Lakonan jadi cermin diri, Nelissa Nizam enggan hidup dibayangi kontroversi: 'Berpada-pada dalam berkongsi...'
WAJAH manisnya bukan sekadar perhiasan dunia seni, tetapi pintu masuk kepada bakat yang sedang mekar dalam industri lakonan hari ini.
Nelissa Edreena Nizam, gadis genit berusia 27 tahun, melangkah bukan kerana rupa semata, tetapi kerana jiwa seni yang semakin kuat menggema dalam dirinya.
Dikenali sebagai sebahagian daripada kumpulan The Gadys, perjalanan Nelissa mula berubah rentak apabila memberanikan diri mencuba dunia lakonan dan ternyata pentas itu menyambutnya dengan tangan terbuka.
Watak demi watak hadir menguji kemampuan dan siapa sangka di sebalik senyuman lembut itu, dia mampu beraksi dalam Polis Evo 2 dan Impak Maksima 2. Selain filem, wajahnya turut menghiasi drama seperti Dia Semanis Honey, Tarik Aku Ke Syuga, Seadanya Kita dan banyak lagi. Sekali gus membuktikan potensinya melangkaui paras rupa.

Pesona dirinya bukan dicipta atau dibuat-buat, tetapi wujud hasil daripada perjalanan, jatuh bangun dan keberanian yang perlahan-lahan membentuk siapa dirinya pada hari ini.
Pun demikian, lumrah anak seni, kontroversi sentiasa menyapa, namun dirinya memilih untuk tidak tunduk kepada apa jua dugaan mendatang.
Ungkap wanita kecil molek itu, segala ujian diibaratkan seperti angin yang mengasah arah tuju, bukan halangan yang hadir untuk memadam impian yang ingin digapai.
Populariti wanita kecil molek itu mula mencanak naik selepas satu babak bersama aktor Zul Ariffin tular dan menjadi bualan hangat.
Namun di sebalik sorakan peminat, dia tidak pernah menjadikan cerita sedemikian sebagai tiket mudah untuk mendaki ke puncak kerjaya.

Anak kedua daripada empat beradik itu berpegang pada prinsip, nama yang dibina dengan usaha sendiri akan lebih kukuh berbanding menumpang sensasi semata-mata.
Perjalanan dalam dunia lakonan baginya bukan sekadar mengejar peluang, sebaliknya ia ibarat sebuah maraton panjang yang menuntut kesabaran luar biasa.
“Lama saya menunggu untuk orang mula nampak kewujudan diri ini. Sejujurnya, orang lihat saya peramah, hakikatnya saya seorang introvert.Lakonan lah yang membentuk diri untuk tampil lebih yakin.
“Sebenarnya watak yang saya bawa itu banyak membantu,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran butik jemel.Com oleh Ashraf Muslim baru-baru ini.
Bermula sebagai pelakon tambahan, drama Budak Tebing 2 hadir sebagai titik perubahan apabila mata-mata mula memandang dan melihat apa yang mampu dilakukannya di hadapan kamera.

Daripada situlah, percaturan yang dibuat Nelissa akhirnya membuahkan hasil.
Lebih manis lagi, usahanya diiktiraf menerusi kemenangan kategori Artis Bintang Harapan Telenovela, detik yang cukup menggugah emosinya.
“Selepas hampir sepuluh tahun berjuang, akhirnya bakat saya mula diiktiraf. Saya bersyukur dan berjanji untuk memberikan yang terbaik,” ungkapnya, penuh makna.
Kini, empunya diri semakin sibuk dengan beberapa projek baharu, namun masih belum boleh diumumkan atas sebab perbincangan yang masih berjalan. Apa yang pasti, jadualnya bakal bertambah meriah.
“Insya-ALLAH, bulan depan saya akan ke Bali untuk Fashion Week. Fokus kini bukan lakonan saja, saya nak cuba benda baharu,” katanya sambil melemparkan senyum manis.
Tidak 'memilih bulu'
Berkongsi lanjut, peluang ke dunia fesyen itu turut membuka pintu rezeki baharu, sekali gus menggerakkan langkahnya untuk menceburi perniagaan dalam industri sama.

“Saya memang suka fesyen sejak dulu. Bila peluang datang, terus ambil.
“Selain itu, saya berpeluang kenal dengan pereka, pengasas dan kawan-kawan baharu,” ujarnya.
Ditanya akan nama jenama fesyennya, Nellisa memilih untuk merahsiakan buat masa ini.
“Tunggu masa sesuai... saya masih gugup lagi,” tambahnya sambil ketawa kecil.
Bercerita lanjut soal perancangan masa depan, anak kedua dari empat beradik itu melihat lakonan dan perniagaan sebagai dua laluan yang boleh bergerak seiringan.
“Cuma kita kena pandai pilih. Dua-dua boleh jalan serentak jika bijak susun masa.
“Lagipun ini semua demi masa depan. Keluarga pun banyak sokong, malah mereka akan ikut saya ke Bali nanti,” kongsinya lagi.
Dalam pada itu, dia juga mengakui tidak 'memilih bulu' dalam berkawan, namun tetap berhati-hati.
Malah, sebagai pelakon muda, Nelissa juga sedar dunia kini pantas berubah terutama bab privasi.

“Kontroversi boleh musnahkan seseorang. Sebab tu saya jaga privasi dan apa yang dimuat naik di media sosial.
“Pesan saya, berpada-pada dalam berkongsi. Ada benda boleh diceritakan, ada yang cukup sekadar kita dan keluarga saja,” tegasnya lagi.
Berkongsi aktiviti 'me time' dalam mengurangkan tekanan, Nelissa mengakui, melancong adalah cara beliau mengisi semula tenaga sama ada sendirian atau bersama kakaknya yang menjadi peneman setia.
“Anak-anak kakak sangat rapat dengan saya. Mereka panggil saya mummy,” ceritanya.
Ditanya soal jodoh sendiri, dia hanya tersenyum sambil menggeleng manja.
“Kerjaya adalah fokus utama. Jodoh? Biarlah masa yang menentukan,” ujar gadis manis itu.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
