Kes tuntutan penceraian Nora Ariffin bersambung 21 Oktober, isu pihak ketiga jadi punca utama
PENYANYI tersohor, Datuk Nora Ariffin menegaskan campur tangan pihak ketiga menjadi sebab utama dirinya mahu meneruskan permohonan perceraian dengan suaminya yang juga Pensyarah Kanan Universiti Malaya, Dr. Rusdi Ramli.
Meskipun Hakim Mahkamah Rendah Syariah Petaling menasihati agar pasangan itu menarik balik kes berkenaan kerana hubungan mereka masih kelihatan baik, namun Nora atau nama sebenarnya Wan Norafizah Ariffin berpegang pada pendirian bahawa masalah rumah tangganya tidak akan selesai selagi gangguan luar tidak ditangani.
“Tuan Hakim ada menyebut bahawa jika semuanya sudah baik, beliau meminta saya menarik balik permohonan perceraian. Namun, selepas perbincangan secara jujur saya katakan, memang saya boleh menarik balik permohonan itu tetapi masalahnya tidak akan selesai begitu sahaja.
“Campur tangan pihak ketiga tidak akan berhenti kecuali ditangani secara tuntas. Saya percaya dan yakin pihak hakim serta mahkamah membuat keputusan yang terbaik. Maka, saya akan ikut prosedur yang ditetapkan,” katanya.
Dalam prosiding sama, anak sulung Nora yang juga wakil hakam keluarga, Mohd. Syakir Iman, 32, turut memaklumkan hakim mempersoalkan alasan perceraian kerana melihat hubungan plaintif dan defendan masih wujud kasih sayang.
Jelasnya, laporan majlis tahkim daripada pihak keluarga didapati tidak memuaskan hati hakim sehingga kes berkenaan diputuskan untuk dilanjutkan ke peringkat hakam islah pada 21 Oktober depan.

“Isu sebenar antara ibu saya dan Ustaz Rusdi jika hanya melibatkan mereka berdua, tidaklah besar. Nampak jelas Ustaz Rusdi menjaga hak ibu saya dengan baik tetapi pihak ketiga ini kadang-kadang muncul dan apabila ‘serangan’ berlaku kesannya sangat ketara.
“Jadi, kami berharap sama ada masalah ini dapat dihentikan atau pihak tersebut perlu dipertanggungjawabkan,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, peguam syarie mewakili Dr. Rusdi, Azmi Mohd. Rais, mendedahkan pihak ketiga yang dikaitkan sebenarnya adalah anak kepada isteri pertama defendan.
“Cadangan untuk menyelamatkan rumah tangga memang ada. Jadi, kami akan syorkan kepada hakam islah yang akan dilantik untuk memanggil anak tiri plaintif. Sekiranya ada maaf-maafan, insya-ALLAH plaintif boleh tarik balik kes,” katanya.
Sementara itu, Dr. Rusdi menegaskan beliau tetap mahu mempertahankan rumah tangganya dengan penyanyi berusia 52 tahun itu.
“Sehingga hari ini, insya-ALLAH, Nora masih lagi isteri saya yang sah. Jadi, saya akan terus berusaha untuk mempertahankan, melindungi perkahwinan ini.
"Pada masa yang sama, saya mahu mencari perdamaian dan menghilangkan segala salah faham serta kekeliruan yang berlaku,” ujarnya.

Hari ini berlangsungnya pembentangan laporan wakil hakam pertama iaitu hakam keluarga.
Nora melantik anak sulungnya Mohd. Syakir Iman sebagi wakil hakam, sementara Dr. Rushdi turut melantik anak sulungnya, Muhammad Shahkir, 34, sebagai wakil.
Untuk rekod, pelantun Hanya Satu itu memfailkan permohonan perceraian pada April lalu selepas tercetus konflik susulan tularnya video lafaz cerai oleh Dr. Rusdi. Sebulan kemudian, dia memaklumkan sudah kembali rujuk.
Nora sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga bersama komposer tersohor, Allahyarham Johan Nawawi pada 1992 dan dikurniakan empat cahaya mata. Johan meninggal dunia pada 24 Mac 2017 akibat serangan jantung.
Sumber: Kosmo
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

