'Janganlah tarik nyawa, terbayang wajah anak-anak, menangis...' Zamarul Hisham syukur diberi 'peluang kedua', anggap teguran daripada ALLAH
![No Image Caption](https://website-sinarharian.sinarharian.com.my/sinarplus/uploads/images/2025/02/15/thumbs/900x900/3008496.jpg)
PELAKON terkenal, Zamarul Hisham baru-baru ini dimasukkan ke hospital selepas mengalami sesak nafas secara tiba-tiba.
![No Image Caption](https://website-sinarharian.sinarharian.com.my/sinarplus/uploads/images/2025/02/15/3008467.jpg)
Menerusi perkongsian tersebut, melahirkan rasa syukur dan mengakui seolah-olah diberi peluang kedua oleh YANG MAHA ESA.
Menurut pelakon berusia 53 tahun itu, insiden tersebut di anggap sebagai satu teguran daripada ALLAH SWT untuk dirinya lebih muhasabah.
"Ini adalah peluang kedua. Bila balik rumah, saya rasa macam Allah bagi saya nafas baru. Saya bersyukur dengan rezeki yang diberikan, tapi mungkin ada masa kita lalai, jadi saya anggap sakit ini sebagai satu teguran dari-Nya.
"Masa saya diusung ke hospital, saya cakap, 'Ya Allah, janganlah tarik nyawa aku sekarang, aku tak bersedia lagi.' Saya terbayang wajah anak-anak... Menangis, minta ALLAH beri kekuatan,” kongsinya.
![No Image Caption](https://website-sinarharian.sinarharian.com.my/sinarplus/uploads/images/2025/02/15/3008465.jpg)
"Saya berdoa, kalau ini cara ALLAH beri hidayah untuk saya jadi lebih baik, saya reda. Tapi saya mohon diberikan peluang untuk terus hidup dan menebus kekurangan diri,” kongsinya lagi.
Pada masa sama, beliau mengakui hatinya tiba-tiba begitu kuat mahu berubah. Namun, jauh di sudut hati, beliau berasa belum cukup baik selepas lebih tiga dekad bergelumang dalam dunia seni.
"Dalam pukul 3 pagi, saya termenung dan berdoa, 'Tolonglah Ya ALLAH, saya nak jadi lebih baik, nak berubah.' "Saya sendiri tak tahu kenapa tiba-tiba saya sebut macam tu. Mungkin sebab dalam hati, saya rasa banyak kekurangan, mungkin juga saya rasa diri ini tak cukup baik.
"Saya dah 31 tahun dalam industri. Kadang-kadang terfikir, sempat ke saya tebus semua dosa lalu? Tambah pula, ALLAH bagi saya ujian macam ni. Itu yang buatkan saya rasa sedih," ungkap beliau.
![No Image Caption](https://website-sinarharian.sinarharian.com.my/sinarplus/uploads/images/2025/02/15/3008468.jpg)
Dalam pada itu, Zamarul tidak menolak bahawa kurang rehat dan jadual kerja yang padat antara punca yang menyebabkan kesihatan dirinya terjejas. Pun demikian, beliau melihat ia sebagai satu ujian selepas berdoa untuk menjadi insan yang lebih baik.
![No Image Caption](https://website-sinarharian.sinarharian.com.my/sinarplus/uploads/images/2025/02/15/3008466.jpg)
"Sebelum ini, bila ada tawaran kerja masuk, saya selalu utamakan kerja dan tangguhkan umrah. Tapi tahun ini, saya nekad nak pergi juga. Bila balik, saya rasa sesuatu yang sangat bermakna dalam hidup. Banyak perubahan yang saya nampak dan alami sendiri.
"Lepas balik dari umrah kali kedua, saya banyak bermuhasabah dan berdoa, ‘Ya ALLAH, umur aku dah nak masuk 54 tahun, tapi aku rasa masih belum cukup buat yang terbaik. Kau berilah aku hidayah.' Itu doa saya setiap kali solat," jelasnya.
![No Image Caption](https://website-sinarharian.sinarharian.com.my/sinarplus/uploads/images/2025/02/15/3008463.jpg)
Kongsi pemilik nama sebenar, Zamarul Hisham Mohamed itu lagi, selepas pulang dari umrah, rezekinya semakin murah, akibat terlalu fokus bekerja menyebabkan tubuhnya keletihan.
"Sampai satu hari, saya diuji. Tekanan darah naik lebih 200. Tak pernah-pernah jadi sebelum ini. Masa itu, baru saya betul-betul tersedar," dedahnya.
Beliau dalam pada itu menitipkan pesanan buat pelakon lain supaya sentiasa menjaga kesihatan meskipun sibuk dengan shooting.
![No Image Caption](https://website-sinarharian.sinarharian.com.my/sinarplus/uploads/images/2025/02/15/3008464.jpg)
Untuk rekod, Zamarul dimasukkan ke ICU, Hospital Port Dickson, Negeri Sembilan kira-kira jam 2 pagi 5 Februari laku akibat sesak nafas ketika di lokasi penggambaran.
Zamarul kemudiannya dipindahkan ke sebuah pusat perubatan di Sunway untuk rawatan lanjut.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang