‘Kalau tak sesuai, saya takkan buat’ - Amber pecah eksklusiviti Dayang Nurfaizah
SEJAK dahulu, sebut sahaja nama Dayang Nurfaizah bukan sahaja sinonim dengan vokal hebat, tetapi juga dengan sikap eksklusif dalam memilih jenama atau pihak yang mahu bekerjasama dengannya.
Penyanyi kelahiran Sarawak itu memang terkenal selektif, yang hanya memilih projek yang benar-benar serasi dengan gaya dan prinsip peribadinya.
“Bagi saya, sebelum setuju apa-apa, saya nak faham dulu apa pendekatan mereka? Apa kempen mereka? Ke mana arah kerja mereka? Itu yang penting bagi saya.
"Bila saya dah jelas, barulah kita berbincang,” kata Dayang dalam temu bual eksklusif bersama SinarPlus.

Namun, pendekatan itu sedikit berbeza apabila pemilik nama sebenar, Dayang Nurfaizah Awang Dowty apabila ‘dilamar’ oleh Amber Eksklusif Casual Wear, jenama di bawah Usanita Sdn Bhd.
Tawaran tersebut datang bersama koleksi premium terbaharu label berkenaan, Somewhere Somehow Someone, yang menampilkan dua figura ternama, Hael Husaini dan Dayang Nurfaizah, sebagai duta rasmi.
“Bila mereka approach, saya fikir banyak kali juga. Tapi bila saya tengok rekaan mereka, terus rasa macam… eh, kena dengan style saya.
"Mereka kata ini cuma casual wear, bukan stage outfit. Saya memang suka yang simple dan praktikal,” ujar pelantun lagu Lelaki Teragung itu lagi.
BAYARAN LUMAYAN
Diterjah dek bayaran lumayan sebagai faktor utama, ini jawapan tuan punya badan.
"setiap projek yang diterima bukan dinilai pada berapa besar bayaran, tetapi kesesuaian rekaan dengan diri saya.
“Kalau tak sesuai, saya tak akan buat walau bayarannya tinggi. Saya mesti rasa selesa dan ‘serasi’ dengan rekaan itu. Yang ini memang kena,” tegasnya.
Bagi Dayang, kerjasama ini bukan sekadar urusan komersial, malah satu bentuk sokongan terhadap bakat tempatan.

“Ini salah satu sebab utama saya terima. Saya nampak jenama ini ada potensi besar. Mereka kreatif, tapi tetap tahu kekalkan identiti simple yang saya suka,” ungkapnya.
Selain itu, faktor keserasian dengan pasukan turut memainkan peranan.
“Bekerja dengan orang yang kita kenal dan serasi memang memudahkan. Kita boleh berbual, cepat buat keputusan, dan kerja jadi lebih lancar. Kalau tak kenal, prosesnya mungkin lebih panjang,” katanya lagi.
Sebahagian sesi penggambaran koleksi Somewhere Somehow Someone turut membawa Dayang ke New Zealand yang dianggap sebagai satu pengalaman pertama yang tidak akan dilupakan.
“Kami tak hanya di bandar, malah sampai ke kawasan pegunungan. Memang suasana dia lain.
"Kerja satu hari untuk semua baju, tapi alhamdulillah segalanya berjalan lancar. Saya rasa seronok dan puas hati,” ujarnya sambil tersenyum.
Walaupun terbuka untuk mencuba sesuatu yang berbeza daripada kebiasaannya, Dayang tetap setia dengan prinsip sederhana yang menjadi identiti dirinya.

“Saya memang orang yang sederhana. Jadi walaupun projek ini sedikit berbeza daripada kebiasaan saya, ia masih kena dengan gaya saya. Sebab itu saya kata… why not?” katanya.
Sekadar makluman, koleksi Somewhere Somehow Someone dicipta khusus untuk golongan T20 yang mendambakan fesyen kasual berprestij.
Ia menggabungkan rekaan moden kontemporari, fabrik premium serta kemasan eksklusif yang memancarkan aura elegan dan keyakinan diri.
PRODUK TEMPATAN
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Usanita Sdn Bhd, Datuk Adzliana Hasan, pemilihan Hael dan Dayang adalah tepat kerana kedua-duanya melambangkan keperibadian serta imej yang seiring dengan DNA Amber.
“Hael dan Dayang adalah cerminan sempurna kepada DNA Amber iaitu penuh gaya, berkarisma, dan memiliki pengaruh besar dalam membentuk aspirasi fesyen.
"Mereka bukan sekadar ikon hiburan, malah lambang kejayaan dan personaliti unggul yang seiring dengan visi kami untuk menjadikan Amber sinonim dengan fesyen kasual premium di Malaysia,” katanya.

Pelantikan Dayang juga katanya turut mencatat sejarah apabila buat julung kalinya penyanyi itu bersetuju menjadi wajah rasmi bagi sebuah produk tempatan.
“Dayang memilih untuk bersama Amber adalah satu penghormatan besar buat kami.
"Kepercayaannya terhadap jenama tempatan yang menepati standard antarabangsa membuktikan bahawa fesyen buatan Malaysia mampu berdiri setaraf jenama global,” tambah Adzliana lagi.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
