Mawi kongsi rutin kelas Al-Quran bersama Cahaya Malaikha, seimbangkan dengan dunia digital: 'Anak ajar saya main TikTok'
DIAM tak diam dah 17 tahun usia perkahwinan Mawi bersama isteri tercinta, Ekin.
Kian matang layari kehidupan rumah tangga, pasangan ini makin rancak bina legasi & berniaga. Walaupun bidang seni membuka ruang awal kerjaya masing-masing, namun akhirnya
Ekin beralih kepada dunia perniagaan. Sementara sang suami masih maintain dalam kerjaya nyanyian dan kini turut bergelar penyampai radio.
Mawi dan Ekin dilihat selesa membina kehidupan yang seimbang antara keluarga, perniagaan dan pegangan hidup.
Tanpa terlalu menonjol, mereka perlahan-lahan mengukir legasi sendiri, mencerminkan sisi kehidupan yang semakin matang seiring perjalanan rumah tangga.
Hasil perkongsian hidup, pasangan sama cantik sama padan itu dikurniakan seorang anak perempuan diberi nama Cahaya Malaikha sebagai penyeri dalam syurga kecil mereka.
Ada masanya, Mawi turut memuat naik cerita mengenai puteri kesayangannya itu di media sosial miliknya.
Terbaharu, pelantun lagu Kalah Dalam Menang itu berkongsi sekeping gambar bersama Cahaya.

"Selalunya kelas dengan budak ni awal... Tapi malam tadi Abi balik lewat malam jadi kelas kita pun mula lewat la kan Cahaya.
"Pukul 11:30 malam baru start. Sorry Cahaya.
"Apa-apa pun moga-moga Cahaya dapat habiskan 30 juzuk dalam masa terdekat Insya-ALLAH," Ungkap pemilik nama sebenar, Asmawi Ani itu.
Dalam perkongsian lain sebelum ini, Mawi mendedahkan, kehadiran Cahaya bukan sekadar melengkapkan, malah banyak mengajar dan membuka perspektif baharu buat Mawi sebagai seorang bapa.
Menariknya, dalam proses mendidik anak, Mawi juga tidak menafikan dirinya turut ‘belajar’ daripada anak perempuannya itu, khususnya dalam dunia digital yang semakin pantas berubah.
Cahaya katanya menjadi ‘guru kecil’ yang mengajarnya menggunakan platform TikTok, termasuk cara melakukan siaran langsung dan memahami fungsi-fungsi asas.
“Anak saya yang ajar main TikTok. Buat live, bagi gift semua tu, saya pun baru belajar.
"Tak sangka impak TikTok ni dahsyat,” katanya.
Menurut Mawi, apabila dia melakukan siaran langsung bersama Cahaya, jumlah penonton yang menyertai jauh lebih ramai berbanding bersiaran seorang diri.
Berbeza dengan platform lain seperti Facebook dan Instagram, TikTok dilihat lebih dekat dengan generasi baharu.
“Mungkin sebab pengguna TikTok ini adalah generasi baru,” ujarnya.
Selain petah berbicara dan yakin di hadapan kamera, Cahaya juga menunjukkan minat serta bakat dalam bidang seni lukisan.
Mawi melihat kecenderungan itu sebagai sesuatu yang wajar dipupuk, selagi tidak bercanggah dengan nilai dan prinsip hidup.
Sebagai seorang bapa, Mawi menegaskan dia tidak pernah menghalang jika anaknya benar-benar ingin menceburi dunia seni suatu hari nanti. Namun, ada satu pesanan yang sentiasa dipegang dan ingin disampaikan.
“Saya tak ada masalah kalau dia masuk bidang seni, cuma saya pesan supaya menjadi anak seni atau artis yang baik,” katanya dalam satu temu bual bersama media sebelum ini.
Bagi Mawi, kejayaan sebenar bukan hanya diukur melalui populariti atau pencapaian semata-mata, sebaliknya terletak pada akhlak, pegangan diri dan keberkatan dalam setiap langkah kehidupan, nilai yang diharapkan dapat diwariskan kepada Cahaya Malaikha.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
