Liza Hanim kongsi rahsia didik anak era media sosial: ‘Kena sentiasa dekat, jangan ada gap & kena tahu circle mereka!'
PENYANYI tersohor, Liza Hanim, bukan sahaja dikenali dengan suara lantang dan persembahan bertenaga, tetapi juga dengan caranya membesarkan anak-anak dalam dunia moden yang semakin mencabar.
Lebih membahagiakan, anak perempuannya Marsya Hanim kini mula mewarisi bakat nyanyian kedua ibu bapanya, sesuatu yang membuatkan Liza berasa bangga, namun tetap berhati-hati dalam membimbing tumbesarannya.
Bertemu dalam satu sesi temu bual bersama SinarPlus, pemilik nama sebenar Haliza Hanim Abdul Halim membuka sisi peribadinya sebagai ibu yang sentiasa belajar.
Baginya, mendidik anak pada zaman yang dipenuhi media sosial, trend yang berubah pantas dan pengaruh luar yang tidak terbatas, bukan lagi sekadar memastikan mereka 'baik-baik sahaja'. Ia menuntut hubungan yang rapat, komunikasi matang dan keterlibatan penuh dalam dunia anak.
“Sejak awal saya dan suami memang sepakat, kami tak mahu ada gap dengan anak-anak,” katanya membuka bicara bersama SinarPlus.

Liza sedar, cabaran anak hari ini bukan kecil. Dunia maya, tekanan rakan sebaya dan isu sosial yang semakin meruncing sering menjadikan remaja sukar dibaca, malah kadang-kadang lebih terpengaruh dengan apa yang berlaku di luar berbanding dalam rumah sendiri.
Sebab itulah, prinsipnya sejak anak-anak kecil ialah sentiasa tahu dengan siapa mereka berkawan, memahami persekitaran sosial mereka dan peka dengan tingkah laku yang berubah-ubah.
“Dengan semua ibu bapa kawan mereka, saya ambil tahu. Bukan nak control, tapi supaya saya kenal circle mereka.
"Kalau saya rasa ada ruang untuk limit, saya akan beritahu tapi dengan penjelasan. Kita kena bercakap dengan mereka macam orang dewasa supaya mereka faham,” jelasnya.
Bagi Liza, mendidik bukan tentang melarang semata-mata.
“Kawal itu bukan semua tak boleh. Kita tak boleh jadi ibu bapa yang melepaskan, tapi tak boleh juga jadi terlalu menghalang. Kita kena tarik-tarik tali sedikit,” katanya.
Liza percaya anak-anak perlu melihat ibu bapa sebagai tempat selamat untuk kembali, bukan sebagai hakim yang menilai.
“Itu yang saya pegang dari dulu. Bila mereka selesa, mereka sendiri akan datang kepada kita," ungkap isteri kesayangan Mohd Shahrin Mohd Samsudin yang merupakan anggota kumpulan Indigo.
Ketika bercakap soal bakat anak perempuannya, Marsya Qistina dalam dunia nyanyian, Liza tidak menafikan rasa bangga apabila melihat kelebihan itu muncul secara semula jadi.

Membimbing tanpa tekanan
Namun sebagai ibu, dia memilih untuk membimbing tanpa tekanan.
“Be involved dengan apa mereka lakukan. Kita kena tahu minat mereka, dan dalam masa sama kita pun kena top up knowledge. Teknologi, bahasa mereka, isu sosial semasa, kita kena cakna,” katanya.
Baginya, ibu bapa masa kini tak boleh ketinggalan zaman. Jika tidak ambil tahu, sukar untuk memahami apa yang anak-anak lalui setiap hari.
“Kalau kita tak faham mereka, sukar nak tahu apa yang mereka hadapi. Bila kita faham, barulah kita boleh buat pencegahan dari awal," jelas ibu kepada lima cahaya mata itu lagi.
Ini dibuktikan menerusi anak sulungnya, Marsha yang sudah meningkat dewasa, Liza memilih untuk lebih banyak kepada mendoakan dan memerhati dari jauh.
Pun demikian, hubungan rapat yang dibina sejak kecil menjadikan komunikasi mereka tetap kukuh.
“Walaupun dah dewasa, kita jangan lepaskan. Biar mereka tetap rapat dengan kita,” katanya jujur.
Liza sendiri tidak menampilkan diri sebagai ibu yang sempurna. Katanya, dia juga manusia biasa yang belajar setiap hari.
“Saya pun ada khilaf sendiri, namun, sebagai ibu, saya sentiasa bercerita pada anak-anak supaya mereka nampak saya pun sedang belajar menjadi ibu yang baik buat mereka," jelasnya lagi.

Dalam pada itu, Liza sempat menitipkan pesanan yang lembut tetapi cukup bermakna buat ibu bapa hari ini.
“Jadi ibu bapa hari ini sangat mencabar. Jangan biarkan anak-anak figure out sendiri semata-mata.
"Be involved. Be supporting. Tahu apa mereka buat. Dan paling penting, sentiasa dekat dengan mereka," kongsi anak jati Klang, Selangor itu lagi.
Prinsip keibuan Liza Hanim ini mungkin kedengaran sederhana, namun bagi dirinya, inilah yang terbukti berkesan dalam membesarkan anak-anak dalam dunia moden, dunia yang memerlukan lebih banyak kasih, perhatian dan kefahaman berbanding sekadar peraturan.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
