'Isu mahram? Saya cuma perlu minta izin suami...' – Zizi Kirana
PENYANYI Zizi Kirana menjelaskan isu kehadiran peserta wanita dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla tidak wajar dipertikaikan.
Ujar pemilik nama penuh Nur Fazelah Mad Tahil, ini kerana penyertaan mereka mempunyai tujuan jelas dan semua urusan termasuk keizinan pasangan dan keluarga telah dilakukan sebelum berangkat.
Malah penyertaan wanita adalah penting memandangkan misi tersebut melibatkan usaha menyantuni dan mendekati golongan wanita di Gaza, bukan sekadar memberi bantuan umum.
“Setiap misi kemanusiaan memang akan ada lelaki dan perempuan. Di Gaza sendiri ramai wanita yang kita mahu temui dan sokong.
"Jadi kami yang pergi ini mewakili wanita di Malaysia untuk mendekati mereka,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Zizi menegaskan, isu mahram sebenarnya telah diperjelas oleh pihak berautoriti, sekali gus menolak tanggapan bahawa penyertaan wanita dalam misi seumpama itu tidak sesuai.
“Kalau mengenai mahram, saya cuma perlu minta izin daripada suami dan keluarga.
"Isu ini sempat viral sebab ada yang kata tidak elok wanita ikut misi tetapi alhamdulillah mufti sudah beri penjelasan.
"Jadi saya rasa tiada isu,” jelasnya lagi.

Mengulas lanjut mengenai pengalaman sepanjang misi, Zizi berkata usaha Sumud Flotilla adalah untuk memastikan cerita mengenai Gaza tidak tenggelam begitu sahaja.
“Tujuan misi ini adalah untuk break the silent. Kalau kita semua berhenti bercakap, dunia akan senyap dan kita akan lalai.
"Saya sendiri pernah lalai sekejap. Bila pergi misi dan melihat sendiri, semangat itu datang semula,” katanya.
Menceritakan cabaran ketika melalui pemeriksaan tentera Zionis, Zizi mengakui ia bukan situasi mudah.
“Ada masa kami diminta buka tudung. Badan diperiksa walaupun yang periksa itu askar perempuan. Tetap rasa tidak selesa,” jelasnya.
Namun, beliau memilih untuk kekal kuat dengan memikirkan nasib penduduk Gaza yang berdepan kezaliman setiap hari.
“Saya fikir mereka di Gaza hadapi jauh lebih teruk, dari situ datang kekuatan,” katanya.
Terdahulu, tular tangkap layar perbualan seorang pereka fesyen bersama pengikutnya yang mempersoalkan tindakan Zizi dan pendakwah, PU Rahmat menyertai misi tersebut, ketika tular berita kedua-duanya ditahan tentera Israel.
Individu berkenaan turut membangkitkan mengenai wanita bermusafir tanpa mahram dan menyebut tentang bisikan qarin yang didakwa sentiasa ada ketika merentasi perjalanan jauh bersama ajnabi.
Kenyataan tersebut mencetuskan reaksi kurang senang dalam kalangan warganet yang menganggap ia tidak sensitif terhadap situasi yang sedang dilalui aktivis misi berkenaan serta tidak menghormati perasaan keluarga mereka yang menunggu perkembangan di tanah air.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
