'Kawal emosi & rahsiakan strategi'- Nasihat Puteri Sarah Liyana buat Dr Afifah hadapi konflik penceraian
ISU yang melanda penyanyi Nubhan dan bekas isterinya, Dr Afifah, terus mencuri perhatian apabila tercetus dakwaan berkaitan pemindahan barangan peribadi dari kediaman mereka.
Terbaharu, Dr Afifah atau lebih dikenali sebagai Dr Afie meluahkan rasa kesal apabila mendakwa barangan miliknya telah dikeluarkan dari rumah tanpa kebenaran. Kejadian itu dikatakan berlaku ketika beliau bersama anak-anak dan keluarga sedang bercuti di luar negara.
Situasi tersebut bukan sahaja mendapat reaksi netizen, malah turut menarik perhatian pelakon Puteri Sarah Liyana yang tampil meninggalkan pesanan buat Dr Afie menerusi media sosial.
Menerusi hantaran di Threads, Puteri Sarah memaklumkan bahawa Dr Afifah kini diwakili oleh peguam tersohor, Datuk Akberdin Abdul Kader. Menurutnya, peguam berkenaan merupakan individu yang sama pernah mewakilinya sebelum ini dan disifatkan sebagai seorang yang sangat bijak.
“Saya percaya peguam awak sekarang adalah peguam saya dulu, Datuk Akberdin. Beliau seorang yang sangat bijak,” tulisnya.

Dalam hantaran sama, Puteri Sarah turut menyarankan Dr Afifah supaya berbincang dengan peguam tersebut mengenai langkah mendapatkan semula hak secara berhemah.
“Duduk dan berbincanglah dengan beliau bagaimana untuk dapatkan semula (hak anda) dengan bijaksana,” katanya lagi.
Berdasarkan pengalamannya, Puteri Sarah turut mengingatkan Dr Afifah agar mengawal emosi dan tidak mendedahkan sebarang perancangan kepada umum.
“Kawal emosi anda, bertindak dengan bijak. Jangan beritahu apa-apa rancangan anda,” jelasnya.
Ibu kepada sepasang cahaya mata itu turut menambah supaya segala tindakan dilaksanakan secara tersusun tanpa hebahan awal.
“Tahu-tahu saja sudah dilaksanakan supaya ia menjadi kejutan kepada pihak sebelah sana. Semoga berjaya. Insya-Allah, semuanya akan baik-baik saja,” ujarnya.
Sebelum ini, Dr Afifah mendakwa Nubhan bertindak mengeluarkan barangan peribadinya dari rumah ketika beliau berada di luar negara.
Bagaimanapun, peguam yang mewakili Nubhan, Mohd Redzuan Ramli, menafikan dakwaan tersebut dan menegaskan bahawa proses pemindahan barangan dilakukan dengan cermat.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

