Lima tahun tak bertemu sejak Covid-19, Mark Adam sebak terima kejutan keluarga dari Filipina –'Saya nak mak datang tetapi...'
AIR mata seorang lelaki tidak pernah jatuh tanpa sebab. Di sebalik cahaya pentas dan sorakan penonton, ada rindu yang lama terpendam akhirnya terlerai.
Itulah momen penuh emosi yang dilalui penyanyi dan guru vokal, Mark Adam apabila kehadiran kakak sulung serta anak-anak buahnya menjadi kejutan terbesar dalam hidupnya, hadir menyaksikan persembahannya di konsert minggu ke-8 Gegar Vaganza musim ke-12 (GV12), baru-baru ini.
Hampir lima tahun terpisah tanpa pertemuan fizikal, kehadiran keluarga yang terbang khas dari Filipina itu bukan sekadar sokongan moral, malah menjadi suntikan emosi buat Mark untuk terus berdiri teguh di pentas seni.
Walaupun ibu tersayang tidak dapat bersama kerana menjaga cucu-cucunya, Mark tetap mensyukuri peluang dapat bertemu semula dengan ahli keluarganya yang sudah lama tidak bersua muka.
“Ini pertama kali mereka datang ke Malaysia. Saya memang terkejut bila nampak keluarga saya hadir ke konsert minggu ini.
"Saya nak mak juga datang, tetapi dia tak boleh tinggalkan cucu-cucunya,” katanya lagi.
Menurut penyanyi lagu Marry Me itu, kejutan berkenaan langsung tidak diketahui olehnya dan dirancang sepenuhnya oleh isteri tercinta.
Lebih mengharukan, anak kelahiran Filipina itu menyedari kehadiran keluarganya ketika segmen terakhir konsert apabila ternampak mereka duduk bersama kumpulan peminatnya.

“Ini memang kejutan terbesar buat saya. Isteri saya memang pandai atur perancangan.
"Masa segmen terakhir, saya nampak mereka duduk dengan Adam Family. Alhamdulillah,” ujarnya dengan nada sebak.
Detik penuh emosi itu turut berlarutan sebaik sahaja pemilik nama sebenar, Fikri Mark Adam bin Abdullah keluar dari pentas.
Ketika sesi sidang media sedang berlangsung, kakak serta anak-anak buahnya datang menyapanya sehingga membuatkan penyanyi dan komposer itu tidak dapat menahan air mata.
Dia kemudiannya bangun daripada sesi sidang media sebelum memeluk ahli keluarganya, satu momen yang menyentuh hati rakan-rakan media yang menyaksikannya secara langsung.
Kampung halaman
Mengulas lanjut, Mark menjelaskan bahawa kali terakhir dia pulang ke Filipina adalah sebelum pandemik COVID-19 melanda dunia.
Sejak itu, faktor ekonomi menjadi penghalang utama untuk dia kembali bertemu keluarga di kampung halaman.
“Kami sudah tak berjumpa sejak sebelum pandemik COVID-19 lagi. Kali terakhir saya balik ke Filipina adalah lima tahun lepas.
"Selepas itu, kami hanya berhubung melalui panggilan video sahaja,” jelasnya.
Tambahnya lagi, sebelum pandemik, dia kerap pulang ke negara asalnya itu sehingga lima kali setahun. Namun, keadaan berubah selepas pandemik apabila kestabilan ekonomi menjadi cabaran besar buatnya sebagai anak seni.
“Sebelum COVID-19, setahun saya balik hampir lima kali. Lepas pandemik, ekonomi saya tak begitu stabil.
"Jadi, saya memang tak dapat balik jumpa mereka. Kali ini, mereka pula datang jumpa saya di Malaysia,” katanya.
Berkongsi perasaan terhadap isterinya yang menjadi dalang kejutan tersebut, lelaki berusia 46 tahun itu tidak lokek meluahkan rasa syukur dan penghargaan.

“Isteri saya memang yang terbaik. Saya sangat bertuah.
"Hilang kata-kata bila dapat tahu semua ini dirancang oleh dia. Memang besar maknanya untuk saya,” katanya yang cukup berterima kasih buat isteri tersayang, Norazah Redzuan atas kejutan berkenaan.
Kini, selain perlu memberi fokus kepada persiapan lagu seterusnya dalam GV12, Mark turut merancang untuk membawa keluarganya berjalan-jalan sekitar Kuala Lumpur, sebagai kenangan manis selepas sekian lama terpisah.
“Lepas ini, saya kena bawa mereka jalan-jalan di Malaysia. Dalam masa yang sama, saya kena mula menghafal lagu juga,” katanya sambil tersenyum.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

