawan datang. Aman takut tak boleh nak jawab.
"Jadi dia sibukkan diri angkat makanan dan dulang," kata Ina.
Tambah Khairul, anak tirinya menyamar menjadi orang kampung dengan menjadi pembantu
Malah, Salman juga telah dimaklumkan telah menziarahi kubur bapa, Allahyarham Suhaimi Saad pada hari tersebut sebelum singgah di masjid.
Kata Ina lagi, pada hari tersebut Salman juga didapati tertidur di dalam biliknya dan didenda membasuh kawah dan belanga keesokan hari.
Ina diijab kabul dengan Khairul Rizal, yang merupakan bapa tunggal kepada dua orang cahaya mata dalam majlis yang berlangsung di Felcra Sungai Ara, Kota Tinggi, Johor pada 8 Oktober lalu.
Sekadar info, Ina berkahwin dengan Suhaimi yang juga bekas anggota kumpulan nasyid Inteam pada 12 Ogos 2007. Jodoh tidak panjang, Suhaimi meninggal dunia pada 15 November 2023 akibat jangkitan kuman pada paru-paru.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua pasang cahaya mata iaitu Ehmad Hadie Elfardie, Sallman Elkhoyri, Phyrosh Elfadwah dan Nur Layla Elghufrony.
Sumber: TikTok
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang