‘Islam tak pernah putuskan keluarga…’ Adam Corrie tetap iringi ibu sampai akhir walau tidak seagama
PILU kehilangan insan yang melahirkan dan membesarkannya, pelakon serta koreografer aksi, Adam Corrie Lee Abdullah berkongsi detik terakhir bersama mendiang ibunya yang menghembuskan nafas pada Sabtu.
Walaupun mereka berbeza agama, mualaf berusia 57 tahun itu tetap berada di sisi sebagai tanda kasih yang tidak berubah sejak hari pertama dia melihat dunia.
Menerusi satu hantaran di Instagram, Adam Corrie mendedahkan dirinya berada di sisi ibu sehingga ke saat terakhir, meskipun berbeza pegangan agama demi memberikan penghormatan terakhir.
"Walaupun saya dan ibu berlainan agama, sebagai seorang anak saya tetap berada di sisi hingga ke akhirnya itulah tanda penghormatan dan kasih sayang," titipnya.
Tambahnya, Islam sama sekali tidak menghalang seorang anak untuk menyantuni ibu bapa mereka yang tidak seagama, selagi menjaga batas yang digariskan syariat.

"Sebagai seorang Muslim, saya menjaga batas agar tidak melanggar syariat. Kerana Islam tidak pernah memutuskan hubungan kekeluargaan. Tambahan pula, ini ibu yang melahirkan kita.
"Pagi tadi selesai urusan di hospital, kini mendiang ibu dibawa ke kuil untuk sanak saudara memberi penghormatan terakhir, sebelum disemadikan pada hari Rabu ini," kongsinya.
Walaupun menahan sebak, pelakon yang sering membawakan watak aksi dan antagonis itu tetap menzahirkan rasa syukur kerana diberi peluang berada dekat dengan ibu pada saat-saat terakhir hayatnya.
Ternyata, pemergian ibu tercinta pastinya meninggalkan ruang kosong dalam hidupnya, namun kasih seorang anak kekal utuh sekalipun berbeza agama, kerana hubungan darah tidak pernah terputus.
Sementara itu, isterinya, Fazima Fuad berkongsi momen terakhir bersama ibu mentua. Menyifatkan wanita itu sebagai insan rapat, Fazima mendedahkan mereka berdua berkongsi banyak perkara.
"Saya baru kehilangan seorang insan yang sangat rapat di hati iaitu ibu mentua tersayang petang tadi. Banyak perkara hidup yang mendiang kongsi dengan saya, lebih daripada yang orang lain tahu.
"Setiap nasihat dan cerita itu akan kekal selamanya dalam ingatan. Terima kasih, ma atas semua kasih dan kepercayaan," kongsinya.

Ibu kepada seorang cahaya mata lelaki itu mendedahkan, beza agama tidak mengecualikan mereka terlibat dalam urusan pemilihan keranda, tempoh berapa hari upacara dan hal-hal berkaitan.
"Apabila berkahwin dengan pasangan berlainan bangsa, nilai hormat-menghormati adalah sangat penting. Alhamdulillah, walaupun suami telah memeluk Islam, kami tetap menghormati agama dan kepercayaan keluarga.
"Berlainan agama tidak menghalang kami untuk terus berkasih sayang. Keluarga tetap keluarga. Cuma sebagai orang Islam, kami menjaga batas-batas yang ditetapkan syariat Islam," kongsinya.
Dalam ruang komen, rakan-rakan artis dan para pengikut turut menitipkan ucapan takziah serta doa agar Adam Corrie terus kuat menghadapi kehilangan tersebut.
Terdahulu, Adam Corrie berkongsi berita duka pemergian ibu tercinta pada usia 84 tahun.
Dalam temu ramah Sinar Harian, pelakon Pontianak Menjerit dan Evolusi KL Drift 2 itu sebelum ini mendedahkan ibunya sudah beberapa tahun mengalami keuzuran.
Dia memiliki 10 beradik termasuk seorang lagi yang juga bergelar saudara baharu kerana dibesarkan sebagai anak angkat oleh keluarga Muslim.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
