Jamah 7 biji durian seorang diri, Dino Nico diserang strok. Sebelah kanan badan lemah
ANGGOTA kumpulan hip hop Nico G, Dino tabah menghadapi dugaan selepas diserang strok yang menjejaskan bahagian kanan badannya sejak sebulan lalu.
Dino juga tidak menolak bahawa tabiat pemakanannya mungkin menjadi penyumbang kepada masalah kesihatan yang dialami, lapor mStar.
Difahamkan, penyanyi berusia 50 tahun itu sempat menikmati tujuh biji durian seorang diri sehari sebelum rebah ketika sedang bekerja.
"Durian memang kegemaran saya, setiap kali musim mesti saya akan makan. Saya tak tolak kemungkinan faktor pemakanan jadi punca saya terkena serangan ini. Mungkin juga sebab makan benda-benda manis.
"Sehari sebelum kejadian, saya makan tujuh biji durian kampung. Esok paginya, terus jadi macam ini. Masa bercakap dengan doktor pun, mulut masih berbau durian," katanya.

Dino atau nama sebenarnya Mohd Shah Rosli juga mengakui beliau perokok tegar sejak muda.
"Tiba-tiba saya rasa kebas tangan dan selepas itu, saya jatuh. Majikan saya segera kejarkan saya ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM dan mendapatkan rawatan.
"Doktor sahkan saluran darah saya tersumbat. Dua minggu saya berada di hospital untuk rawatan dan selepas itu dibenarkan keluar dan berehat di rumah.
"Doktor bekalkan ubat darah tinggi dan cair darah. Bagaimanapun saya belum pulih sepenuhnya kerana tangan kanan dan kaki kanan belum boleh digerakkan," katanya dipetik dari Harian Metro.
Terdahulu, Dino berkata strok yang dialami agak mengejutkan pada mulanya sementelah beliau aktif bersukan.
"Memang agak terkejut apabila saya kena strok sebab saya tiada kencing manis atau darah tinggi sebelum ini.
"Tapi keluarga saya, mak dan bapa ada sakit itu.
"Saya tiada tanda-tanda penyakit itu kerana sebelum ini aktif bersukan dan berpeluh. Cuma saya ada rasa kebas tangan dan kaki tapi saya anggap perkara biasa.
"Saya pun dah lama kerja dengan majikan ini, sekarang saya berehat kerana dapat cuti sakit. Tapi saya bimbang kalau lama sangat cuti sakit, saya akan hilang kerja," katanya.

Dino berkongsi kisah tersebut ketika menerima kunjungan menerusi Program Ziarah Seni Madani anjuran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) yang diadakan di kediamannya di Kuala Lumpur.
Beliau yang kini menetap bersama bapa saudaranya mengakui berdepan kesukaran daripada segi kewangan kerana tidak dapat bekerja sebagai jurujual di sebuah pusat beli-belah.
Kata Dino, beliau memerlukan rawatan susulan sebanyak dua minggu sekali di Hospital Kuala Lumpur (HKL), selain turut mendapatkan rawatan tradisional yang menelan kos sekitar RM200 bagi setiap sesi urutan.
Ketika ini, majikannya memberikan sumbangan RM500 dan cuti sehingga beliau benar-benar pulih. Namun selepas sebulan, beliau sudah tiada pendapatan dan memminta bantuan.
Sementara itu, Kementerian Komunikasi terus membantu artis terutama yang diuji masalah kesihatan.
Menurut Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, pihak Kementerian Komunikasi dan Finas termasuk beberapa agensi berusaha menyalurkan sumbangan kepada 61 penggiat seni memerlukan sejak awal 2024 hingga 31 Julai lalu.
Program Ziarah Seni Madani ini di bawah Finas yang bertujuan untuk sampaikan sedikit bantuan kepada artis veteran atau mana-mana artis yang menghadapi kecemasan.
Jelasnya, dana berkenaan bukan datang daripada Finas atau Kementerian Komunikasi sahaja, malah hasil kerjasama dengan beberapa pihak untuk membantu mereka yang memerlukan bantuan kecemasan.
Sumber: mStar, Harian Metro
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
