'Kalau sayang agama, patut mudahkan, bukan menakutkan' - Adam Corrie kenang detik awal peluk Islam, imbau tekanan hampir sama tunang Ben Amir

No Image Caption
A
A
A

MEMEGANG status Muslim selama 18 tahun, pelakon dan koreografer aksi terkenal, Adam Corrie Lee Abdullah, mengakui perjalanan saudara baharu sentiasa dipenuhi cabaran dan tekanan.

Dia bukan sahaja berkongsi pahit maung perjalanan awalnya memeluk Islam pada Julai 2007, malah menegaskan apa yang dilaluinya ketika itu seakan sama dengan tekanan yang dihadapi oleh kekasih kepada pelakon Ben Amir, Liana Alara, baru-baru ini.

"Awal-awal saya masuk Islam dulu, beginilah tekanannya. Ramai lebih suka mengkritik daripada membimbing. Walhal mualaf sedang bertatih, sedang mencari kekuatan.

"Kalau benar sayang agama, kita sepatutnya mempermudah bukan menakutkan. 

"Beri ruang, beri masa, beri contoh yang baik. Hidayah itu milik ALLAH, bukan milik manusia yang menilai," titipnya.

No Image Caption

Dalam hantaran di laman Threads, Adam turut memuat naik tangkap layar artikel berkaitan wanita Filipina itu dilaporkan menghadapi tekanan daripada warga maya.

Hampir dua dekad memeluk Islam, Adam mengakui ramai yang mempersoalkan istilah mualaf bagi merujuk kepada saudara baharu sepertinya. 

Artikel Berkaitan:

Walau apa pun gelarannya, bapa kepada seorang cahaya mata itu berkata, makna baik di sebalik panggilan menjadi keutamaan.

"Mualaf hanyalah istilah yang digunakan di Nusantara bagi mereka yang kembali kepada fitrah. 

"Makna dalam bahasa Arab adalah orang yang dijinakkan atau dilembutkan hatinya.

"Saya tak kisah orang nak panggil saya apa mualaf, saudara baru, reverted, converted, saudara sama Islam atau muhajir. Selagi panggilan itu membawa maksud yang baik, saya terima dengan hati yang lapang," luahnya.

No Image Caption

Suami kepada Fazema Mohd Fuad itu berpendapat, pada akhirnya, gelaran tidak membawa makna, sebaliknya perubahan hati dan amalan yang lebih utama.

Kongsinya lagi, fokus utama harus diletakkan pada perjalanan rohani dan sokongan sosial, bukannya pada label.

"Kerana yang lebih penting bukanlah gelaran itu, tetapi perjalanan hidup seseorang menuju kebaikan dan sokongan yang ikhlas daripada orang sekeliling dalam proses itu.

"Setiap langkah menuju ALLAH adalah penghijrahan, setiap perubahan ke arah iman adalah kemuliaan," kongsinya.

Pelakon KL Gangster dan  Evolusi KL Drift 2 itu baru-baru ini menerima Tokoh Mualaf Bidang Ekonomi di acara Konvensyen Muallaf Madani.

Ia merupakan penghargaan kedua yang diterimanya selepas dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Saudara Kita peringkat Negeri Selangor pada tahun 2017.

 

 

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang