'Kita tak gagal, sedang belajar' – Ramai ucap terima kasih, luahan jujur Shila Amzah tentang baby blues sentuh hati ibu bapa baharu
MENJADI ibu bapa buat kali pertama bukan sesuatu yang mudah, walau seribu kali orang berkata “semuanya akan okay.”
Hakikatnya, tidak ada siapa yang benar-benar bersedia untuk fasa ini, tempoh yang mana tidur menjadi mewah, emosi datang dalam gelombang besar, dan kasih sayang hadir bersama air mata yang tidak dijangka.
Kadang-kadang, detik paling sunyi itulah yang paling berat, apabila kegembiraan yang diharap tidak selalu seindah seperti yang dirancang. Itulah saat di mana baby blues mula perlahan-lahan menyelinap masuk ke jiwa.
“Untuk semua ibu dan bapa baru, tolonglah berlembut dengan diri sendiri. Kamu tak gagal, kamu sedang menyesuaikan diri.
"Tak mengapa kalau dalam satu nafas, ada kasih dan keliru yang datang bersama.
"Kamu sedang lakukan lebih baik daripada yang kamu sangka,” tulis Shila Amzah lagi..

Penyanyi kesayangan ramai itu menitipkan ucapan tersebut dalam satu perkongsia menerusi laman Thread miliknya baru-baru ini.
FASA 'MAYAT HIDUP'
Dalam hantaran tersebut, isteri kesayangan Ubai atau nama penuhnya Muhammad Ubaidillah Mohd Zulkefli itu turut mengimbas kembali perjalanan getir selepas melahirkan anak.
“Perubahan saiz badan, hormon... semua itu memang mencabar. Tapi saya sanggup lalui semuanya sekali lagi untuk Seth dan Rhea.
"Sudah tentu termasuk papa mereka juga, tapi maaf, gambar Ubai tak boleh kongsi sebab terlalu aib,” tulisnya berseloroh, disertai emoji ketawa kecil.
Katanya lagi, waktu berpantang merupakan antara fasa paling sukar buat mereka berdua.
“Kami berdua macam ‘mayat hidup’, tambahan pula masa tu anak kami kena jaundice.
"Kalau ingat balik, Allahu... saya berhenti menyusukan sebab Ubai cakap baby blues saya dah teruk sangat.
"Saya menangis hampir setiap hari," dedahnya lagi.

Namun, di sebalik tangisan itu, Shila tidak lupa menitipkan pesanan penuh kasih buat semua ibu bapa di luar sana:
“Tapi kamu tahu apa? Untuk semua ibu dan ayah, kamu tidak keseorangan.
"Marilah kita saling berlembut antara satu sama lain,"ungkap pemilik nama sebenar, Nurshahila Amir Amzah sambil menitipkan ungkap saya sayang kamu buat suaminya.
BE KIND TO YOURSELF
Perkongsian jujur penyanyi Patah Seribu itu mencuri perhatian ramai. Rata-rata netizen meluahkan rasa terharu dan berterima kasih kepada Shila kerana berani membuka topik yang sering disembunyikan ramai wanita, tekanan emosi selepas bersalin.
Antara komen yang ditinggalkan:
“Terima kasih Shila. Awak tak tahu betapa saya perlukan kata-kata ini sekarang.”
“Sebagai ibu baru, saya memang perlukan semangat macam ni. Terima kasih Kak Shila.”
“Saya sedang masuk trimester ketiga untuk anak ketiga, dengan dua anak kecil berumur lima dan tiga tahun. Semoga saya dan suami kuat nanti. Due saya bulan Disember.”
“Terima kasih Shila, saya tengah struggle sangat sekarang dengan emosi sendiri.”

Ada juga pesanan Shila yang sangat menyentuh hati ramai wanita:
“Kepada wanita yang melihat wanita lain sedang melalui kejatuhan emosi atau masalah mental, tolonglah jadi baik. Untuk sekali ini, berhentilah menulis perkara buruk tentang wanita lain. Angkat mereka… atau diam.”
Di sebalik senyum dan gambar sempurna di media sosial, ramai ibu baru sebenarnya sedang berperang dalam senyap.
Perubahan hormon, kurang tidur, tekanan fizikal dan emosi, semuanya boleh menjadikan seseorang berasa tidak mencukupi, walhal mereka sedang berjuang sebaik mungkin.
Shila Amzah membuktikan bahawa kejujuran bukan kelemahan, sebaliknya kekuatan yang boleh menyembuhkan orang lain.
Dalam dunia yang serba pantas ini, pesanan ringkas “be kind to yourself” (berlembutlah dengan diri sendiri) menjadi peringatan besar, bergelar ibu bapa bukan tentang kesempurnaan, tapi tentang belajar mencintai diri dan keluarga dalam keadaan yang serba tidak sempurna.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
